Mahkamah Malaysia Dapati Portal Berita Bersalah Atas Komen Pembaca

AS, UK dan Kanada mengkritik keputusan yang dibuat dengan mengatakan ianya adalah tamparan kepada kebebasan media
Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-02-19
Share
Mahkamah Malaysia Dapati Portal Berita Bersalah Atas Komen Pembaca Ketua Pengarang portal berita Malaysiakini, Steven Gan bercakap kepada media di luar ruang mahkamah selepas keputusan dibacakan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, 19 Februari, 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah tertinggi di Malaysia pada Jumaat mendapati laman berita Malaysiakini bersalah atas pertuduhan menghina mahkamah berkaitan beberapa komen pembaca yang mengkritik institusi kehakiman negara dengan keputusan itu mendapat kritikan antarabangsa susulan impak yang besar yang dibawa olehnya terhadap kebebasan media.

Mahkamah yang sama membebaskan ketua pengarang portal tersebut, tetapi menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500,000 (AS$123,685), satu jumlah yang berjaya dikumpulkan oleh portal itu melalui derma kilat orang ramai dalam masa beberapa jam selepas keputusan mahkamah diumumkan.

Di dalam penghakimannya, Mahkamah Persekutuan berkata Malaysiakini gagal membuktikan bahawa mereka tidak menyedari komen-komen mengkritik kehakiman yang dimuatnaik oleh pembaca.

"Mahkamah mendapati dakwaan bahawa Responden Pertama telah memudahkan penerbitan komen-komen tersebut telah dibuktikan. Oleh itu, mahkamah mensabitkan Responden Pertama dengan kesalahan menghina mahkamah," kata Hakim Rohana Yusof ketika membacakan keputusan majoriti panel tujuh hakim itu, merujuk kepada Malaysiakini.

Peguam Negara Malaysia pada Jun tahun lalu telah memfailkan pendakwaan menghina mahkamah terhadap Malaysiakini dan ketua editornya Steven Gan, di atas lima komen yang dimuatnaik oleh pembaca laman berita itu, yang disifatkan sebagai menjejaskan keyakinan orang awam terhadap institusi kehakiman.

Mahkamah itu bagaimanapun membebaskan Gan, dan menyatakan bahawa mereka berpuas hati bahawa Gan tidak mempunyai sebarang peranan dalam membantu pembaca dalam memuatnaik komen mereka.

"Tiada bukti atau fakta yang dikemukakan bahawa nama Responden Kedua muncul di laman Malaysiakini dalam satu cara yang menyumbang kepada memudahkan penerbitan komen-komen yang menghina," kata hakim, merujuk kepada Gan.

"Oleh itu, kami tidak berpuas hati bahawa satu kes yang melampaui keraguan munasabah telah dibuat terhadap Responden Kedua. Dalam pandangan kami, Responden Kedua tidak bersalah menghina mahkamah seperti yang didakwa pihak pemohon."

Bagaimanapun, mahkamah tetap mengenakan denda yang tinggi terhadap Malaysiakini, menyatakan bahawa komen-komen yang dimuatnaik pembaca telah dibaca dengan meluas.

"Kenyataan-kenyataan yang dikritik itu (impugned statements) telah pergi jauh dan meluas... kandungan yang palsu (spurious) dan bersifat tercela, mengaitkan tuduhan korupsi yang mana adalah tidak benar dan tidak terbukti," kata Yusuf.

"Kami berpandangan bahawa jumlah denda sebanyak RM500,000 adalah bersesuaian, dan mahkamah meminta denda ini dibayar dalam masa tiga hari dari hari Isnin ini."

Jumlah denda itu adalah lebih daripada dua kali ganda amaun yang diminta pihak pendakwaan. Bagaimanapun, Malaysiakini telah berjaya mengumpulkan jumlah mencukupi dalam masa lebih kurang empat jam selepas keputusan dibuat mahkamah, selepas ia meminta derma secara atas talian melalui mesej yang dikeluarkan dalam media sosial.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, perkaRa itu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menyokong laman portal berita tersebut.

"Ia menunjukkan semua yang betul dan salah di dalam negara ini. Rakyat sudi tampil dan membuat apa yang mereka mampu bagi memastikan suara mereka didengar dan menjadikan negara ini lebih baik, serta menyumbang kepada memperbetulkan apa yang salah, kata Chandran, menurut satu nota yang ditulis dalam laman Malaysiakini bagi menyatakan rasa terima kasih mereka kepada para penyumbang.

Sementara itu, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur serta Suruhanjaya Tinggi British dan Kanada ke Malaysia turut menyuarakan kegusaran mereka mengenai keputusan mahkamah itu, yang disifatkan sebagai satu pukulan terhadap kebebasan ekspresi.

"Kami berasa bimbang dengan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Malaysiakini pada hari ini, dan impaknya terhadap kebebasan media di Malaysia," kata Kedutaan AS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas keputusan mahkamah.

"Kebebasan media adalah satu asas yang penting dalam keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan semua masyarakat. Manusia mesti dibenarkan untuk berbincang dan berdebat mengenai isu-isu secara bebas," kata Suruhanjaya Tinggi British dan Kanada dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat.

Mempersendakan keadilan

Gan berkata bahawa beliau "amat kecewa" dengan keputusan mahkamah yang dibuat ketika landskap media baru berkembang pesat di dalam negara.

Wartawan veteran itu merujuk kepada satu peruntukan undang-undang, yang mana menurut satu pemerhati media tempatan: menjadikan sesiapa yang mentadbir, mengoperasi atau memberikan ruang kepada komuniti forum atas talian bertanggungjawab ke atas kandungan yang dimuatnaik melalui servis disediakan mereka.

"Penggunaan seksyen ini... mengancam kebebasan ekspresi di atas talian dan menganggap mereka yang menerbitkan kandungan atas talian sebagai bersalah berbanding tidak bersalah," kata Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dalam satu kenyataan, merujuk kepada Seksyen 114A dalam Akta Keterangan.

"Keputusan kerajaan untuk mendakwa Malaysiakini dan keputusan mahkamah hari ini mencipta satu preseden/duluan yang meletakkan beban ke atas media atas talian, membawa kepada kehancuran kebebasan media di Malaysia."

Menurut CIJ, dalam situasi semasa, wartawan dan portal-portal berita telah menjadi sasaran siasatan polis dan dakwaan di mahkamah atas laporan mereka sejak kerajaan Muhyiddin Yassin mengambil alih pemerintahan negara awal tahun lepas.

"Kami menjangka Malaysia akan menjadi lebih autoritarian sekiranya kerajaan terus menghukum dan menakut-nakutkan media dengan cara sebegini. Kami mengulangi pendirian mengenai keperluan untuk menghapuskan undang-undang yang bersifat menekan yang mempunyai impak ke atas kebebasan media dan ekspresi - dalam kes ini Seksyen 114A Akta Keterangan," kata CIJ.

Kumpulan advokasi media Gerakan Media Merdeka berkata keputusan penghakiman tersebut "akan melemahkan model perniagaan berita ketika industri media sedang bergelut untuk bertahan."

Pemerhati antarabangsa Human Rights Watch juga mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan bahawa undang-undang telah digunakan dalam kes Malaysiakini melalui cara "mempersendakan keadilan" (travesty of justice).

"Meletakkan penerbit atas talian seperti Malaysiakini untuk bertanggungjawab ke atas komen pembaca akan memaksa mereka dan juga organisasi media lain, atau mana-mana platform yang membenarkan komen pembaca, supaya memilih di antara melarang komen sedemikian dibuat atau untuk mengenakan tapisan keterlaluan bagi mengelakkan diri mereka daripada dipersalahkan," kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah Human Rights Watch di Asia.

"Tanpa ragu lagi bahawa akibat daripada keputusan hari ini akan membawa kepada kesan yang signifikan terhadap situasi kebebasan bersuara di Malaysia. Parlimen Malaysia sekarang ini patut menggubal undang-undang bagi menghalang pihak ketiga menanggung liabiliti sesuatu kandungan, atau meminda undang-undang sedia ada yang membenarkan liabiliti seperti itu."

Robertson menambah bahawa jumlah penalti yang dijatuhkan ke atas Malaysiakini adalah satu cubaan untuk menjadikannya tidak berupaya dari segi kewangan.

"Mengenai denda yang dikenakan kepada Malaysiakini, yang melebihi amaun dipinta pihak pendakwaan, ia adalah jelas bahawa kerajaan Malaysia dan Mahkamah cuba untuk meniru taktik Singapura dalam menyerang media bebas, cuba membuatkan Malaysiakini muflis dengan mengenakan penalti kewangan yang keterlaluan," kata Robertson.

Dilancarkan pada 1999, Malaysiakini mempunyai kira-kira 2.5 juta pembaca, menurut halamannya di LinkedIn. Laman web berita dan Gan juga telah menerima anugerah untuk liputan berita mereka di Malaysia, termasuk Anugerah Perintis Media Bebas dari International Press Institute pada tahun 2001.

"Saya percaya, [Malaysiakini] telah memberi rakyat Malaysia cara yang berbeza untuk menafsirkan politik Malaysia," kata Profesor Zaharom Nain dari Kampus Malaysia Universiti Nottingham, kepada BBC News.

"Selain memberikan berita yang berbeza pendapat, Malaysiakini telah menunjukkan kepada banyak rakyat Malaysia bahawa ada lebih dari satu sudut pandang, dan adalah sah untuk mempersoalkan kewibawaan," tambahnya.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh