Majlis Peguam Mahu Siasatan Dilakukan Terhadap Syarikat Senjata Api
2016.05.04
Kuala Lumpur

Majlis Peguam Malaysia mahu satu siasatan dijalankan berhubung konflik kepentingan yang melibatkan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dengan sebuah syarikat senjata yang dimiliki anaknya, melalui satu suruhanjaya bebas.
Presidennya Steven Thiru berkata, isu perniagaan senjata api milik anak perempuan Khalid boleh disiasat secara berkesan sekiranya penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), seperti yang dicadangkan penubuhannya oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menambah baik pasukan polis pada tahun 2005.
Beliau berkata, konflik kepentingan perniagaan lesen senjata api oleh anak perempuan Khalid itu perlu diberi perhatian dan penafiannya itu tidak membuang keraguan tentang kesaksamaannya dalam meluluskan permohonan permit senjata dari syarikat anaknya.
"Lesen dan permit dikeluarkan oleh Ketua Polis Negeri, yang berada dibawah seliaan Ketua Polis Negara. Persoalannya ialah sama ada sebarang keputusan [meluluskan lesen dan permit] dipengaruhi beliau atau tidak?," kata Steven dalam ucapatamanya di majlis meja bulat Majlis Peguam mengenai akauntabiliti polis yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.
Media tempatan pada bulan lepas mendedahkan kaitan antara Khalid dengan pemilik dan pemegang saham terbesar syarikat senjata api Nilai Arms & Ammunition (NAA), Juwiza Khalid, 32, yang merupakan anak perempuan keduanya, serta abang ipar Ketua Polis Negara itu, Mohd Isa Husin, 59, yang juga pengarah syarikat berkenaan.
Khalid telah menafikan terdapatnya konflik kepentingan dengan berkata bahawa anaknya memulakan syarikat itu sebelum beliau menjadi Ketua Polis Negara dan turut melarang syarikat anaknya itu, memohon sebarang tender kerajaan.
Steven berkata, Khalid mesti menetapkan tahap profesionalisme serta standard integriti yang tinggi dan bukannya menjadi contoh buruk kepada pasukan yang diketuainya.
‘Ulangi tubuh IPCMC’
Pada ucapatamanya itu juga, beliau terus mengulangi keperluan penubuhan IPCMC, sebuah badan yang boleh menjalankan tugas pengawasan khusus terhadap polis agar integriti dan akaunbiliti pasukan itu tidak dipandang rendah.
Sepanjang sepuluh tahun lepas, Majlis Peguam itu telah beberapa kali membuat gesaan kepada kerajaan Malaysia supaya menubuhkan badan bebas IPCMC itu, sebaliknya kerajaan menolak idea penubuhannya dan memilih untuk menubuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan EAIC sebagai alternatif.
"EAIC tidak mempunyai kuasa melaksanakan hukuman keatas salahlaku polis atas sebab kuasanya yang terhad dan hanya boleh membuat cadangan mengenai sesuatu kes individu,” tambah Steven.
Katanya, walaupun EAIC telah melakukan kerja terbaik tetapi suruhanjaya itu kelihatan seperti "versi yang dicairkan bagi IPCMC, dengan perlu menyelia 19 agensi penguatkuasaan berbeza yang sekaligus mengurangkan fokus tumpuannya.
Media tempatan pada 2014 melaporkan Khalid membuat penjelasan yang polis tidak pernah menolak atau membantah penubuhan IPCMC sebaliknya tidak bersetuju dengan syarat yang diberikan kerana ia tidak memberikan hak sebenar kepada polis selaku agensi keselamatan.
"IPCMC… kita tidak pernah membantah, cuma kita tidak bersetuju dengan terma yang diusulkan di mana tidak memberikan hak kepada warga Polis DiRaja Malaysia seolah-seolah pasukan ini adalah 'second class citizen' (warga kelas kedua) yang tiada hak di bawah undang-undang," katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.
Sementara itu, Pengerusi EAIC Yaacob Md Sam dalam satu laporan pada Januari lepas berkata, suruhanjaya itu telah menerima 2,435 aduan sepanjang tahun lepas, yang melibatkan salah laku pasukan penguatkuasa, dengan peningkatan sebanyak 228 aduan daripada tahun sebelumnya.
Katanya, jumlah itu melibatkan kesemua 19 agensi penguatkuasaan yang dibawah kelolaan badan itu dengan siasatan dijalankan mendapati 80 peratus daripada aduan yang diterima adalah sah.
Yaacob juga pada bulan lalu mengumumkan mengenai penderaan fizikal yang dilakukan oleh pegawai polis termasuk kedua-dua telinga dikokot semasa mangsa masih hidup sehingga menyebabkan kematian N. Dharmendra semasa dalam tahanan polis.