Laporan impak SOSMA dedah isu sosioekonomi tahanan dan keluarga

Kajian tiga bulan oleh SUARAM itu menunjukkan kebanyakkan mereka yang ditahan adalah dari keluarga miskin.
Minderjeet Kaur
2023.09.27
Kuala Lumpur
Laporan impak SOSMA dedah isu sosioekonomi tahanan dan keluarga Isteri kepada seorang tahanan SOSMA bercakap pada sidang media semasa pelancaran laporan berjudul ‘Kesan Sosioekonomi Akibat Daripada Penahanan SOSMA di Malaysia’ oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) di Kuala Lumpur, 27 September, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kebanyakan individu dari golongan miskin adalah mereka yang ditahan di bawah undang-undang kontroversi yang membenarkan suspek ditahan tanpa perbicaraan sehingga 28 hari, demikian menurut laporan terbaru yang dikeluarkan oleh kumpulan hak asasi Malaysia pada Isnin.

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dalam laporan mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai SOSMA mendapati ahli keluarga tahanan menderita akibat tekanan psikologi dan kekangan kewangan akibat penurunan mendadak pendapatan, selain dipandang negatif oleh masyarakat sekeliling.

Bagaimanapun menurut Kerajaan Perpaduaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan tidak akan dimansuhkan, sebaliknya akan dipinda.

“Kajian selama tiga bulan kesan sosioekonomi ke atas mereka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 - SOSMA menunjukkan kebanyakkan keluarga sangat bergantung kepada tahanan dan berasal dari keluarga miskin.

“Ada di kalangan kanak-kanak yang telah berhenti dari sekolah untuk mengelak dari dicemuh oleh rakan, manakala ahli keluarga terjebak dalam kemurungan, malu dan berdepan kekangan kewangan,” demikian didedahkan oleh Sevan Doraisamy, pengarah eksekutif SUARAM semasa majlis pelancaran laporan Kesan Sosioekonomi Selepas Penahanan SOSMA di Kuala Lumpur.

Sejak 2013, dilaporkan 2,829 individu telah ditahan di bawah SOSMA.

SUARAM dalam laporannya itu turut mendedahkan beberapa kes di mana perbicaraan tahanan hanya bermula tiga tahun selepas ditangkap atas pelbagai dakwaan berkaitan aktiviti keganasan, pemerdagangan manusia dan penyeludupan, walaupun tanpa sebarang bukti jelas terhadap kesemua pertuduhan jenayah itu.

Akaun bank tahanan yang dibekukan juga mengakibatkan ahli keluarga mereka berdepan dengan kesukaran untuk membayar kos guaman dalam menuntut keadilan sehingga ada yang terjebak dalam perangkap hutang sehingga kehilangan tempat tinggal akibat gagal membayar ansuran bulanan pinjaman kediaman.

Bukan itu sahaja, stigma sosial negatif yang terpalit kepada keluarga terlibat juga mengheret kepada kemurungan, kata laporan itu lagi.

Dalam kes tertentu, bebanan akibat perasaan malu melarat sehingga keruntuhan rumahtangga, dengan ada kalangan pasangan yang bercerai sebelum perbicaraan bermula.

SOSMA diperluas

SUARAM mengeluarkan laporan itu sehari selepas Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay pada satu seminar telah memaklumkan yang penggunaan SOSMA adalah perlu diperluaskan bagi membanteras aktiviti jenayah terancang.

Katanya, keberkesanan SOSMA dapat dilihat ke atas sindiket-sindiket pemerdagangan manusia semasa beliau berkhidmat sebagai Ketua Polis Johor.

Penahanan tidak hanya melibatkan penyeludup tetapi juga pegawai-pegawai penguatkuasa yang menjadi tali barut sindiket, ujarnya seperti dilaporkan agensi berita nasional Bernama.

Menurut Sevan, kenyataan Ayob tersebut bertentangan dengan pendirian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh mengenai SOSMA.

Bulan lalu, Ramkarpal dilaporkan berkata kementeriannya sedang mengkaji “penambahbaikan” undang-undang tersebut yang akan dibentangkan kepada Kementerian Dalam Negeri tanpa menyatakan bila tarikh pembentangan tersebut.

“Di satu pihak kerajaan, telah mengenalpasti SOSMA sebagai bermasalah dan dalam proses pindaaan.

“Namun di satu pihak lagi, timbalan ketua polis mendakwa ianya adalah undang-undang yang bagus dan berhasrat meluaskannya. Ia sama sekali bertentangan dengan cadangan kerajaan untuk menghadkannya,” ujar Sevasan lagi.

Golongan miskin dan lemah

Ragunath Kesavan, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) SOSMA kekal sebagai undang-undang kontroversi kerana ia memberikan kuasa kepada pihak polis untuk menahan sesiapa sahaja tanpa perintah waran.

“Bantahan kita adalah terhadap kuasa untuk menahan seseorang selama 28 hari tanpa perintah mahkamah. Selepas 28 hari, mereka mungkin akan didakwa di bawah SOSMA. Jamin tidak dibenarkan, malah jika mereka dibebaskan sekalipun, mereka akan terus ditahan reman sehingga prosiding kes tamat,” ujarnya pada majlis pelancaran laporan tersebut.

Beliau seterusnya mendesak kerajaan untuk membuktikan yang SOSMA telah berjaya menurunkan aktiviti penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia.

“Pernahkah ada mana-mana ketua kumpulan jenayah ditahan di bawah SOSMA?” soalnya lagi.

Seorang bekas tahanan SOSMA, Nur Redzwan Wan Redzmann memberitahu pengalaman ditahan selama 28 hari pertama, kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penganas IS [Islamic State] selepas berada dalam kumpulan aplikasi WhatsApp yang dikaitkan dengan pengeboman Movida, di Puchong, tujuh tahun lepas.

Katanya selepas tamat tempoh tahanan selama 28 hari, beliau sekali lagi perlu melalui tempoh menunggu yang perit 18 bulan lagi sebelum perbicaraan, dengan turut mendakwa yang beliau diseksa secara fizikal termasuk dipaksa mengakui kaitannya dengan IS.

Nur Redzwan merupakan seorang daripada 15 individu yang ditahan berkaitan serangan bom tangan ke atas kelab malam di Puchong mengakibatkan lapan orang cedera pada Jun 2016, di mana pihak berkuasa Malaysia mendakwa Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, ahli kumpulan IS rakyat tempatan yang berpangkalan di Syria, sebagai dalang dalam serangan tersebut.

“Saya telah digelar sebagai pengganas hanya kerana menyertai kumpulan perbualan WhatsApp yang salah, di mana saya tidak mengetahui sama sekali latar belakangnya sebelum menyertai mereka,” kata Nur Redzwan kepada BenarNews.

Susulan kes tersebut, beliau telah dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan paling menyedihkan apabila isterinya telah menuntut cerai akibat tidak dapat menanggung malu yang sangat memeritkan akibat keadaannya pada masa itu.

“Kini saya tidak lagi berada dalam sebarang kumpulan dalam WhatsApp. Saya juga sangat berhati-hati dengan siapa saya bercakap dan cuma berbual dengan rakan yang saya kenali.,” tambahnya lagi.

Bagi Aberameshwary Arumugam, hidupnya sangat tertekan selepas suami beliau ditahan di Penjara Sungai Buloh atas dakwaan terlibat dalam kegiatan kongsi gelap sejak dua tahun lalu.

Sambil mendedahkan yang perbicaraan suaminya hanya akan bermula pada Julai tahun depan, Aberameshwary, 43 yang pernah bekerja sebagai guru tuisyen memberitahu yaang beliau telah hilang semua pelajar selepas berita mengenai penahanan suaminya tersebar dan terpaksa menggunakan simpanan RM40,000 (AS$8,528) untuk membayar yuran guaman untuk membebaskan suaminya dari penjara.

Aberameshwary mendakwa tidak tahu menahu mengapa suaminya ditahan atas dakwaan terlibat dalam kongsi gelap.

“Tidak ada sebarang penjelasan dari Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Perdana Menteri ataupun dari Pejabat Peguam Negara walaupun kami telah mengutuskan beberapa surat dan pertemuan,” ujarnya lagi kepada BenarNews.

Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.