Sekolah Cina terima dana syarikat minuman keras jadi perdebatan
2024.07.25
Kuala Lumpur
Sumbangan dana yang disampaikan oleh syarikat pengilang minuman keras kepada sebuah sekolah Cina milik kerajaan dalam satu majlis baru-baru ini mencetuskan kontroversi di Malaysia selepas parti pembangkang berasaskan Islam mengkritik perkara tersebut sebagai menggalakkan murid sekolah mencuba minuman beralkohol.
Ia turut mencetuskan perdebatan mengenai dakwaan diskriminasi kerajaan terhadap sekolah Cina dan India dari segi pendanaan berbanding sekolah kebangsaan yang menggunakan medium bahasa Melayu yang dikatakan menerima lebih banyak bantuan kewangan.
Isu berkenaan bermula pada minggu lepas apabila gambar majlis penyerahan sumbangan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tche Min, Sepang, Selangor menunjukkan replika cek derma berjumlah RM3 juta [AS$641,025] tertera logo syarikat bir jenama Tiger sekali gus mencetuskan polemik dan perdebatan antara pelbagai pihak.
"Keterlibatan syarikat arak ke dalam premis sekolah termasuk memaparkan logo produk arak jenama tersebut merupakan satu bentuk promosi secara langsung kepada arak, membawa kepada normalisasi budaya minum arak dan boleh mempengaruhi kecenderungan pelajar pada masa akan datang dalam pengambilan minuman beralkohol," kata Sabirin Marsono, seorang pemimpin kanan parti pembangkang Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Selangor dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Beliau berkata tindakan sekolah tersebut menerima sumbangan daripada syarikat arak turut melanggar garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan ia patut diambil tindakan.
“Tiada kompromi ke atas mana-mana pengurusan sekolah yang sewenang-wenang melanggar pekeliling KPM di atas perkara yang boleh mencemarkan kemurnian pendidikan dengan nilai yang boleh merosakkan moral dan akhlak pelajar,” tambah Sabirin.
Pandangan serupa turut dilontarkan oleh kumpulan pemimpin Islam dari sebuah parti yang membentuk kerajaan di mana Majlis Ulama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menyatakan tentangan terhadap pemberian sebarang bentuk sumbangan oleh syarikat yang terlibat dalam arak serta judi kepada mana-mana sekolah.
“Majlis Ulama UMNO menegaskan prinsip bahawa dana sumbangan daripada mana-mana syarikat yang terlibat dengan aktiviti yang dikategorikan sebagai memudaratkan seperti arak dan judi tidak wajar dijadikan sumber bagi mana-mana pusat pendidikan dalam negara.
"Hal ini kerana ia merupakan normalisasi terhadap aktiviti yang sepatutnya dijauhi oleh pelajar dan juga masyarakat sivil yang baik," kata badan tersebut dalam satu kenyataan pada Khamis.
Selain kritikan keras, isu terbabit menyebabkan KPM melancarkan satu siasatan dalaman terhadap sumbangan yang disampaikan kepada SJKC Tche Min.
KPM dalam kenyataan pada Isnin mengingatkan pentadbiran sekolah tentang Surat Pekeliling Ikhtisas Bahagian 3 Tahun 2018 yang melarang sumbangan melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah dan minuman keras.
Katanya, ini kerana ia boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan turut menasihati semua sekolah di negara itu supaya mematuhi garis panduan sedia ada dalam menguruskan sebarang bentuk sumbangan diterima mereka daripada pihak luar.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Rabu mengesahkan bahawa isu dana syarikat arak tersebut telah disentuh dalam mesyuarat Kabinet minggu ini namun kata beliau pihak Menteri Pendidikan akan memberikan penjelasan lanjut.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang kenyataan lanjut dikeluarkan oleh kementerian itu.
Susulan polemik itu, syarikat Tiger Beer membuat kenyataan bagi menjelaskan bahawa sumbangan yang tertera logo mereka bukanlah derma daripada perniagaan arak sebaliknya adalah dana yang dikumpul dalam sebuah konsert kebajikan yang dianjurkannya.
Kata syarikat itu, wang berjumlah lebih RM3 juta yang disampaikan kepada SJKC Tche Min adalah daripada Konsert Kebajikan Pendidikan Cina yang telah diadakan sejak 30 tahun lalu.
“Konsert ini diadakan sebagai satu platform untuk masyarakat membantu mengumpul dana bagi meningkatkan mutu fasiliti di sekolah-sekolah Cina.
“Sebagai sebuah syarikat alkohol, kami tidak membuat sebarang sumbangan dana kepada sekolah. Peranan kami di dalam majlis ini hanyalah dalam membawakan artis tempatan untuk membuat persembahan dalam konsert yang diadakan untuk para penyumbang,” kata kenyataan tersebut.
Sekolah vernakular kurang dana
Bagaimanapun, beberapa pihak pula mempertahankan idea mengenai sekolah jenis kebangsaan Cina dan India menerima dana yang didermakan oleh syarikat arak dan perjudian,dan mendakwa bahawa ia adalah satu cara untuk sekolah berkenaan mendapatkan sumber kewangan selepas dikatakan 'dianaktirikan' oleh kerajaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP merupakan pemimpin kerajaan pertama yang mengusulkan isu tajaan oleh syarikat minuman keras kepada sekolah-sekolah Cina dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana penglibatan syarikat minuman keras bagi membantu mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.
“Dalam kalangan masyarakat Cina khususnya memang ada penganjuran program ini oleh syarikat-syarikat korporat minuman keras untuk anjurkan konsert-konsert amal,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy yang kini mengetuai parti politik baru Urimai berkata sekolah jenis kebangsaan Cina dan India tidak akan memerlukan bantuan daripada syarikat arak sekiranya mereka mendapat dana yang mencukupi dari kerajaan.
"Sekiranya kerajaan adil dan saksama dalam mengagihkan dana kepada sekolah-sekolah terutamanya sekolah vernakular, maka tidak akan timbul isu syarikat arak memberikan derma kepada sekolah.
“Inilah isu sebenar yang sepatutnya ditimbulkan oleh pemimpin PAS bukannya menggunakan insiden majlis penyerahan sumbangan di Sepang itu sebagai senjata untuk mengkritik kerajaan Pakatan Harapan," kata beliau dalam hantaran di Facebook.
Tambah Ramasamy, penerimaan dana daripada syarikat pengilang arak dan rokok boleh memberikan mesej yang salah kepada kanak-kanak tetapi kerajaan perlu mengubah cara mereka dalam memberikan peruntukan kepada sekolah-sekolah vernacular.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh pula mengkritik parti pembangkang terutama PAS kerana memainkan isu sumbangan tersebut bagi menaikkan sentimen orang Melayu dan menggugat keharmonian negara.
Kata beliau, Tiger Beer telah terlibat secara aktif dalam aktiviti meraih sumbangan untuk sekolah Cina sejak 30 tahun yang lalu dan membantu meringankan beban kerajaan serta membantu kepada penambahbaikan fasiliti sekolah-sekolah.
Sementara itu, penganalisis politik James Chin dari Universiti Tasmania turut berkongsi pandangan serupa mengenai isu pendanaan yang tidak sekata antara sekolah-sekolah di Malaysia.
"Diskriminasi ini telah wujud sejak tahun 1970-an lagi. Daripada apa yang saya faham, sekolah yang menerima bantuan kerajaan seperti sekolah dalam isu ini (Tche Min), kerajaan akan menjaga dari segi kurikulum dan membayar gaji para guru. Namun untuk sebarang perbelanjaan lain seperti pembinaan kantin atau blok baru, mereka perlu mencari dana sendiri.
"Jadi tidak hairanlah apabila sekolah-sekolah ini meminta bantuan daripada syarikat-syarikat besar dan oleh kerana tiada larangan meminum arak untuk komuniti Cina, jadi mereka gembira untuk menerima sumbangan daripada syarikat arak,” kata James kepada BenarNews.