Smart Glove, Syarikat Malaysia Ke-6 dikenakan Sekatan Import Kastam Amerika

Tindakan terkini kastam AS itu menunjukkan berlakunya kelemahan dalam sistem pentadbiran Malaysia, kata pakar hak pekerja asing.
Noah Lee & Nisha David
2021.11.05
Smart Glove, Syarikat Malaysia Ke-6 dikenakan Sekatan Import Kastam Amerika Seorang pekerja di barisan pengeluaran sedang bertugas di sebuah kilang yang mengeluarkan sarung tangan getah pakai buang di Shah Alam, Selangor, Malaysia, 26 Ogos, 2020.
[Reuters]

Pihak berkuasa kastam Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan import terhadap sebuah lagi syarikat sarung tangan getah dari Malaysia, Smart Glove yang berpangkalan di Selangor susulan terdapatnya maklumat adanya elemen buruh paksa dalam rantaian pengeluarannya.

Perintah sekatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) yang berkuatkuasa pada 4 November itu merupakan yang kedua dikeluarkan terhadap syarikat dari Malaysia bagi tahun ini.

Bulan lepas, Supermax Corporation Sdn Bhd dan tiga lagi anak syarikatnya termasuk Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd telah dikenakan Perintah Penahanan Pelepasan, atau dikenali sebagai WRO, atas kesalahan serupa.

"Bermula 4 November, pegawai CBP di semua pintu masuk AS akan menahan sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan di Malaysia oleh sebuah kumpulan syarikat yang dikenali dengan nama Smart Glove.

“Kumpulan syarikat ini termasuk Smart Glove Corporation Sdn Bhd, GX Corporation Sdn Bhd, GX3 Specialty Plant, Sigma Glove Industries, dan Platinum Glove Industries Sdn Bhd," kata kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa AS itu pada Khamis.

Pemangku Pesuruhjaya CBP Troy Miller berkata tindakan diambil terhadap Smart Glove itu adalah menunjukkan komitmen CBP dalam memastikan barangan yang dibuat menggunakan tenaga buruh paksa tidak memasuki pasaran AS.

"Pengilang, seperti Smart Glove, yang gagal mematuhi undang-undang kami akan menghadapi akibatnya kerana kami akan menghapuskan amalan tidak berperikemanusiaan daripada rantaian barangan di AS," kata Miller.

Menurut CBP, siasatan dijalankannya terhadap Smart Glove telah mengenalpasti tujuh indikator mengenai berlakunya amalan buruh paksa.

Smart Glove tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, manakala usaha BenarNews mendapatkan respon daripada syarikat berhubung tindakan AS tidak berhasil.

Kelemahan sistem pentadbiran kerajaan

Sementara itu, aktivis-aktivis yang memperjuang hak pekerja asing menyatakan bahawa mereka tidak berasa terkejut dengan tindakan demi tindakan yang diambil terhadap syarikat-syarikat di Malaysia itu.

Ada yang mendakwa tindakan terhadap Malaysia menunjukkan berlakunya kelemahan dalam sistem pentadbiran kerajaan termasuk kegagalan mengambil sebarang langkah perubahan yang lebih drastik serta radikal bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Cara Malaysia menguruskan isu pekerja asing dan buruh paksa berterusan menjadi antara yang terburuk di dunia," kata Andy Hall, seorang pakar hak pekerja asing dalam satu kenyataan kepada media.

Menurutnya, Malaysia masih menggunakan cara lama dan tidak berubah dalam menguruskan pekerja asing, yang merupakan elemen penting dalam ekonomi serta pengeluaran eksport negara itu yang banyak bergantung kepada tenaga buruh, adanya amalan rasuah serta sikap tidak menghormati undang-undang.

"Komuniti antarabangsa yang terdiri daripada kerajaan, pelabur dan pembeli mesti mengambil tindakan segera untuk memastikan kerajaan Malaysia dan sektor swasta negara itu mula mengambil serius mengenai amalan buruh paksa yang wujud dalam banyak tempat kerja di serata negara," katanya.

Hall turut mengalu-alukan tindakan pantas CBP terhadap Smart Glove dan berharap dapat membawa perubahan kepada keadaan tempat kerja dan penginapan teruk yang dihadapi para pekerja syarikat berkenaan di Malaysia.

Menurut beliau, majoriti pekerja asing adalah dari Bangladesh dan Nepal, dengan laman web Smart Glove menyatakan yang syarikat berkenaan ditubuhkan pada 1994 dan mempunyai beberapa pejabat di Indonesia, selain di Malaysia.

Alex Ong, koordinator di Migrant Care, sebuah badan bukan kerajaan yang memberi fokus terhadap kebajikan pekerja asing di Malaysia mendakwa, pengurusan buruh dengan standard yang teruk serta pengarah yang tidak berkelayakan adalah antara sebab utama mengapa Malaysia masih belum dapat menyelesaikan isu berkaitan pekerja asing.

Beliau mendakwa bahawa Menteri Sumber Manusia M Saravanan tidak mempunyai kemahuan politik untuk memperbaiki standard terhadap amalan buruh di Malaysia.

BenarNews telah menghubungi Kementerian Sumber Manusia untuk mendapatkan komen berhubung dakwaan itu, namun tidak mendapat sebarang maklumbalas.

Bagaimanapun, sumber dari kementerian itu yang tidak boleh dinamakan kerana tidak mempunyai pelepasan untuk bercakap dengan media memberitahu bahawa semua pengeluar produk berasaskan getah telah menerima kunjungan pegawai daripada kementerian berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan jangka waktu lawatan berkenaan dibuat.

"Berdasarkan apa yang saya tahu, semua pengeluar produk berasaskan getah telah diperiksa oleh pasukan petugas khas penguatkuasaan dalam beberapa operasi yang dijalankan.

"Pemerikasaan mendapati memang ada pelanggaran undang-undang buruh seperti pemotongan gaji, pekerja disuruh bekerja melebihi masa yang dibenarkan, serta keadaan penginapan pekerja yang tidak mematuhi standard ditetapkan, antara lain. Bagaimanapun, tidak ada bukti untuk mengatakan bahawa adanya elemen buruh paksa," kata sumber itu.

Menjelaskan lebih lanjut, sumber tersebut turut menyifatkan indikasi buruh paksa sebagai simptom penyakit.

"Untuk menentukan sama ada terdapat amalan buruh paksa, semuanya bergantung kepada kekuatan indikator.

“Sekiranya indikator membuatkan satu situasi di mana seorang pekerja terpaksa meneruskan pekerjaan kerana takut tindakan pembalasan (balas dendam), ia akan menjadi seperti demam dengan satu simptom COVID-19, tetapi tidak semestinya seseorang yang demam itu dijangkiti COVID-19," tambahnya.

Pada Disember lalu, Sime Darby Plantation Berhad, salah sebuah pemilik ladang kelapa sawit serta pengeluar minyak sawit terbesar Malaysia telah dikenakan sekatan oleh CBP selepas siasatan mendapati 11 indikator buruh paksa dalam syarikat itu, anak syarikatnya serta rantaian pengeluaran yang berkaitan.

Tiga bulan sebelum itu, Felda Global Ventures atau FGV Holdings Berhad juga telah dikenakan sekatan atas sebab serupa. Kedua-dua syarikat masih berusaha untuk menyelesaikan isu buruh paksa dalam rantaian mereka.

Pada Julai 2020, CBP telah mengenakan larangan import terhadap Top Glove, sebuah lagi pengeluar produk sarung tangan getah besar di Malaysia, dan anak syarikatnya TG Medical Sdn Bhd meskipun ketika itu dunia menyaksikan peningkatan kes COVID-19.

Pihak berkuasa kastam AS itu menyatakan bahawa terdapatnya bukti yang memberikan indikasi bahawa berlaku aktiviti buruh paksa dalam operasi syarikat tersebut.

Indikasi berkenaan termasuklah "perhambaan hutang, kerja lebih masa yang keterlaluan, menyimpan dokumen pengenalan diri pekerja serta keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang teruk."

Sekatan itu bagaimanapun telah ditarik balik pada Oktober 2021 selepas Top Glove didapati telah memperbaiki keadaan dan kediaman untuk pekerja asingnya.

Terdahulu itu, CBP turut mengeluarkan WRO terhadap sebuah lagi syarikat pengeluar sarung tangan getah iaitu WRP Asia Pacific Sdn Bhd pada September 2019. Ia bagaimanapun telah ditarik balik pada Mac 2020.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.