Malaysia Minta Amerika Syarikat Pertimbang Keputusan Hentikan Visa Pelajar

Ray Sherman & Noah Lee
2020.07.09
Kuala Lumpur, Malaysia
200709-MY-Student-ICE-1000.jpg Seorang pegawai agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) memeriksa dokumen seorang lelaki di Pelabuhan San Ysidro, California, 2 Oktober 2019.
[AFP]

Kerajaan Malaysia pada Khamis meminta Amerika Syarikat supaya mempertimbangkan semula keputusannya untuk menghentikan pengecualian visa bagi pelajar asing di negara berkenaan kerana pandemik Koronavirus, dengan menyatakan kegusaran Malaysia mengenai nasib lebih 6,000 pelajarnya di universiti di seluruh AS.

Menteri Luar Malaysia, Hishammuddin Hussein meminta menggesa kerajaan AS supaya mencari jalan penyelesaian yang mempunyai kebolehlaksanaan lebih baik dalam isu tersebut.

“Amerika Syarikat adalah destinasi pilihan melanjutkan pelajaran bagi rakyat Malaysia, maka kerajaan Malaysia menggesa supaya pihak berkuasa AS mempertimbangkan semula keperluan  menghentikan pengecualian sementara ini dan mencari satu penyelesaian yang lebih baik bagi pelajar kami untuk meneruskan pengajian mereka," kata Menteri itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkanWisma Putra di Putrajaya pada Khamis.

Beliau berkata, Kerajaan amat bimbang dengan nasib lebih 6,000 pelajar Malaysia yang kini sedang melanjutkan pengajian mereka di pelbagai institusi di seluruh AS.

"Kedutaan Malaysia di Washington telah mengeluarkan satu nasihat pada 7 Julai, menggesa semua pelajar Malaysia untuk menghubungi universiti mereka secara langsung (berkenaan perkara ini), kerana status pengajian mereka pada musim luruh ini adalah penting dalam menentukan status imigresen mereka," kata Hishammuddin.

Menurut beliau AS adalah negara tuan rumah yang mempunyai populasi pelajar Malaysia ketiga terbesar di luar negara.

Kenyataan oleh Hishammuddin itu dikeluarkan sebagai respon kepada pengumuman yang dibuat oleh agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) pada 6 Julai, yang menyatakan bahawa pelajar asing di negara itu tidak lagi dibenarkan untuk mengikuti kelas secara atas talian sepenuhnya untuk semester pengajian pada musim luruh ini.

Pengecualian ICE

Menurut laman web ICE, Program Pertukaran Pelajar dan Pelawat (SEVP) di bawahnya telah memberikan pengecualian secara sementara berkenaan kelas atas talian bagi semester musim bunga dan musim panas disebabkan wabak COVID-19.

"Polisi ini membenarkan pelajar asing untuk mengikut lebih banyak kelas secara atas talian berbanding yang dibenarkan dalam peraturan persekutuan. Ini adalah untuk membolehkan mereka mengekalkan status bukan-imigran mereka semasa krisis COVID-19," kata pihak berkuasa berkenaan dalam menjelaskan arahan terbaru mereka.

Menurut ICE, kegagalan untuk mematuhi arahan berkenaan akan menyebabkan pelajar dihantar pulang ke negara masing-masing, manakala semua pusat pengajian dan sekolah juga diwajibkan untuk memaklumkan pihak berkuasa dalam tempoh 10 hari sekiranya ada pelajar asing yang mengubah mod pembelajaran mereka kepada kelas atas talian sepenuhnya.

Arahan berkenaan adalah terpakai ke atas semua pelajar asing dalam kategori F-1, iaitu mereka yang menjalani pengajian secara kerja kursus akademik, dan M-1 iaitu pelajar yang menjalani kerja kursus secara vokasional.

"Pelajar bukan imigran di dalam AS adalah tidak dibenarkan untuk mengambil pengajian mereka sepenuhnya secara atas talian. Sekiranya pelajar mendapati mereka di dalam situasi ini, mereka mesti meninggalkan negara atau mencari langkah alternatif bagi mengekalkan status bukan imigran mereka. Antara langkah yang boleh diambil seperti mengurangkan beban kursus mereka atau mengambil cuti sakit," kata pengumuman berkenaan.

Selain itu, Jabatan Negara AS juga tidak akan mengeluarkan lagi visa untuk pelajar menyertai sekolah atau program yang menawarkan pengajian atas talian sepenuhnya semasa musim luruh, dan agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS juga tidak akan membenarkan pelajar berkenaan untuk memasuki negara itu.

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan sejumlah pusat pengajian di AS, termasuk Universiti Harvard, untuk mengubah mod pembelajaran pelajar mereka kepada kelas secara atas talian.

Menurut Institut Pendidikan Antarabangsa (IIE), terdapat lebih satu juta pelajar asing di AS bagi tahun pengajian 2018-2019, iaitu 5.5 peratus daripada jumlah total populasi pelajar pengajian tinggi AS.

Dua institusi pengajian tinggi di AS - Universiti Harvard dan Institut Teknologi Massachusetts - juga telah memfailkan tindakan undang-undang bagi menghalang tindakan ICE.

Sementara itu, Kedutaan AS di Kuala Lumpur dalam responnya kepada BeritaBenar mengenai isu berkenaan berkata semua pelajar digesa untuk berhubung dengan kedutaan masing-masing di AS bagi mendapatkan maklumat terkini berkenaan isu terbabit.

"Kami maklum mengenai cabaran serius yang dibawa oleh pandemik COVID-19 kepada universiti dan juga pelajar, dan kami berharap ramai pelajar antarabangsa yang merancang untuk meneruskan pengajian di AS pada musim luruh ini akan dapat berbuat demikian di bawah pengecualian sementara ini.

"Untuk maklumat terperinci, pelajar boleh menyemak dengan kedutaan dan mereka patut berhubung rapat dengan pasukan perhubungan antarabangsa universiti mereka," kata seorang jurucakap Kedutaan AS kepada BeritaBenar pada Khamis.

Kecewa


Sementara itu, Himpunan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (NAMSA) menyuarakan kekecewaan mereka terhadap tindakan kerajaan AS itu.

"NAMSA ingin menyuarakan kekecewaan kami yang teramat sangat serta kebimbangan terhadap keputusan terbaru ini, yang mana ia akan memberi kesan kepada ribuan pelajar Malaysia di AS dan menyebabkan kepayahan yang tidak munasabah serta tidak pernah terjadi sebelum ini, dengan mengambil kira implikasi kewangan serta perbezaan masa di antara Malaysia dan AS dan akses kepada Internet kepada mereka yang dipaksa untuk meninggalkan AS sebelum menamatkan pengajian mereka.

"Buat masa ini, NAMSA menasihatkan supaya semua pelajar Malaysia merujuk atau menghubungi universiti mereka untuk mendapatkan arahan selanjutnya, kerana mereka boleh menentukan status imigresen melalui Borang 1-20. Ini adalah amat penting bagi semua yang menjalani pengajian di institusi yang menggunakan mod campiran," kata jawatankuasa NAMSA dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.