ASEAN, AS Ikrar Tindakan Bersama Mengenai Keselamatan, Kemakmuran

Staf BeritaBenar
2016.02.16
160216-SEA-SUNNYLAND620 Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan pemimpin-pemimpin Asia Tenggara mengambil bahagian dalam sesi bergambar pada akhir Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN di Sunnylands, Rancho Mirage, California, 16 Februari 2016
AFP

Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN pada Selasa mengakhiri sidang kemuncak dua hari dengan komitmen menyeluruh untuk meningkatkan keselamatan maritim dan aktiviti ekonomi di rantau itu dan mengehadkan aliran rakyat Asia Tenggara ke kawasan dikuasai  Negara Islam (IS)  di Timur Tengah.

Satu kenyataan bersama, yang dikeluarkan pada akhir perhimpunan itu di ladang Sunnylands yang indah pemandangannya di California,  padat dengan rujukan kepada perluasan China di kawasan perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan, di tengah-tengah kebimbangan bahawa negara jiran utara itu akan mengawal sumber utama dan laluan maritim .

Amerika Syarikat dan 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) mengesahkan komitmen untuk ‘memastikan keselamatan dan keselamatan maritim, termasuk hak kebebasan pelayaran dan penerbangan serta kegunaan  lain yang sah  di lautan itu, dan tanpa halangan perdagangan maritim yang sah,’ serta ‘untuk menangani cabaran biasa dalam domain maritim.’

Semasa ditanya awal hari ini jika sidang kemuncak itu akan menyampaikan satu kenyataan bersama mengenai Laut China Selatan, yang menteri-menteri pertahanan ASEAN  gagal lakukan pada  November lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry memberi jawapan yang afirmatif,  walaupun kenyataan itu tidak menamakan China atau lautan itu.

"Kami membincangkan keperluan untuk langkah-langkah nyata di Laut China Selatan bagi mengurangkan ketegangan termasuk menghentikan penambakan lanjut, pembinaan baru dan ketenteraan di kawasan yang dipertikaikan," kata Presiden AS Barack Obama kepada pemberita selepas sidang kemuncak itu, lapor Reuters.

China dan empat negara ASEAN - Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam – mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan yang AS mahu menyelesaikannya secara aman.

Menangani ekstremisme


'Deklarasi Sunnylands’ berikrar bahawa rantau itu akan ‘menangani isu-isu global seperti keganasan dan ekstremisme ganas’ serta memerangi pemerdagangan orang, ubat-ubatan, hidupan liar dan kayu, dan amalan penangkapan ikan secara haram.

Para pemimpin berkenaan juga bersetuju untuk menggunakan dengan lebih baik data Interpol bagi menghalang aliran pejuang merentasi sempadan, lapor Reuters.

Beratus-ratus rakyat Indonesia dan Malaysia telah ke Syria dan Iraq untuk berjuang dengan Negara Islam. Menurut laporan baru-baru ini, para  pemimpin IS telah mengiktiraf secara rasmi sumpah taat setia daripada kumpulan militan di selatan Filipina.

Semasa merasmikan sidang kemuncak itu pada Isnin, Obama menyebut tentang serangan maut militan IS di ibu negara Indonesia bulan lalu, dengan  berkata,  "kesengsaraan akibat keganasan memerlukan kita untuk terus berwaspada, berkongsi maklumat dan bekerjasama untuk melindungi rakyat kita."

Atas permintaan Obama,  Presiden Idonesia Joko Widodo telah diminta untuk mengetuai perbincangan mengenai menangani radikal dan keganasan pada perhimpunan itu.

Indonesia telah dipilih untuk menerajui perbincangan itu kerana negara-negara lain kagum dengan dasar kerajaannya dalam menangani masalah itu, kata Menteri Luar Retno L.P Marsudi .

"Pendekatan yang diambil oleh Presiden Indonesia untuk menangani serangan pengganas pada 14 Januari lalu sememangnya sangat dihargai oleh [masyarakat] antarabangsa," kata Retno dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kabinet Indonesia pada Ahad.

Gesaan pemerintahan awam di Thailand

Sidang kemuncak itu juga menyuarakan tentang pentingnya ‘ekonomi yang dinamik, terbuka dan berdaya saing’ dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif serta pengukuhan demokrasi di rantau itu, yang masih berbeza dari segi ekonomi dan kebebasan politik yang tidak sama.

"Kami terus menggalakkan supaya kembalinya pemerintahan awam di Thailand," kata Obama pada sidang akhbar selepas sidang kemuncak itu, menurut AFP.

Obama juga berkata, perhimpunan itu bersetuju untuk bekerjasama ke arah pembaharuan yang akan membolehkan semua anggota  ASEAN untuk menyertai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), sebuah perjanjian perdagangan bebas yang meluas antara Amerika Syarikat, Brunei, Malaysia, Singapura, Vietnam, dan tujuh bukan negara anggota ASEAN.

AS berkata, ia akan membuka pejabat di Jakarta, Bangkok dan Singapura yang secara khususnya bertujuan meningkatkan penglibatan ekonomi AS di rantau itu, lapor AFP.

ASEAN merupakan rakan dagang keempat terbesar di Amerika Syarikat, yang bersaing dengan China untuk meraih pengaruh ekonomi di rantau itu.

'Perjalanan masih jauh'

Sidang kemuncak di Rancho Mirage, California, adalah yang pertama pernah diadakan di Amerika Syarikat di antara 10 pemimpin Asia Tenggara dan presiden Amerika Syarikat sejak kedua-dua pihak menjalin hubungan diplomatik empat dekad yang lalu.

Obama, yang kini di tahun akhir beliau sebagai Presiden, bercakap tentang bagaimana ASEAN berada di tengah-tengah strateginya dalam membawa  ‘keseimbangan semula’ strategik - yang digelar sebagai pangsi Asia - dalam dasar luar Amerika.

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha adalah antara pemimpin ASEAN lain yang menghadiri sidang kemuncak itu.

Ia dapat dilaksanakan walaupun mendapat  kritikan daripada aktivis hak asasi  bahawa AS menjadi tuan rumah kepada  pemimpin-pemimpin Asia yang mempunyai rekod meragukan tentang  hak-hak asasi manusia dan demokrasi.

Vietnam dan Laos adalah negara parti komunis manakala Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, yang telah berkuasa selama lebih tiga dekad, menguasai semua pusat kuasa di negaranya.

Thailand diperintah oleh junta tentera yang merampas kuasa dua tahun lalu. Di negara jirannya, Malaysia, kerajaan Najib dibelenggui dengan skandal kewangan yang berkaitan dengan dana pelaburan negara 1MDB, yang lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh beliau.

Beratus-ratus penunjuk perasaan daripada kumpulan  hak asasi dan kumpulan-kumpulan lain telah berkumpul di luar sidang kemuncak itu untuk menyuarakan tentang pencabulan hak asasi di rantau itu dan menentang TPP.

Penasihat Keselamatan Negara AS Susan Rice menangani  isu itu dalam taklimat media di Sunnylands sebelum sidang kemuncak itu dirasmikan pada Isnin.

"Kami sedar bahawa beberapa rakan ASEAN kami mepunyai perjalanan yang jauh dalam menangani hak-hak asasi manusia," kata Rice kepada pemberita, menurut transkrip yang dikeluarkan oleh White House.

"Tetapi Amerika Syarikat akan terus, seperti yang kita lakukan di mana-mana,  mempertahankan hak-hak semua rakyat," katanya sambil menambah bahawa, Presiden Obama semasa sidang kemuncak itu akan ‘menekankan tentang pentingnya tadbir urus yang baik, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia dan masyarakat awam bertenaga, serta institusi yang berkemampuan dan bertanggungjawab. "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.