Rundingan Damai Selatan Thailand Belum Pun Melepasi Fasa Satu
2016.02.29
Patani
Tiga tahun selepas kerajaan Thailand memulakan usaha damai rasmi dalam Selatan Thailand yang bergolak dengan keganasan, kedua-dua pihak terus terkandas dalam fasa "membina kepercayaan".
Pada satu ketika, usaha itu terhenti lebih daripada setahun tetapi mereka masih terkandas dalam fasa pertama walaupun junta yang kini memerintah Thailand telah berulang kali berkata, bahawa ia menjangka untuk mengadakan perjanjian damai dengan pejuang pembebasan sebelum berakhirnya 2015 - fasa kedua.
Seorang ahli pasukan perunding kerajaan kini berkata, bahawa kerajaan pimpinan tentera telah menetapkan tarikh akhir pada Jun 2016 untuk menandatangani perjanjian itu.
Minggu lalu, Leftenan Jeneral Nakrob Boonbuathong memberitahu pemberita di Bangkok, bahawa beliau berharap para penentang akan menandatangani "perjanjian untuk menyelesaikan perbezaan" dalam tempoh separuh pertama tahun ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan apa yang akan berlaku jika kedua-dua pihak gagal untuk bersetuju dengan mencapai perjanjian pada akhir bulan Jun itu. Satu perjanjian akan membuka laluan kepada merangka satu pelan damai di Selatan Thailand - fasa ketiga proses tersebut.
Pada Ahad, kira-kira 100 orang menghadiri satu seminar di wilayah Pattani bagi menandakan ulang tahun ketiga majlis menandatangani dokumen pegawai-pegawai Thailand dan wakil-wakil kumpulan pembebasan Selatan, yang menetapkan usul pusingan terakhir rundingan damai rasmi pada 28 Februari, 2013.
Rundingan itu yang diusahakan Malaysia telah terhenti pada Disember 2013 semasa di bawah pimpinan kerajaan awam, apabila pasukan pembebasan memuat naik satu video dalam talian yang menyenaraikan permintaan yang dianggap sebagai tidak dapat diterima oleh pihak kerajaan Thailand.
Hanya pada tahun lepas pihak junta, yang menggulingkan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dalam rampasan kuasa pada Mei 2014, menyambung semula usaha-usaha memujuk kumpulan pembebasan supaya kembali ke meja rundingan rasmi.
Sejak Mei lalu, junta dan wakil-wakil kumpulan pembebasan telah mengadakan beberapa siri mesyuarat saluran belakang yang bertujuan memulakan semula rundingan rasmi itu.
"Selepas rundingan (tidak rasmi) terbaru di Pulau Pinang pada awal bulan Februari, kami hampir mencapai kesimpulan bagi tempoh rujukan-perjanjian untuk menyelesaikan perbezaan," kata Nakrob di Kelab Wartawan Asing Thailand pada Khamis. Namun, beliau tidak menyatakan tarikh tertentu.
Beliau berkata proses damai itu masih dalam fasa pertama kerana ia mempunyai sokongan hanya 50 peratus dari pihak pembebasan. Sebanyak 15 hingga 20 peratus pejuang sangat menentang proses itu manakala 30 peratus lagi bersikap neutral dalam isu ini, kata Nakrob.
'Tidak mustahil realisasikan' damai: perunding pembebasan
Satu perjanjian damai mahu menyasarkan usaha menamatkan pemberontakan di Selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu, di mana lebih daripada 6,000 orang telah terbunuh dalam keganasan berkaitan sejak Januari 2004.
Pada Sabtu, pengeboman sebuah kereta di luar sebuah balai polis di Patani mencederakan sekurang-kurangnya tujuh orang, lapor Agence France-Presse.
Keesokannya, semasa seminar di kampus Pattani Prince of Songkla University, komander tertinggi tentera Thailand di wilayah itu berkata pihak tentera menyokong sepenuhnya usaha damai itu.
"Agensi-agensi keselamatan menerima rundingan damai ini. Mereka tidak pernah membantahnya kerana rundingan damai [mewakili] satu pendekatan universal," kata Mejar Jeneral Shinawatra Mandesh pada seminar itu.
Jika tentera boleh mengekang keganasan di wilayah ini dan kedua-dua pihak akhirnya mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perbezaan mereka, "saga ini akan berakhir," katanya.
Seminar ini juga menayangkan rakaman mesej video daripada Awang Jabat, ketua MARA Patani, sebuah kumpulan induk yang mewakili pelbagai kumpulan dan puak pembebasan dalam rundingan tidak rasmi dengan junta.
"MARA Patani akan menjadi kawan serta lawan di meja rundingan itu," kata Awang dalam video berdurasi 18 minit itu.
Awang juga mengakui bahawa penubuhan kawasan yang dipanggil "zon selamat" atau zon gencatan senjata adalah antara langkah-langkah membina keyakinan termasuk untuk fasa pertama, adalah sukar untuk dicapai.
"Kami telah menyatakan bahawa penduduk tempatan sudah menyuarakan tuntutan mereka untuk menubuhkan zon selamat ... menyediakan zon keselamatan di kawasan konflik bukannya mudah dan ia tidak boleh diumumkan hanya oleh satu pihak seperti yang telah kitah dengar. Tiada siapa yang pernah berbuat demikian, " kata Awang, yang merujuk kepada perintah tentera Wilayah Keempat, yang diterajui oleh Mejar Jeneral Shinawatra.
'Tiada pihak harus jadi juara'
Seminar pada Ahad itu dianjurkan oleh Deep South Watch, sebuah badan bukan kerajaan tempatan yang memantau konflik dan berfungsi sebagai platform untuk membincangkan cara-cara untuk mengakhirinya.
Profesor Srisompob Jitpiromsri, pengarah Deep South Watch, berkata, sudah tiba masanya untuk kedua-dua pihak memulakan proses damai itu.
"Kita mahu melihat rundingan damai bergerak ke hadapan," katanya kepada BeritaBenar.
"Kedua-dua pihak mesti menawarkan syarat-syarat yang munasabah. Tiada pihak yang harus cuba menjadi satu-satunya juara. Setiap daripada mereka perlu mencapai konsesi dan tidak menekan pihak yang lain, atau keganasan kembali berlaku, " kata Srisompob sambil memberi amaran.