Agensi Anti-Rasuah Malaysia Tahan Bekas Ketua Perisik

Ali Nufael & Hadi Azmi
2018.08.28
Kuala Lumpur, Malaysia
180828-MY-CIA-spy-1000.jpg Pegawai atasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semasa sidang media di ibupejabat agensi di Putrajaya, Malaysia, 22 Mei, 2018.
[AP]

Agensi Anti-Rasuah Malaysia menahan bekas ketua pengintip negara pada Selasa kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dana pilihan raya, menurut pihak berkuasa.

Hasanah Abdul Hamid, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Negara (MEIO), ditahan selepas dipanggil untuk disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM], menurut Azam Baki, Timbalan Pesuruhjaya SPRM pada Selasa.

Penahanan Hasanah berkaitan dengan penangkapan tujuh pegawai tinggi kerajaan yang didakwa menyalahgunakan dana awam baru-baru ini, kata Azam dalam satu kenyataan.

"Dia dipanggil untuk membantu kami, dan kami menahannya selepas penemuan awal menunjukkan bahawa dia terlibat dalam penyalahgunaan dana untuk pilihan raya, bersama dengan tujuh lelaki yang kini dalam tahanan," katanya.

Peguam Hasanah, Shaharudin Ali, mengesahkan penahanan itu.

"Ya, dia akan dibawa ke mahkamah untuk direman," kata Shaharudin kepada BeritaBenar.

Bulan lalu, Hasanah, 61, meminta polis untuk mengesan pembocoran surat rahsia yang ditulis kepada CIA dalam usaha untuk menarik Washington memberi sokongan kepada kerajaan Najib Razak, beberapa hari sebelum Perdana Menteri itu digulingkan pada pilihan raya pada Mei lepas.

Penangkapannya tidak kaitan dengan surat kontroversial itu, kata peguamnya.

Pada Isnin, tujuh pegawai kanan, termasuk timbalan ketua pengarah MEIO, dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk direman, sumber yang ada kaitan dengan siasatan memberitahu BeritaBenar.

SPRM merampas komputer riba dan jam tangan mewah dari suspek, kata sumber itu, sambil menambah bahawa penyiasat percaya dana awam itu telah digunakan untuk membeli barangan tersebut. Pihak berkuasa juga membekukan beberapa akaun bank kepunyaan suspek, kata sumber itu.

"Kami tidak tahu berapa banyak wang yang hilang, tetapi kami percaya ia berjumlah berjuta-juta ringgit," kata sumber itu, yang tidak mahu dikenali.


Hasanah Abdul Hamid [BeritaBenar/S.Mahfuz]

Hasanah dijangka hadir di hadapan seorang hakim di pejabat pentadbiran Putrajaya pada Rabu dan akan didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana menyalahgunakan kuasa dan menggunakan jawatannya untuk kepentingan peribadi, menurut sumber itu.

Tuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Dalam surat tiga halaman bertarikh 4 Mei - lima hari sebelum pemilihan yang mengejutkan sekaligus mengembalikan Mahathir Mohamad ke tampuk kuasa - Hasanah meminta sokongan Washington melalui Gina Haspel, Pengarah Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat, dengan berjanji bahawa Najib akan menjadi sekutu AS yang lebih kuat.

Surat itu menggambarkan Mahathir, 93, sebagai seorang autokrat dan "anti-Barat dan anti-yahudi".

Najib menafikan mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai surat itu, tetapi pegawai pentadbiran kerajaan Mahathir telah meminta siasatan mengapa surat itu dihantar ke CIA, sambil mengatakan bahawa tindakan itu telah menggugat kedaulatan Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.