SPRM Mula Siasatan Dakwaan PAS Terima RM90 Juta Wang 1MDB

Ali Nufael
2019.02.06
Kuala Lumpur, Malaysia
190206-MY-MACC-PAS620.jpg Presiden Parti Islam Se-Malaysia [PAS] Abdul Hadi Awang bersalaman dengan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi (kiri) di Perhimpunan Agung PAS di Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia, 15 Sept, 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu mengesahkan satu siasatan khas akan dibuat bagi menyiasat dakwaan wang sebanyak RM90 juta (AS$22 juta) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Dalam satu kenyataan rasmi SPRM berkata siasatan itu dibuka selepas badan anti rasuah tersebut menerima satu laporan polis yang dibuat oleh orang awam mengenai perkara berkenaan pada Selasa.

"SPRM mengesahkan menerima laporan yang disalurkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam (Selasa)… Satu laporan polis oleh orang awam telah dibuat kepada PDRM dan dirujuk kepada SPRM. Sehubungan itu, SPRM akan memulakan siasatan berdasarkan kuasa dan undang- undang yang diperuntukkan," kata badan pencegahan rasuah itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada petang Selasa.

Dalam pada itu sumber kanan agensi berkenaan semasa dihubungi BeritaBenar memberitahu bahawa siasatan terhadap kes berkenaan masih belum diklasifikasikan  kerana belum diputuskan.

“Kita akan beritahu kemudian,” kata sumber itu kepada BeritaBenar.

Minggu lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menerusi setiausaha politiknya, Syahir Sulaiman mengesahkan bahawa beliau telah menghentikan saman fitnah terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown yang difailkannya tahun lepas berkaitan satu artikel yang mengaitkan pemimpin PAS itu, dengan wang yang dikatakan disalur dari dana 1MDB.

Artikel itu mendakwa wang sebanyak RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi parti tersebut supaya menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London berikutan artikel yang ditulis Clare Rewcastle-Brown yang disiarkan Sarawak Report dalam ruangan komennya pada 6 Ogos 2016.

"Abdul Hadi membuat ketetapan untuk mencari penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap defendan, manakala Clare turut menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi.

“Turut dipersetujui ialah tiada perintah berkenaan kos dan kedua-dua pihak tertakluk kepada terma untuk merahsiakan penyelesaian ini,” kata Syahir dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam akhbar Harakah Daily pada 2 Februari.

Dalam pada itu, sumber dekat dengan Presiden PAS ketika dihubungi BeritaBenar berkata bahawa segala persoalan mengenai wang RM90 juta itu akan dijelaskan oleh Abdul Hadi sendiri dalam satu kenyataan yang akan dibuat pada 11 Februari ini.

“Buat masa sekarang beliau [Hadi] tidak akan membuat sebarang kenyataan sehingga mesyuarat di peringkat pusat diadakan. Tiada kenyataan lanjut sehingga 11 haribulan (Februari),” kata sumber itu.

Pemimpin tertinggi PAS yang lain turut enggan menjawab panggilan telefon ketika dihubungi BeritaBenar.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS, Idris Ahmad memberitahu akhbar tempatan Sinar Harian bahawa parti politik yang dipimpin Hadi itu akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

“InshaAllah, PAS dibuka 25 jam sehari untuk SPRM siasat PAS,” memetik laporan Sinar Harian.

Tidak diketahui adakah kenyataan itu bersifat sindiran atau tanda keikhlasan parti tersebut memberikan laluan kepada agensi anti-rasuah negara untuk menjalankan siasatan mereka.

Tindakan Hadi pada 1 Februari menggugurkan kes saman malu melalui Perintah Persetujuan itu mendapat reaksi negatif dari pelbagai pihak yang mendesak SPRM menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.

PAS dalam usahanya sebelum ini untuk memfailkan saman malu terhadap penulis Sarawak Report itu telah meminta bantuan dari ahli-ahlinya untuk mengumpul dana bagi membantu pasukan peguam untuk dalam membawa kes itu ke mahkamah.

Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan dipetik media tiga hari lepas sebagai berkata PAS perlu berkongsi informasi dengan mereka yang membantu parti itu dalam pengumpulan dana khidmat guaman yang dipakai oleh Hadi dalam kes tersebut.

“Jangan memulakan sesuatu yang kamu tidak boleh penuhi. Kamu perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia atau setidak-tidaknya ahli-ahli kamu untuk menyatakan berapa jumlah wang sudah dihabiskan dan bagaimana wang itu diperolehi,” kata beliau dalam cicipan di akaun Twitter beliau.

Pada 9 Januari lalu, portal berita Malaysiakini melaporkan PAS berjaya memungut 400 ribu ringgit bagi membiayai kos guaman untuk saman ke atas Sarawak Report.

Bendahari PAS Razman Zakaria berkata PAS berjaya mengumpul lebih setengah juta ringgit daripada sumbangan anggota parti dan pihak lain hasil kempen kutipan dana selama dua minggu dengan jumlah yang diperolehi melepasi sasaran yang diperlukan.

Tekanan terhadap PAS

Bekas Perdana Menteri Malaysia dan juga bekas Presiden UMNO, Najib Razak dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau pada 3 Februari menafikan pemberian RM90 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun pemimpin tertinggi PAS.

“Saya tidak pernah membayar RM90 juta kepada Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atau kepada parti PAS.

“Perlu diingat bahawa pihak berkuasa di bawah kerajaan Pakatan Harapan [PH] sudah membuat siasatan yang sangat teliti terhadap akaun-akaun saya dan UMNO sejak PRU14, iaitu hampir sembilan bulan lalu.

“Jika ia benar ada sebarang bayaran dari saya atau UMNO, sudah tentu kerajaan PH akan mengambil kesempatan untuk membeku akaun bank Presiden PAS atau akaun PAS.

"Adalah amat tidak adil untuk PAS diserang dan difitnah berterusan tentang isu ini,” kata Najib dalam kenyataan itu.

Najib yang terpalit dengan skandal 1MDB didakwa di mahkamah tahun lepas selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa susulan kemenangan bergaya gabungan parti pembangkang itu pada PRU-14 pada 9 Mei 2018.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam mendakwa siasatan SPRM itu dilakukan oleh kerajaan PH dengan tujuan untuk menyekat kerjasama antara UMNO dan PAS serta memberi tekanan kepada parti Islam tersebut.

"UMNO dan PAS sudah bekerjasama dan kerjasama ini boleh dilihat di Cameron Highlands di mana UMNO menang besar dengan sokongan PAS. Kerajaan takut dengan kerjasama itu   dan mahu memberikan tekanan kepada PAS dan membuka siasatan terhadap isu berkenaan,” katanya kepada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.