Pihak Berkuasa Malaysia Temui AS$6.3 juta, Siasat Kes Penyelewengan Dana Pilihan Raya
2018.08.30
Kuala Lumpur, Malaysia
Agensi Anti-Rasuah Malaysia berjaya menemui wang tunai AS$6.3 juta dalam beberapa siri tangkapan berhubung kes penyalahgunaan dana pilihan raya selepas beberapa pegawai, termasuk timbalan ketua pengarah dan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) ditahan oleh pihak berkuasa itu sejak Isnin lalu.
Terbaru, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 47 ditahan di Kelantan pada jam 11 malam Rabu dan susulan daripada itu, pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] telah menemui AS$4.07 juta dari sebuah kondominium sewa di Cyberjaya, luar Kuala Lumpur.
Timbalan Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata wang kertas AS$100 yang diikat rapi dan kemas itu ditemui tersimpan di dalam sebuah bagasi di dalam kondominum berkenaan.
“Penahanan rakyat Malaysia yang mempunyai pemastautin tetap United Kingdom ini, menjadikan jumlah yang ditahan berhubung kes penyalahgunaan dana pilihan raya seramai sembilan orang. Ahli perniagaan itu kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media yang diadakan di ibupejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis.
Beliau berkata, kesemua wang AS$6.3 juta itu ditemui di beberapa lokasi termasuk di sebuah pejabat, kondominium, serta berikutan pembongkaran sebuah pejabat di Jabatan Perdana Menteri.
Pada Selasa, SPRM menahan bekas ketua pengintip negara Hasanah Abdul Hamid kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dana pilihan raya selepas tujuh pegawai tinggi kerajaan dari agensi itu ditahan atas dakwaan menyalahgunakan dana awam sehari sebelumnya.
Hasanah, ditahan selepas dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM dan kini ditahan reman selama lima hari mulai Rabu, dengan peguamnya tidak dibenarkan untuk bertemu beliau setelah SPRM memohon mahkamah mengehadkan hak wanita itu semasa berada dalam tempoh tahan reman di bawah Seksyen 28A [8] Kanun Prosedur Jenayah.
Kaitan 1MDB?
Azam mendedahkan bahawa wang itu dipercayai dibawa masuk ke Malaysia sekitar tiga bulan lalu dan berkata, “Kami masih mencari bakinya yang berjumlah lebih AS$5 juta dan dipercayai jumlah keseluruhan wang diseleweng adalah AS$12 juta,"
Beliau menambah, siasatan kini dijalankan untuk mengenal pasti sumber wang tersebut dan tujuan ia dibawa masuk.
"Adakah ia terlibat dengan 1MDB? Mungkin," jawab Azam ketika ditanya soalan sama ada wang yang ditemui itu mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad [1MDB] oleh wartawan.
Namun beliau mengatakan bahawa hakikatnya wang berkenaan berada di bawah jagaan MEIO, yang merupakan jabatan kerajaan, sekaligus bermakna SPRM menganggapnya sebagai dana kerajaan.
"Oleh itu, kes ini disiasat atas dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai kerajaan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM," kata Azam.
BeritaBenar telah dimaklumkan bahawa wang itu dibawa masuk sebelum pilihan raya umum dan dipercayai digunakan semasa pilihan raya baru lalu.
"Sama ada ia berkaitan dengan 1MDB, pihak berkuasa sedang menyiasat," kata sumber yang tidak dapat dinamakan kepada BeritaBenar kerana sensitiviti isu itu.
Sementara itu, Azam berkata, SPRM sudah memanggil beberapa saksi termasuk tiga saksi dari luar negara dan sedang mengesan 20 lagi saksi untuk dipanggil bagi membantu siasatan kes itu.
“SPRM juga tidak menolak kemungkinan beberapa lagi pegawai MEIO akan ditahan bagi membantu siasatan kes dan kita juga menjangka akan dapat menyelesaikan siasatan kes ini dalam tempoh dua bulan dan berharap tiada pergerakan wang ke luar negara,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Hasanah, Shaharudin Ali, berkata bahawa pasukannya telah memfailkan permohonan mencabar keputusan mahkamah pada Khamis yang menghalangnya daripada bertemu anak guamnya sepanjang berada dalam tahan reman selama lima hari.
Hasanah yang ditamatkan perkhidmatan pada 30 Jun ekoran peralihan kuasa setelah pilihanraya umum ke-14 sebelum ini dikecam apabila menghantar sepucuk surat yang ditandatanganinya yang dialamatkan kepada Pengarah Agensi Risikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) yang tular di media sosial.
Kandungan surat tersebut antara lain merayu dan meminta sokongan Pengarah CIA Gina Haspel untuk kepimpinan Najib Razak, yang disifatkan oleh Haniff Khatri, seorang pakar perundangan sebagai tindakan mengkianati negara dan sistem demokrasi berparlimen.
Ekoran itu, pada 31 Julai Hasanah bersama peguamnya telah membuat laporan polis berkenaan pendedahan surat itu yang dikatakan membongkar rahsia negara dan memporak-perandakan keselamatan pegawai-pegawai perisikan negara.