Kebebasan Bersuara: Pengkritik Kerajaan Disiasat Polis, Aktivis Nyatakan Kerisauan
2020.06.18
Kuala Lumpur, Malaysia
Pihak berkuasa Malaysia telah menjalankan soal siasat terhadap beberapa Ahli Parlimen negara itu dibawah Akta Hasutan setelah mereka didakwa mengkritik atau mempersoalkan polisi kerajaan secara terbuka yang sekaligus menimbulkan kerisauan mengenai kebebasan bersuara sejak berlakunya perubahan kerajaan pada Mac lepas, menurut aktivis dan penganalisa.
Tiga Ahli Parlimen pembangkang telah dipanggil untuk memberi kenyataan kepada polis, termasuk yang terbaru bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Khamis berkaitan temu bual beliau bersama agensi berita antarabangsa Al Jazeera, yang dikatakan berbaur hasutan pada 6 Mac lepas.
“Saya telah dipanggil oleh Bukit Aman untuk memberi keterangan siasatan temu bual saya bersama Mehdi Hasan. Temu bual ini untuk siaran Al Jazeera pada 6 Mac 2020 (hampir 4 bulan lepas),” kata Syed Saddiq melalui satu ciapan Twitter pada Khamis.
Dalam temu bual tersebut, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengulas tentang kekecewaannya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dikatakan “membuka semula pintu kerajaan kepada golongan kleptokrat”.
“Apa yang mengecewakan saya ialah hari ini, pemimpin saya sendiri, ‘bapa’ saya, pilih untuk membuka semula pintu kerajaan dan demokrasi kepada golongan kleptokrat yang mengugut saya dan keluarga, yang memecat beliau dan mengugut keluarga beliau. Kini beliau bersama mereka,” kata Syed Saddiq kepada personaliti Al Jazeera, Mehdi Hasan.
Bercakap kepada BeritaBenar, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan yang pihak berkuasa negara itu memanggil bekas menteri berkenaan untuk disoal siasat.
“Ya, kita telah memanggil bekas menteri itu, Syed Saddiq ke Bukit Aman, pada jam 2.30 petang untuk disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia,” kata Mior Faridalathrash kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Khamis.
Selain Syed Saddiq, bekas Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Hannah Yeoh juga telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa negara itu berhubung satu ciapan Twitternya yang mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah timbalan menteri sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff.
Hannah telah mengesahkan yang beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan pada Selasa depan berhubung perkara tersebut manakala pada 20 Mei lepas, bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, A Xavier Jayakumar turut disiasat di bawah Akta Hasutan berhubung satu klip video pendek beliau mempersoalkan mengenai persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mac lalu adalah "tidak berfaedah" dan "mengarut."
Dalam klip video berdurasi tiga minit itu Jayakumar telah didakwa berkata sidang pendek parlimen dibuat kerana kerajaan Perikatan Nasional takut untuk bersidang secara penuh ekoran usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin oleh bekas perdana menteri Mahathir.
Pihak berkuasa Malaysia juga telah memanggil aktivis sosial Cynthia Gabriel, advokasi utama C4 Center, iaitu sebuah pusat membasmi rasuah dan kronisma berhubung kenyataan beliau pada Mac lalu yang mempersoalkan keabsahan pemerintahan Muhyiddin yang terhasil ekoran krisis politik melalui ‘Langkah Sheraton’ pada hujung Februari.
Dalam pada itu, Peguam Negara Idris Harun telah mengheret portal berita tempatan Malaysiakini ke mahkamah atas tuduhan menghina sistem kehakiman melalui komen pembaca dalam artikel yang dikeluarkan pada 9 Jun lalu yang bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1”.
Tutup mulut
Aktivis dan penganalisa tempatan dan antarabangsa berpendapat apa yang sedang berlaku di Malaysia pada masa ini adalah usaha menutup mulut sesiapa sahaja yang berani mengkritik kerajaan yang boleh menimbulkan kegusaran dan ketakutan dikalangan rakyat.
Penganalisa politik James Chin dari University of Tasmania berkata kerajaan jelas cuba memberi amaran kepada rakyat dengan mengambil tindakan terhadap pemimpin yang disenangi dan popular dikalangan masyarakat.
“Saya tidak berpendapat yang kerajaan Muhyiddin akan berjaya membungkam kebebasan bersuara kerana kebiasaannya,” kata Chin kepada BeritaBenar.
Beliau juga mempersoal kenapa Malaysiakini disaman dan dipertanggungjawabkan terhadap komen dari pembacanya sambil berkata,
“Kelak selepas membaca sesuatu artikel, anda tidak lagi boleh mengulas di ruangan komen dan ini mematikan konsep perkongsian dan soal jawab secara terus,”
Timbalan Pengarah Asia Human Rights Watch, Phil Robertson pula berpendapat yang kerajaan Perikatan Nasional menghampiri sama tahap dengan pemerintahan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak yang mana sesiapa sahaja yang berani bercakap tentang 1MDB boleh didakwa.
“Kerajaan Perikatan Nasional sedang ‘menyerang’ pengkritik dari kanan dan kiri dan kebebasan berekspresi kini menjunam dan menghampiri tahap sama semasa pemerintahan Najib yang mana sesiapa sahaja yang berani bercakap tentang 1MDB boleh didakwa,” kata beliau.
Tambah beliau, tindakan pihak berkuasa menyiasat Hannah hanya menyuarakan kegusaran sebagai seorang Ahli Parlimen berkenaan isu perkahwinan bawah umur sebagai satu tindakan tidak masuk akal.
“Ia kelihatan seperti Muhyiddin dan menteri-menterinya mahu menutup mulut sesiapa sahaja yang berani mengkritik kerajaan,” kata Robertson kepada BeritaBenar.
Turut mengulas tentang isu yang sama ialah Gabungan Tindakan Bersama Untuk Kesaksamaan Jantina (JAG) yang berkata tindakan yang sedang dan telah dibuat oleh pihak berkuasa bukan sahaja tidak masuk akal malah turut menimbulkan kegusaran dan ketakutan kepada masyarakat.
“Penglibatan kuasa polis dan siasatan jenayah jelas menunjukkan bahawa wujud tekanan untuk menakut-nakutkan penglibatan wanita dalam politik atau pergerakan wanita,” kata JAG yang mewakili 12 badan bukan kerajaan wanita di Malaysia termasuk Tenaganita dan Sisters In Islam.
Akta Hasutan adalah antara undang-undang yang telah dikenalpasti untuk dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan terdahulu namun masih dikekalkan setelah moratorium ke atasnya pada Oktober 2018 ditarik balik hampir dua bulan selepas itu, atas alasan menghadapi kes rusuhan pemindahan kuil Hindu di Seafield pada masa itu.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin pada 14 Mei berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menggunakan Akta Hasutan terhadap penyebar berita palsu yang mampu menggugat keselamatan dan keamanan negara.
Panggilan dan pesanan BeritaBenar terhadap pegawai media menteri meminta untuk mengulas mengenai perkara berkaitan bagaimanapun, tidak dijawab.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini