Pegawai Kanan Bekas Menteri Pertahanan Ditahan SPRM

Nisha David
2020.07.08
Kuala Lumpur, Malaysia
200708-MY-MatSabu.jpg Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu yang baru dilantik ditemani pegawainya bersalaman dengan penyokong beliau di Kuala Lumpur, 10 Mei 2018.
[AFP]

Pegawai kanan kepada bekas Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu telah direman enam hari bermula Rabu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) setelah disyaki menerima suapan melibatkan satu projek pertahanan bernilai jutaan ringgi pada 2019, demikian menurut sumber pihak berkuasa dan parti politiknya.

Penahanan lelaki berusia 49 tahun itu turut disahkan oleh Parti Amanah Negara, di mana Mohamad Sabu adalah Presidennya melalui kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu.

“Setiausaha politik presiden Amanah telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan atas tuduhan rasuah. Susulan dari itu SPRM telah melakukan operasi pengeledahan di ibu pejabat parti di Wisma Amanah Negara pada awal pagi ini (Rabu),” menurut kenyataan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung parti itu Mohd Hatta Md Ramli.

Dalam pada itu sumber SPRM yang dihubungi BeritaBenar berkata, setiausaha politik tersebut ditahan pada jam 8 malam Selasa selepas hadir memberi keterangan sebelum direman pada Rabu di Mahkamah Majistret Putrajaya sehingga 13 Julai.

Sumber yang namanya tidak boleh dinyatakan kerana tidak dibenarkan mengulas berkata, perintah reman telah dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM.

Di bawah seksyen ini yang baru digazetkan pada 1 Jun lalu, bukan sahaja organisasi komersial kini tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan tetapi turut merangkumi kakitangan atau orang tengah termasuk pengurusan kanan syarikat semasa berlakunya jenayah rasuah, akan dianggap secara persendirian turut melakukan kesalahan.

Menurut sumber itu lagi siasatan adalah berkaitan dengan dakwaan yang suspek telah menerima rasuah jutaan ringgit daripada sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan projek tersebut secara rundingan terus.

"Projek itu diperolehi dari sebuah kementerian pada sekitar Ogos 2019. SPRM turut menyita pelbagai mata wang tunai yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 serta dokumen berkaitan projek berkenaan," tambahnya lagi.

BeritaBenar juga dimakluamkan oleh sumber yang agensi rasuah negara itu telah mula membuka kertas siasatan ke atas setiausaha politik tersebut sekitar 2018 selepas menerima laporan daripada orang awam yang beliau menerima lebih RM800,000 (AS$187,362) dari pihak lain untuk menyelesaikan statusnya yang muflis.

"Setiausaha politik itu diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi pada tahun 2014 hingga Mei 2018, sebelum beberapa individu membuat bayaran kepada jabatan berkenaan bagi menyelesaikan hutang setiausaha politik itu.

"Disebabkan itu, siasatan dimulakan SPRM ke atas individu terbabit. Lebih 10 individu lain sudah dirakam keterangan pada tahun 2018 dan kali ini, selepas mendapat bukti baru, kes ini disiasat dengan lebih lanjut," katanya kepada BeritaBenar.

Sementara itu, Mohd Hatta turut membidas tindakan SPRM menggeledah ibu pejabat parti berkenaan berhubung siasatan kes itu.

"Tindakan geledah telah dilakukan tanpa dikemukakan terlebih dahulu dokumen waran geledah kepada pegawai keselamatan Wisma Amanah Negara. Apabila ditanya, mereka menjawab waran itu akan diserahkan kepada individu yang ditahan," katanya.

Mohd Hatta turut menuntut agar SPRM bersikap profesional dalam menjalankan tugas siasatan dengan mengikut lunas-lunas perundangan dan prosedur dengan teratur.

"AMANAH memandang serius tindakan SPRM yang bersifat keterlaluan. AMANAH memohon supaya beliau diberikan hak untuk bertemu peguam sejajar dengan prinsip hak asasi dan perlembagaan.

"Kegagalan SPRM untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus boleh menimbulkan tanggapan bahawa tindakan SPRM bermotif politik dan boleh menjejaskan imej agensi berkenaan," katanya lagi.

Pegawai kanan tentera ditahan

Dalam perkembangan yang sama, sumber mengesahkan seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan untuk siasatan berkaitan kes rasuah membabitkan projek yang sama pada Khamis lalu.

Sumber berkata, pegawai berkenaan disiasat kerana menerima rasuah RM500,000 (AS$117,101) bagi pemberian projek terbabit.

"Penahanan pegawai itu mempunyai kaitan dengan kes setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berhubung siasatan rasuah membabitkan projek secara rundingan terus di Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM56 juta.

"Reman terhadap pegawai tinggi tentera itu  disambung lagi bagi melengkapkan siasatan," katanya kepada BeritaBenar.

Sementara itu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim yang mengulas penahanan itu mengesahkan mengenai tangkapan seorang pegawai kanan Kor Askar Melayu Diraja, Angkatan Tentera Malaysia itu.

"Adalah diharapkan agar siasatan dilakukan secara telus dan profesional.

"Kami percaya SPRM akan prihatin dan waspada, agar siasatan dapat disegerakan serta tidak memberi sebarang implikasi negatif terhadap strategi keselamatan negara," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.