Follow us

Potong Bajet Suhakam, NGO Malaysia Lahir Kebimbangan

Staf BeritaBenar
2015-11-10
E-mel
Komen
Share
Seorang lelaki memegang poster "Hormati Hak Asasi Manusia" di luar bangunan Kementerian Luar Negara Malaysia di Putrajaya. 8 November 2012.
Seorang lelaki memegang poster "Hormati Hak Asasi Manusia" di luar bangunan Kementerian Luar Negara Malaysia di Putrajaya. 8 November 2012.
AFP

Pengurangan bajet bagi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sebanyak 50 peratus oleh Putrajaya membimbangkan beberapa badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi di Malaysia.

Perdana Menteri Najib Razak semasa membentangkan Bajet Malaysia 2016 di Parlimen bulan lepas, memaklumkan sebanyak RM5,509,400 akan diperuntukkan kepada Suhakam bagi tahun depan.

Bajet Suhakam bagi tahun ini, ialah RM10,986,200. Dengan jumlah baru yang diumun itu bermakna bajet Suruhanjaya itu akan dikurangkan sebanyak 50 peratus.

Kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) melahirkan rasa bimbang dan kesal mereka terhadap tindakan Perdana Menteri Najib Razak yang mengurangkan bajet institusi hak asasi manusia kebangsaaan itu.

Manakala Suhakam berkata, Suruhanjaya itu akan meminta penjelasan daripada kerajaan mengenai keputusannya mengurangkan peruntukan bajetnya bagi tahun depan.

Suaram dalam kenyataan akhbarnya pada Selasa, menyelar Najib kerana mengurangkan bajet yang dilihat boleh menyebabkan Suruhanjaya itu sukar menjalankan operasi dan kempen awamnya.

Suhakam ialah institusi hak asasi manusia kebangsaan yang diberi mandat oleh Parlimen untuk menggalakkan pendidikan mengenai hak asasi manusia, memberi nasihat mengenai dasar dan perkara berkaitan perundangan dan melakukan siasatan.

Suruhanjaya itu lantang mengkritik beberapa dasar dan undang-undang kerajaan yang dianggapnya sebagai kejam dan tidak adil.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy pada Selasa berkata, selepas 15 tahun berjuang, Suhakam hanya mendapat sedikit pengiktirafan daripada rakyat Malaysia.

Sevan berkata, "Walaupun kejayaan mereka bukanlah tanpa kelemahan, impak mereka terhadap wacana hak asasi manusia di Malaysia tidak boleh disangkal dengan sewenang-wenangnya,

"Kerajaan Malaysia tidak boleh, dengan hati nurani yang tulus, mengaku mereka memartabatkan hak asasi manusia dan kebebasan awam apabila ia tidak dicerminkan dalam peruntukan bajet untuk Suhakam," katanya.

Sevan menggesa Putrajaya supaya mengkaji semula peruntukan bajet Suhakam serta memberi suruhanjaya itu lebih kuasa untuk campur tangan bagi menjalankan operasi dan kempennya.

Beliau berkata, potongan bajet itu hanya menunjukkan kurangnya kesungguhan dari pihak kerajaan untuk memberi kuasa kepada Suhakam.

"Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan kerajaan gagal mematuhi Prinsip-prinsip Paris dan akhirnya mengakibatkan Suhakam jatuh daripada status 'A' yang dipegangnya ketika ini," kata Sevan yang merujuk kepada syarat diguna pakai Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata penurunan gred itu akan meningkatkan lagi senarai pencabulan hak asasi manusia oleh kerajaan Malaysia, dan memalukan Malaysia dalam komitmennya untuk menegakkan hak-hak asasi manusia dan demokrasi.

‘Bimbang’

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Proham, Dr. Denison Jayasooria berkata, pengurangan drastik bajet Suhakam adalah sesuatu yang mengejutkan dan tidak dapat diterima.

“Ia seperti memberi keutamaan paling rendah terhadap kerja-kerja yang melibatkan hak asasi yang dijalankan Suhakam oleh kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Denison berkata, Proham mahu kerajaan memastikan Suhakam mendapat cukup pembiayaan untuk menjalankan tugas badan hak asasi itu seperti yang ditetapkan oleh Akta Suhakam (597).

Sementara itu, Pengerusi Suhakam Hasmy Agam berkata, Suruhanjaya itu, amat bimbang dengan pengurangan bajet berkenaan kerana pelbagai program yang dirancang tidak dapat dilaksanakan.

"Kami tentunya sangat bimbang mengenai potongan drastik bajet itu kerana ia akan memberi kesan buruk kepada program dan aktiviti yang dirancang," Hasmy dipetik sebagai berkata kepada portal berita The Malaysian Insider.

"Kami akan membawa perkara itu kepada kerajaan. Kami juga akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkembangan perkara ini,” kata beliau.

Suhakam pernah menggesa Putrajaya supaya memansuhkan Akta Hasutan dan mengkritik kerajaan kerana menggunakannya untuk mendiamkan mereka yang terdiri daripada pembangkang, aktivis dan wartawan yang berbeza pendapat dengan kerajaan.

Lihat Laman Penuh