AS Tegur Malaysia Kenakan Sekatan Terhadap Media, Kebebasan Internet

Staf BeritaBenar
2016.03.02
Washington DC
160302-my-johnkirby620 Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat John Kirby, yang kelihatan membincangkan tentang letupan bom Korea Utara pada 6 Jan 2016, mengeluarkan kenyataan pada Rabu mencabar Malaysia atas tindakannya menyekat laman web internet yang menyiarkan berita-berita mengkritik kerajaan negara itu.
AFP

Dalam tegurannya yang jarang sekali berlaku terhadap rakan sekutu rapatnya di  Asia Tenggara, Amerika Syarikat pada Rabu menggesa Malaysia supaya " menghormati sepenuhnya" kebebasan bersuara dan melonggarkan sekatan terhadap media yang melaporkan secara kritikal tentang kerajaan negara itu di Kuala Lumpur.

"Amerika Syarikat amat bimbang dengan tindakan Kerajaan Malaysia baru-baru ini untuk menyekat akses kepada laporan tempatan dan antarabangsa mengenai hal ehwal semasa Malaysia," kata Jurucakap Jabatan Negara AS John Kirby dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Washington pada Rabu.

"Keputusan kerajaan pada 25 Feb untuk menyekat portal berita dalam talian The Malaysian Insider (TMI) merupakan yang terbaru dalam siri tindakan sama terhadap organisasi media."

Minggu lalu, polis Malaysia menyoal siasat Ketua Eksekutif TMI dan empat pekerjanya, sehari selepas syarikat telekomunikasi menutup laman web itu atas arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  Malaysia (SKMM).

Laman itu disekat dalam negara selepas ia menyiarkan laporan yang mendakwa adanya bukti yang boleh dipercayai untuk melakukan pendakwaan terhadap Perdana Menteri Najib Razak dalam skandal yang dikaitkan dengan dana negara sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

TMI adalah laman berita kedua yang disekat tahun ini selepas Asia Sentinel, yang berpejabat di Hong Kong, mengalami nasib yang sama pada 29 Jan lalu.

Sarawak Report, laman web berita Malaysia yang berpejabat di United Kingdom, telah disekat di Malaysia sejak 20 Julai 2015. Selain itu, Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia mendakwa bahawa laman web hos blog Medium telah disekat sejak Januari, nampaknya kerana ia menerbitkan satu artikel daripada Laporan Sarawak.

Kirby berkata, AS gusar dengan kerajaan Malaysia yang tidak bertindak secara telus dan tidak memberikan proses sewajarnya kepada organisasi dan platform  media yang menjadi sasaran sebelum menyekat aksesnya, serta tindakan kerajaan itu memulakan siasatan jenayah terhadap wartawan, pengarang dan penerbit dari organisasi media tempatan dan antarabangsa.

Kirby juga menyuarakan "kebimbangan sama" di mana "ramai pengguna media sosial di Malaysia menghadapi tuduhan kerana catatan yang mengkritik kerajaan dan pemimpin negara itu. Pegawai-pegawai Malaysia juga menyifatkan pindaan yang bakal dibuat terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia akan terus menyekat ruang dalam talian. "

Sekutu bagi perdagangan, usaha anti-keganasan


Amerika Syarikat membuat teguran itu sehari selepas The Wall Street Journal menerbitkan laporan bahawa Najib mungkin telah menerima beratus-ratus juta dolar lebih daripada AS$687 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya pada 2013. Pada  Selasa, The Wall Street Journal melaporkan bahawa deposit lain turut dibuat ke dalam akaun beliau pada 2011 dan 2012.

Jurucakap kerajaan menolak artikel terbaru The Wall Street Journal mengenai Najib,  dengan merujuk kepada laporan dari pejabat Peguam Negara Malaysia yang membersihkan beliau daripada salah laku yang berkaitan dengan derma 2013. Peguam Negara memutuskan pada awal tahun ini bahawa wang itu adalah hadiah daripada kerabat diraja Arab Saudi, dan kebanyakan daripadanya telah dikembalikan.

Walaupun Amerika Syarikat membuat teguran itu, Kirby berkata negara ini mahu mengekalkan hubungannya dengan Malaysia.

Kuala Lumpur bersama-sama dengan Amerika Syarikat dan 10 negara lain telah menandatangani perjanjian perdagangan mercu tanda iaitu Perkongsian Trans-Pasifik (TPP). Malaysia juga adalah rakan kongsi utama Amerika Syarikat dalam usaha  menangani ancaman radikal Islam di Asia Tenggara dan pengaruh serantau kumpulan ekstremis Negara Islam (IS).

"Amerika Syarikat dan Malaysia telah membina perkongsian komprehensif yang kukuh, di mana kami berharap dapat memperluaskan lagi kerjasama dalam pelbagai cabaran bersama. Dalam konteks itu, kami menggesa kerajaan Malaysia untuk memastikan bahawa semua undang-undang, yang sedia ada dan akan datang, supaya menghormati sepenuhnya kebebasan bersuara, termasuk pengaliran bebas idea di internet, "kata Kirby.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.