Rakyat Malaysia Ditahan Di Pakistan Cuba Seludup Senjata

N. Nantha
2017.12.26
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
171226_TH_MY_PK_620.jpg Al Muhd Alfie Kqhyriel ketika ditahan oleh pihak berkuasa Pakistan sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ali Jinnah di Karachi atas percubaan menyeludup senjata dan peluru, 23 Disember 2017. (
[Ihsan sumber risikan Malaysia]

Seorang bekas pelajar jurusan undang-undang berasal dari Sarawak, telah ditahan oleh pihak berkuasa Pakistan kerana dipercayai terlibat dalam percubaan menyeludup keluar senjata api melalui Lapangan Terbang Ali Jinnah, Karachi pada Sabtu lepas.

Suspek yang berasal dari Kuching dan berusia 20 tahun itu, dikenali sebagai Al Muhd Alfie Kqhyriel ketika ditahan memiliki empat pucuk pistol yang dileraikan tersimpan di dalam beg miliknya bersama dengan 70 biji peluru yang disembunyikan di dalam tapak kasutnya ketika dia cuba menaiki pesawat Thai Airways TG342 ke Bangkok, Thailand.

Sumber perisikan Malaysia memaklumkan BeritaBenar semasa dihubungi bahawa suspek berada di Pakistan sejak awal November lepas.

Beliau berlepas ke Pakistan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sehari selepas tiba dari Sarawak pada 10 November lalu.

Pasukan Anti Keganasan Bukit Aman masih menyiasat latar belakang suspek yang mungkin terlibat dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) yang berpangkalan di Syria, menurut sumber itu lagi.

"Kesalahan yang dilakukan (cubaan menyeludup senjata) berlaku di Pakistan dan jika didakwa dan dijatuhkan hukuman beliau perlu menghabiskan tempoh hukuman sebelum dibenarkan pulang. Mungkin juga beliau akan di hantar pulang, jika itu yang pihak berkuasa Pakistan mahukan," kata sumber itu sambil menambah Al Muhd Alfie masih berada dalam tahanan pihak risikan Pakistan kerana siasatan masih berjalan.

Tiada kaitan pemberontak selatan

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prawit Wongsuwan semasa mengulas mengenai penangkapan rakyat Malaysia yang menuju ke Thailand itu berkata, “tidak mungkin lelaki Malaysia itu terlibat dalam percubaan untuk merampas pesawat milik Thailand”.

"Ini adalah penyeludupan senjata haram dan menggunakan Thailand sebagai transit ke negara ketiga. Tidak mungkin lelaki berkenaan cuba merampas pesawat, " kata Prawit yang juga Menteri Pertahanan semasa ditemui wartawan di wilayah Sukhothai pada Selasa sambil memaklumkan yang arahan telah dikeluarkan terhadap semua agensi kerajaan untuk berjaga-jaga terhadap sebarang ancaman.

Ketua Polis Negara Thailand Chakthip Chaichinda pula memberitahu pemberita bahawa menurut rekod pihak berkuasa itu, lelaki berkenaan belum pernah melawat Thailand.

"Lelaki Malaysia itu belum pernah ke Thailand sebelum ini dan berkemungkinan beliau hanya transit di Thailand sebelum ke negara lain. Kami juga tidak mengesan sebarang kaitan dengan pemberontak di selatan Thailand,” kata Ketua Polis Negara itu di Bangkok.

Menurut laporan akhbar The Bangkok Post pada Selasa, destinasi terakhir suspek bukanlah Thailand tetapi Malaysia. Dia hanya berada di Thailand untuk transit ke Malaysia,” kata seorang pegawai pihak berkuasa seperti yang dilaporkan oleh akhbar tersebut.

Di Malaysia, Ketua Polis Negara Mohammad Fuzi Harun telah mengesahkan penangkapan tersebut dan berkata siasatan masih lagi dijalankan terhadap suspek oleh pihak berkuasa Pakistan.

Dalam pada itu, beberapa laporan akhbar Pakistan berkata, Al Muhd Alfie telah membeli senjata api tersebut di Peshawar dengan dibantu oleh beberapa individu tertentu dari Peshawar dan Karachi.

Menurut pegawai kanan keselamatan di Lapangan Terbang antarbangsa itu, Faisal Yaseen, anggota keselamatan telah menahan Al Muhd Alfie kerana berkelakuan mencurigakan di pintu kawalan keselamatan balai berlepas.

“Suspek teragak-agak apabila kami menyuruhnya untuk menanggalkan kasut dan meletakkannya di atas mesin pengimbas. Kami menahan beliau setelah menemui pistol dan peluru tersebut tersembunyi di dalam rongga kasut,” kata pegawai berkenaan seperti yang dilaporkan media Pakistan.

Free Malaysia Today, portal media yang berpusat di Kuala Lumpur pula melaporkan bahawa kedua ibubapa Al Muhd Alfie terkejut dengan berita penangkapan anak mereka.

Akhbar tempatan di The Star pula melaporkan bahawa bekas pelajar ijazah undang-undang itu tidak menyambung pengajian disebabkan kekangan kewangan, selepas perniagaan bapanya mengalami kemerosotan dan berlaku penceraian antara kedua ibubapanya.

"Saya sangat terkejut dengan penangkapannya. Dia dilihat sebagai seorang yang baik dan selalu menegur kami," menurut seorang jirannya yang tidak mahu dikenali dalam laporan yang disiarkan oleh akhbar berkenaan pada Ahad.

Al Muhd Alfie disifatkan sebagai seorang yang pendiam dan pemuda yang baik oleh saudara dan jiran di kampung halaman di Kuching, Sarawak.

Sebelum ini, di antara bulan Mac dan April tahun ini, seorang rakyat Malaysia juga ditahan diluar negara kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas antarabangsa IS.

Suspek itu, diusir dari Turki ke Kuala Lumpur dan adalah antara 17 orang terdiri daripada pelbagai warganegara yang ditahan dalam Operasi Sunbird III, yang melibatkan kerjasama polis dan imigresen dari 10 ahli Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean).

Dalam tempoh empat tahun yang lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menahan kira-kira 370 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas termasuk IS. Seramai 66 orang daripada suspek itu telah dibebaskan, menurut angka kerajaan yang dikumpulkan BeritaBenar.

Selain itu, seramai 34 rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh semasa berjuang untuk IS di Iraq dan Syria manakala 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak dipercayai masih berada di Syria, tetapi mungkin telah melarikan diri dari bandar-bandar di mana berlaku pertempuran. Para pegawai berkata, rakyat Malaysia itu mungkin mendapatkan perlindungan di kem-kem yang berada di sempadan Jordan dan Turki.

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 32 juta penduduk termasuk 19.5 juta umat Islam, telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman yang berkaitan dengan IS sejak 2013, kata pegawai keselamatan. Satu serangan berkaitan IS berlaku di sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur pada Jun 2016 yang menyebabkan lapan orang cedera.


Wilawan Watcharasakwet di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.