Perdana Menteri dikritik sambung kontrak ketua agensi anti-rasuah

Azam Baki, yang dilanda kontroversi pemilikan saham jutaan ringgit tahun lepas, dilantik semula mengetuai agensi pencegahan rasuah itu.
Iman Muttaqin Yusof
2023.05.11
Kuala Lumpur
Perdana Menteri dikritik sambung kontrak ketua agensi anti-rasuah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki bercakap kepada pemberita pada satu sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, 23 Februari, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menjadi sasaran kritikan ramai susulan keputusan kerajaan pimpinannya menyambung kontrak perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, untuk tempoh satu tahun lagi.

Beberapa kumpulan pemerhati dan blok politik menggesa supaya Anwar memberikan penjelasan kepada rakyat berkenaan pelantikan semula Azam, di mana mereka mempersoalkan mengenai isu ketelusan dan akauntabiliti.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali di dalam satu kenyataan pada Rabu mengumumkan pelantikan semula Azam itu dengan berkata ia telah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 12 Mei 2023," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Azam telah dilantik ke jawatan tersebut pada Mac 2020, menggantikan Latheefa Koya yang meletakkan jawatan selepas pertukaran kerajaan.

Sebelum Pilihan Raya Umum diadakan pada tahun lalu, pemimpin kanan parti Pakatan Harapan dipimpin Anwar telah menggesa supaya Azam ditangkap dan disiasat atas kontroversi pemilikan saham bernilai jutaan ringgit dalam sebuah syarikat pada 2015.

Azam dilanda kemelut selepas beliau dituduh mempunyai konflik kepentingan ekoran pemilikan saham tersebut dengan persoalan timbul bagaimanakah seorang penjawat awam mampu mendapatkan berjuta unit saham.

Azam bagaimanapun menafikan sebarang salahlaku dalam perkara tersebut.

Di bawah pimpinan beliau, SPRM telah melancarkan siasatan ke atas beberapa pemimpin politik berprofil tinggi, termasuk bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, pengerusi DAP Lim Guan Eng, dan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Azam juga memainkan peranan di dalam siasatan SPRM terhadap skandal memalukan negara itu, 1MDB.

Azam pada Khamis menyampaikan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan khidmatnya sebagai Ketua Psuruhjaya agensi berkenaan.

"Saya pertama kali mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Tuanku melanjutkan kontrak saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, dan juga terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mencadangkan atau menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya akan meneruskan usaha saya dalam mencegah rasuah secara maksimum dan berkesan di negara ini bagi mencapai visi SPRM yang kita impikan iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas rasuah dan SPRM sebagai pasukan penguat kuasa yang terunggul di dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sebuah majlis.

Kontroversi mengenai pemilikan saham Azam bermula selepas isu itu didedahkan pada tahun lepas oleh aktivis anti-rasuah Lalitha Kunaratnam, yang kemudiannya telah disaman beliau atas dakwaan memfitnahnya. Kes itu telah ditetapkan untuk pendengaran pada Julai depan.

Pada Januari tahun lepas, satu himpunan dipanggil #TangkapAzamBaki telah diadakan di ibu kota Kuala Lumpur dan disertai lebih 500 orang antaranya wakil parti politik, termasuk dari Parti Keadilan Rakyat yang dipimpin Anwar, Amanah, Pejuang, MUDA, dan Warisan.

Dalam kempen menjelang Pilihan Raya Umum 2022, pemimpin Pakatan Harapan, Rafizi Ramli, telah membuat janji untuk memastikan Azam Baki ditangkap atas dakwaan salahlaku berkaitan saham itu, tetapi beliau kemudiannya telah menafikan membuat janji sedemikian selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada November lepas.

Syak wasangka

Kumpulan sivil Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata Anwar sepatutnya merujuk isu pelantikan semula Azam kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen terlebih dahulu bagi mengelak sebarang syak wasangka mengenai pembabitan Perdana Menteri itu di dalam operasi SPRM.

"Anwar terlepas peluang keemasan untuk menghentikan amalan konvensyen menukar Ketua Pesuruhjaya SPRM setiap kali pertukaran kerajaan berlaku," kata pengerusinya Thomas Fann kepada BenarNews.

Dengan menyambung kontrak Azam, kata Fann, Anwar hanya mengekalkan dan memperkukuh fakta bahawa Perdana Menteri mempunyai budi bicara dan pengaruh mutlak terhadap proses pelantikan.

“Dengan itu, sesetengah pihak menuduh bahawa SPRM tidak bebas dan digunakan sebagai senjata terhadap lawan politik,” katanya dalam satu kenyataan.

"Pada masa depan, proses pelantikan harus ditetapkan dalam Akta SPRM supaya Parlimen menjadi badan yang berkuasa memilih Ketua Pesuruhjaya SPRM serta menetapkan tempoh pelantikan, sekaligus mengambil alih kuasa daripada perdana menteri untuk melantik atau memecat pemegang jawatan tersebut dengan sewenang-wenangnya," kata beliau lagi.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), salah satu parti rakan Pakatan Harapan, turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan menyambung perkhidmatan Azam dan menggesa supaya Putrajaya menerangkan kenapa ia membuat keputusan sedemikian.

"Belum pun reda isu ini, belum pun selesai siasatan ke atas pimpinan Pakatan Harapan yang terlibat dalam protes yang diadakan, Azam telah diberikan sambungan kontrak oleh kerajaan baru," kata MUDA negeri Selangor dalam satu kenyataan.

"Kami ingin memahami rasional pelantikan semula Azam ke jawatan tersebut. Apakah pimpinan kerajaan kini hanya berdiam diri atas pelantikan ini? Kami memohon penjelasan bagaimana proses pelantikan ke jawatan nombor satu SPRM ini berlangsung dalam Kerajaan Perpaduan dengan ikrarnya berjanji membanteras rasuah sehabisnya."

Bagi pemimpin pembangkang pula, penyambungan kontrak Azam disifatkan sebagai satu pengesahan kepada kedudukan Azam dan penafian terhadap semua tuduhan terhadap beliau.

"Walaupun pernah berdepan dengan beberapa dakwaan yang lebih berbentuk tohmahan salah laku termasuk berkaitan pemilikan saham dalam beberapa syarikat sebelum ini, PAS secara konsisten percaya malah menerima kenyataan penafian beliau berhubung perkara itu, sekali gus menghalang percubaan pihak-pihak berkepentingan untuk menimbulkan keraguan terhadap maruah dan integritinya secara peribadi dan SPRM sebagai institusi penting negara," kata Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dalam satu kenyataan pada Khamis.

"PAS percaya pelanjutan tempoh perkhidmatan beliau ini turut mengesahkan kepercayaan tersebut dan menolak persepsi buruk yang cuba dilontarkan terhadap beliau dan SPRM oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu."

BenarNews telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri bagi mendapatkan penjelasan mengenai sebab disebalik keputusan kerajaan menyambung kontrak Azam, namun masih tidak mendapat sebarang maklumbalas.

Penganalisis politik Oh Ei Sun berkata keputusan Anwar untuk menyambung perkhidmatan beberapa orang ketua agensi penguatkuasa yang dilantik Muhyiddin sebelum ini telah menimbulkan persoalan.

"Keputusan Anwar melantik semula beberapa orang pegawai kanan agensi penguatkuasaan undang-undang yang sebelum ini dilantik Muhyiddin telah menimbulkan tanda tanya, terutama sekali dengan kritikan yang dihadapi para pegawai berkenaan sebelum ini.

"Satu-satunya penjelasan yang munasabah adalah Anwar mungkin mahu memastikan kelangsungan pentadbiran," kata Oh, felo kanan di Institut Hal-Ehwal Antarabangsa Singapura, kepada BenarNews.

Bagi Azmi Hassan, penganalisis politik dari Akademi Nusantara, Azam telah menjalankan kerja yang bagus dalam melawan rasuah dan beliau layak mendapat sambungan kontrak selama setahun.

"Tuduhan terhadap Azam Baki tidak pernah dibuktikan. Apabila beliau disambung perkhidmatan untuk satu tahun lagi, sudah pasti ada sesuatu atau bukti bahawa beliau telah mengambil langkah-langkah untuk melawan rasuah.

"Pada pandangan saya, beliau telah melakukan kerja yang bagus, dan sambungan khidmat itu bukan sesuatu yang buruk. SPRM di bawah pimpinan Azam telah menjadi proaktif dalam melawan rasuah, termasuk di kalangan pemimpin politik," kata beliau kepada BenarNews.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.