Malaysia jamin kebebasan bersuara ketika kawal selia media sosial diperketat
2024.07.30
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Selasa berkata kerajaan tidak berhasrat untuk menyekat kebebasan bersuara susulan langkah untuk menguatkuasakan syarat perlesenan bagi perkhidmatan media sosial yang besar, selepas pengumuman hujung minggu mengenai peraturan baharu itu diselar secara meluas.
Aktivis masyarakat sivil bagaimanapun yang tidak terpengaruh dengan penjelasan Anwar bahawa peraturan baharu itu hanya bertujuan untuk memastikan rakyat Malaysia selamat daripada jenayah siber berkata, kerajaan telah menggunakan peraturan zalim lain untuk menyekat kebebasan bersuara dan peraturan baharu itu juga berpotensi disalahgunakan.
Agensi kawalan komunikasi Malaysia pada minggu lalu mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar dikehendaki memohon lesen berkuat kuasa pada Januari tahun depan tetapi pengamal undang-undang dan aktivis hak asasi menyifatkan ia bakal menjadi alat untuk 'menutup mulut' pengkritik kerajaan.
“Malaysia negara demokratik dan kebebasan mesti diberikan untuk orang menyuarakan pandangan mereka sama ada bersetuju, untuk menegur atau menentang.
“Tapi ada bezanya apabila urusan digital, siber dan media sosial ini digunakan umpamanya untuk mendera orang sehingga menyebabkan ada yang membunuh diri, menyebabkan salah guna dari segi memperalatkan anak-anak kecil untuk urusan dagang seks atau menjalankan scam (penipuan) hingga mencecah lebih RM2.5 bilion (AS$554 juta).
“Bila kita katakan harus sekat mereka katakan jangan sekat kebebasan. Apakah kebebasan (yang dimaksudkan) untuk menipu, mencuri, mendera orang sehingga orang membunuh diri,” kata Anwar ketika berucap merasmikan Bulan Keselamatan Negara di Putrajaya.
Jelas beliau bagi menangani isu berkenaan, ia memerlukan banyak latihan, kepakaran serta jaringan dengan badan risikan siber.
Tindakan tegas diperlukan, antaranya peraturan yang bakal diperkenal, bertujuan mengatasi jenayah dalam talian dan buli siber sekali gus mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk pengguna, katanya.
Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan pada hujung minggu lalu mengumumkan satu kerangka kawal selia baharu akan diperkenalkan pada Ogos ini dan ia mula dikuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.
Di bawah kerangka tersebut, semua penyedia platform media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini seperti TikTok, Meta iaitu pengendali Facebook, Instagram, WhatsApp, Thread, X dan juga Telegram dikehendaki memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)
Kata SKMM, kerangka kawal selia tersebut selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang mahu semua perkhidmatan media sosial mesti mematuhi undang-undang Malaysia bagi memerangi jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
“Kerangka kawal selia baharu tersebut hanya terpakai kepada platform yang menepati syarat kelayakan pelesenan dan tidak melibatkan pengguna.
“Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini platfrom media sosial tersebut telah dikecualikan daripada keperluan perlesenan.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad dilaporkan berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menutup platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan Internet tidak berlesen pada 1 Januari depan.
“Tutup... itu kuasa pada SKMM," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita tempatan di Bagan Datuk, Perak.
Beliau berkata pengguna tidak perlu takut sekiranya media sosial digunakan untuk tujuan yang betul dan menggunakan idenditi sebenar dan bukan akaun palsu yang digunakan secara tidak bertanggungjawab.
“Banyak negara menyekat saluran sosial media yang ada sekarang, China umpamanya, mereka ada cara sendiri, Singapura juga mendaftarkan (media sosial) supaya setiap netizen bertanggungjawab terhadap apa yang ditulisnya, bukan melempar tapi sembunyi tangan,” tambah beliau.
Ahad lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata undang-undang baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan digital merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan suis pemati akan dibentang di Parlimen pada Oktober ini.
Beliau berkata undang-undang itu antara lain bakal meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet untuk memainkan peranan bagi menangani jenayah dalam talian seperti penipuan, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan dan pengantunan seksual.
Pada Mac lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 yang bertujuan meningkatkan keselamatan siber negara menerusi pematuhan terhadap langkah, standard dan proses tertentu dalam pengurusan ancaman keselamatan siber.
Tutup mulut pengkritik
Pengumuman mengenai kerangka baharu tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengamal undang-undang yang menyifatkan ia bukanlah jalan penyelesaian bagi membanteras jenayah siber sebaliknya dilihat sebagai alat yang bakal digunakan kerajaan bagi menutup mulut para pengkritik.
Peguam hak asasi, Eric Paulsen dalam kenyataan di X mengecam tindakan tersebut yang mendakwa alasan kerajaan untuk menggunakan kuasa perlesenan media sosial untuk tujuan kebaikan tidak akan berhasil.
Beliau berkata ia tidak bermaksud masyarakat umum tidak sepatutnya dilindungi daripada kandungan memudaratkan atas talian namun kaedah yang digunakan oleh kerajaan dalam mengendalikan isu tersebut menimbulkan rasa kurang keyakinan terhadap ketelusan dalam menangani perkara berkenaan.
“Kita lihat interpretasi melampau melibatkan kritikan terhadap kerajaan atau elit politik serta komen tentang isu yang mereka anggap sensitif telah menjurus kepada siasatan jenayah dan dikenakan tindakan perundangan,” kata Eric.
Beliau turut memuat naik beberapa tangkap layar dalam hantaran di X seperti kenyataan media SKMM berhubung siasatan ke atas empat lagi suspek berhubung komen jelik dan provokatif menerusi siaran ulangan sesi parlimen yang dimuat naik di platform TikTok dan Facebook pada 9 Julai lalu.
Turut dimuat naik tangkap layar laporan berita mengenai kerajaan membantah cubaan pempengaruh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membatalkan sekatan akaun TikTok miliknya dan berita mengenai peguam mendakwa SKMM menyekat hantaran Facebooknya yang mengkritik Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berhubung kontrak yang dianugerahkan kepada syarikat diketuai suaminya.
“Ini hanya beberapa contoh bagaimana kerajaan menilai kritikan dan tentangan di media sosial,” katanya.
Pandangan yang sama turut dilontarkan oleh Pengarah Lawyers For Liberty, Zaid Malek bahawa penguatkuasaan pelesenan tidak wajar dan mendatangkan kemudaratan kepada hak demokrasi untuk mengkritik dan mempersoalkan kerajaan.
“Kerajaan sudah mempunyai rekod memaksa penyingkiran kandungan politik kritikal dengan membuat permintaan kepada pengendali media sosial,” katanya dalam kenyataan sambil menyatakan kerajaan boleh menangani isu buli siber, penipuan atau jenayah dalam talian melalui peraturan yang komprehensif.
Sehubungan itu, Zaid menggesa kerajaan menarik balik peraturan pelesenan yang bakal dikuatkuasakan itu sambil menegaskan sebarang kawal selia hendaklah dibincangkan bersama semua pemegang taruh.
Pertubuhan bukan kerajaan, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pula gusar terhadap pengumuman kerajaan untuk mewajibkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet dilesenkan kerana ia terbuka kepada penyalahgunaan kuasa dan tindakan tidak setimpal oleh pihak pemerintah.
"Undang-undang baharu itu akan membuka kepada penyalahgunaan kuasa dan tindakan tidak setimpal oleh pihak pemerintah yang boleh menidakkan keadilan kepada penyedia perkhidmatan media sosial, penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan akhirnya membungkam kebebesan bersuara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tindakan kerajaan sebelum ini yang cenderung menggunakan undang-undang 'draconian' seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 khususnya Seksyen 8A dan Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia sebagai senjata politik untuk menyiasat dan mendiamkan pihak yang mengkritik kerajaan termasuk mereka yang kini memegang tampuk kekuasaan,jelasnya.
Dalam hal ini, Bersih menyatakan ia menyokong cadangan Centre for Independent Journalism (CIJ) dan kumpulan Artikel 19 yang mencadangkan agar kerajaan menghentikan dulu keputusan untuk melesenkan platform media sosial yang dilihat agak terburu-buru ini.
"Bersih juga senada dengan cadangan CIJ dan Artikel 19 yang mencadangkan agar diwujudkan satu majlis media sosial yang tulen dan berfungsi untuk menggalakkan dan mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan dan bukan sekadar alas untuk memperlihatkan bahawa kerajaan telah pun ‘mendengar’ saranandaripada masyarakat sivil," ujarnya.
Presiden Transparency International Malaysia, Muhammad Mohan berkata pihak yang mengkritik bahawa pelaksanaan kerangka itu akan mengekang kebebasan bersuara sepatutnya menunggu sehingga butiran pelaksanaannya dikeluarkan sebelum membuat kesimpulan.
“Hanya masa yang akan menetukan apabila draf kerangka tersebut siap namun idea di sebaliknya untuk membanteran jenayah buli siber dan jenayah siber sangat disokong,” kata beliau kepada BenarNews.
"Tiada kebebasan bersuara mutak dalam mana-mana demokrasi dan setiap orang haruslah bertanggungjawab atas apa yang disebut atau ditulis.
“Adalah penting untuk mengawal dan menjaga perkara berkait kepelbagaian kaum dan agama lebih-lebih lagi di negara pelbagai kaum seperti Malaysia.”