1MDB: Malaysia Bekerjasama Dengan Switzerland, Peguam Negara

Staf BeritaBenar
2016.01.30
160130-MY-LAUBER620 Peguam Negara Switzerland Michael Lauber bercakap pada sidang akhbar di Bern, Switzerland. 17 Jun 2015.
AFP

Peguam Negara Malaysia berkata pada Sabtu bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Switzerland selepas satu siasatan di sana yang mendedahkan bahawa AS$4 bilion (RM16.57 bilion) mungkin telah digelapkan daripada dana pelaburan kerajaan Malaysia.

“Pejabat (saya) akan mengambil semua langkah perlu bagi melakukan susulan dan bekerjasama dengan rakan sejawatan kami di Switzerland, dan saya berharap dapat menerima hasil dan bahan siasatan daripada mereka menerusi saluran biasa,” kata Peguam Negara Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan.

“Semua bahan ini akan diteliti, bersama-sama dengan hasil yang diperoleh pihak berkuasa lain yang berkaitan dan siasatan kami sendiri, bagi menentukan tindakan yang selanjutnya, “ kata beliau.

Beliau berkata, pejabatnya dan agensi-agensi lain Malaysia sedang menjalankan pelbagai siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana negara berkenaan, yang lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Perdana Menteri Najib Razak.

"Saya dan pihak berkuasa berkaitan Malaysia berminat untuk mewujudkan semua fakta-fakta tentang 1MDB yang telah membawa kepada dakwaan baru-baru ini terhadap syarikat itu," kata Apandi.

“Pihak berkuasa Malaysia dan saya sendiri berusaha keras mengumpul segala fakta berkaitan 1MDB yang membawa kepada pelbagai dakwaan terhadap syarikat itu,” kata Apandi.

“Pihak berkuasa Malaysia... komited bekerjasama dengan semua entiti penguatkuasaan undang-undang luar negara menerusi konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang sah. Pada masa sama, 1MDB turut memberi kerjasama dalam setiap siasatan dijalankan,” kata beliau.

Bagi pihaknya, 1MDB pada Sabtu mengeluarkan satu kenyataan bahawa ia bersedia untuk bekerjasama dalam siasatan Switzerland tetapi ia belum lagi dihubungi, lapor Associated Press.

'Berbeza sepenuhnya'

Kenyataan peguam negara itu dibuat empat hari selepas pejabatnya membersihkan Najib daripada potensi pertuduhan rasuah berhubung AS$681 juga (RM2.08 bilion) yang dimasukkan  ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.

Skandal wang itu, yang dilaporkan telah dimasukkan ke dalam akaun beliau melalui syarikat berkaitan dengan 1MDB, membawa kepada desakan supaya meletakkan jawatan perdana menteri sejak berita tentang deposit wang  itu didedahkan pada Julai lalu.

Tetapi pada awal minggu ini, Apandi berkata,  "tiada kesalahan jenayah” yang dilakukan, dan  sejumlah besar wang itu  adalah "derma peribadi " daripada keluarga diraja Arab Saudi.

“Isu ini telah menjadi satu gangguan tidak wajar terhadap negara ini. Memandangkan  isu itu kini selesai sepenuhnya, sekarang masanya bagi kita untuk bersatu dan bergerak ke hadapan,” kata Najib pada Selasa selepas  peguam negara mengumumkan bahawa pejabatnya telah menutup siasatan terhadap perdana menteri.

Dalam kenyataanya pada Sabtu, Apandi menegaskan bahawa “bercanggah dengan laporan media baru-baru ini, siasatan mengenai derma kepada perdana menteri adalah berbeza sepenuhnya daripada siasatan terhadap 1MDB.

“Jabatan Peguam Negara mengkaji secara menyeluruh laporan yang disediakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan seperti diumumkan, tiada bukti adanya  sebarang salah laku, dan oleh itu, mengarahkan kes itu ditutup,” kata Apandi.

Beliau juga memberi amaran kepada pihak media, dengan berkata bahawa “sebarang percubaan oleh organisasi media untuk mengaitkan kedua-dua siasatan itu adalah tidak bertanggungjawab dan prejudis”.

Sumber dalaman suruhanjaya itu, bagaimanapun, pada Jumaat memberitahu BeritaBenar bahawa agensi itu telah mencadangkan supaya pejabat Peguam Negara meneruskan tiga pertuduhan jenayah salah guna harta berjumlah RM42 juta (AS$10.1 juta) terhadap Najib.

Sumber yang tidak mahu dikenali itu berkata, pertuduhan yang dicadangkan itu adalah berkaitan dengan tiga transaksi wang yang ditokok menjadi RM42 juta dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib daripada SRC International Subsidiaries, sebuah syarikat milik negara yang dikaitkan dengan 1MDB.

Wang untuk ekonomi, pembangunan sosial

Lewat Jumaat, pejabat peguam negara Switzerland mengumumkan bahawa ia meminta bantuan  pihak berkuasa Malaysia dalam siasatannya mengenai deposit wang yang dikaitkan dengan 1MDB ke dalam bank-bank Switzerland.

Sehingga AS$4 bilion daripada dana 1MDB itu mungkin telah disalahgunakan antara 2009 dan 2013, kata pejabat peguam negara Switzerland.

"Siasatan jenayah ... telah mendedahkan petunjuk serius bahawa dana itu telah disalahgunakan daripada syarikat-syarikat negara Malaysia. Wang itu yang dipercayai telah disalahgunakan,  mungkin diperuntukkan untuk pelaburan dalam projek-projek pembangunan ekonomi dan sosial di Malaysia,” kata peguam negara Switzerland dalam satu kenyataan.

Menurut pejabat peguam negara itu,  ia masih menyiasat tujuan yang dimaksudkan bagi dana yang digelapkan itu yang mungkin berjumlah AS$4 bilion.

"Setakat ini, ia telah ditentukan bahawa sebahagian kecil daripada wang itu telah dipindahkan ke akaun-akaun di Switzerland oleh beberapa bekas pegawai awam Malaysia serta  bekas pegawai awam dan pegawai awam semasa  dari Emiriah Arab Bersatu," kata pejabat pendakwa tertinggi Switzerland itu.

Syarikat-syarikat Malaysia berkenaan belum mengulas mengenai kerugian kewangan yang dipercayai dialami mereka, kata  pejabat peguam negara itu.  

"Oleh itu, objek permintaan bagi bantuan bersama adalah untuk menasihati syarikat-syarikat dan kerajaan Malaysia mengenai keputusan prosiding jenayah Switzerland, dengan tujuan untuk mengetahui sama ada berlakunya kerugian pada skala ini," kata pejabat peguam negara Switzerland.

Permintaan untuk kerjasama Malaysia berpunca daripada kes jenayah yang dibuka oleh  Peguam Negara Switzerland Michael Lauber  pada 14 Ogos 2015 terhadap dua bekas pegawai dan satu individu yang tidak diketahui, kata pejabat itu.

Sebagai sebahagian daripada kes itu, Switzerland sedang menyiasat rasuah yang disyaki dilakukan pegawai awam asing, pengubahan wang haram dan jenayah salah urus  wang, kata pejabat Lauber.


Razlan Rashid menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.