Malaysia Rekod Kes Kematian Pertama COVID-19 Berkait Perhimpunan di Sulawesi

Noah Lee
2020.04.07
Putrajaya, Malaysia
200407-MY-Flat620.jpg Seorang lelaki menyerahkan makanan kepada rakannya yang tinggal Flat Selangor Mansion melalui kawat berduri yang direntangkan sekeliling kawasan tersebut selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan dipertingkatkan di dua bangunan yang terletak di Kuala Lumpur, Malaysia, 7 April, 2020.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Seorang lelaki Malaysia yang mahu menyertai perhimpunan tabligh di Sulawesi dan kemudiannya dibatalkan pada Mac lalu telah meninggal dunia di Johor, akibat COVID-19, kematian pertama dikaitkan dengan perhimpunanan itu, kata pegawai dengan dua belas warga tempatan meninggal dunia akibat wabak tersebut apabila menghadiri majlis serupa di Kuala Lumpur lewat Februari.

Selain itu, pentadbiran Putrajaya juga mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua buah bangunan kediaman yang dihuni pekerja asing dari Bangladesh, Pakistan dan India di Ibunegara Kuala Lumpur, ekoran peningkatan kes yang mendadak di kedua bangunan tersebut.  

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah memberitahu, lelaki pertama daripada kluster tersebut meninggal dunia selepas dimasukkan ke sebuah hospital di Johor Bahru pada lewat Isnin.

“Lelaki berusia 71 tahun berasal dari Perlis telah meninggal dunia di Hospital Enche' Besar Hajah Kalsom di Johor pada 11 malam Isnin, sehari selepas dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan. Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan keagamaan di Sulawesi, Indonesia pada 17 Mac hingga 24 Mac, 2020," katanya pada sidang media di Putrajaya pada Selasa.

Perhimpunan Jemaah Tabligh di Sulawesi, Indonesia, telah dibatalkan oleh pengajur selepas mendapat arahan daripada pihak berkuasa negara itu pada 18 Mac lalu, yang pada masa yang sama telahpun menerima ketibaan kira-kira 3,000 pengikutnya.

Pembatalan pada saat akhir itu dibuat selepas ianya menjadi fokus kebimbangan oleh pihak berkuasa Indonesia dan juga negara-negara lain yang mempunyai rakyat yang menghadirinya, termasuk Malaysia, kerana dikhuatiri boleh merebak jangkiti COVID-19 kepada orang lain.

Setakat ini menurut pihak berkuasa Malaysia, seramai 85 rakyatnya telah pulang ke Tanahair melalui jalan laut dan darat dari Sabah dan Johor sejak 23 Mac lalu dengan empat daripada mereka telah disahkan dijangkiti COVID-19.

Noor Hisham sebelum ini pernah menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dengan polis bagi mengesan sejumlah 87 rakyat Malaysia yang didapati menghadiri perhimpunan berkenaan.

Terdahulu itu, satu perhimpunan yang serupa juga telah diadakan di sebuah masjid di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang dihadiri lebih 15,000 peserta tempatan, pada akhir Februari yang telah mencetuskan rantaian jangkitan besar di Malaysia, dengan sekurang-kurangnya12 kematian berkait kluster terbabit.

Seramai 20,035 jemaah tabligh yang menghadiri majlis tersebut telah diambil sampel untuk diuji dan daripada jumlah itu, 13,744 adalah negatif manakala 1,657 kes positif dengan  selebihnya masih menunggu keputusan ujian.

Kluster himpunan tabligh di Sri Petaling kekal kluster terbesar dengan 42 peratus dari kesnya menyumbang kepada keseluruhan kes yang direkodkan oleh KKM setakat ini.

Sehingga hari ini, jumlah keseluruhan positif virus itu yang direkodkan oleh KKM ada sebanyak 3,963 kes dengan 63 kematian dan telah mengesan empat kluster utama jangkitan termasuk Sri Petaling, dengan tiga lagi adalah himpunan gereja di Kuching, Sarawak; kluster berpunca dari seorang rakyat Malaysia yang kembali dari Itali ke Sarawak; dan kluster majlis perkahwinan di Bangi.

Rekod KKM turut menunjukkan bahawa 679 daripada kluster Sri Petaling yang positif itu adalah dari generasi pertama iaitu mereka yang menghadiri perhimpunan berkenaan.

Dalam sidang media yang sama, Noor Hisham ketika ditanya mengenai nasib warga Malaysia yang bekerja di Singapura ekoran perintah berkurung oleh kerajaan republik itu baru-baru ini,  dan berkata bahawa mereka diharapkan supaya kekal di Singapura untuk tempoh dua minggu.

"Kita sedang berbincang dengan Singapura sama ada majikan mereka dapat kekalkan mereka untuk tempoh dua minggu, dan mereka yang hendak kembali akan disaring, dan akan di ambil tindakan selanjutnya," kata Ketua Pengarah itu.

Dua flat dikenakan PKPD


Sementara itu, Menteri Kanan kluster keselamatan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa dua bangunan flat di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur menjadi premis terbaru yang dimasukkan ke dalam senarai PKPD selepas pihak berkuasa merekodkan 15 kes positif di kalangan penduduk di situ.

PKPD adalah arahan yang menyerupai perintah berkurung, di mana semua penduduk tidak dibenarkan untuk keluar langsung dari kediaman masing-masing selama ia berkuatkuasa, sementara petugas kesihatan membuat lawatan rumah ke rumah bagi membuat ujian pengesanan COVID-19.

Menurut Ismail, perintah itu melibatkan antara 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan di bangunan itu, dan ia berkuatkuasa mulai Selasa sehingga proses pengesanan selesai.

"Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuatkuasa," kata Ismail.

Banguan flat kediaman yang dikenali sebagai Selangor Mansion dan Malayan Mansion menjadi kawasan keempat yang dikenakan PKPD dengan sebelum ini, kawasan yang pertama ialah Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid di Kluang, Johor pada 27 Mac.

Susulan itu, kerajaan Malaysia turut mengenakan perintah sama ke atas tujuh perkampungan di Sungai Lui, Hulu Langat selepas kes positif didapati meningkat mendadak membabitkan penduduk kawasan berkenaan, diikuti dengan bangunan kondominium Menara City One yang terletak di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, pihak berkuasa kesihatan turut mengeluarkan satu infografik kawasan berisiko tinggi yang menyenaraikan pusat pentadbiran negara Putrajaya sebagai salah sebuah Zon Merah, di samping Rembau di Negeri Sembilan.

Ketika ditanya mengenai hal ini dan adakah ia akan menyebabkan tempoh PKP dilanjutkan lagi selepas 14 April, Ismail berkata satu prosedur standard (SOP) akan dikeluarkan berkenaan tindakan mengikut zon dengan perkara berkenaan akan dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara bersama Kementerian Dalam Negeri pada Khamis ini.

Jelasnya, SOP itu akan melihat pelaksanaan PKP dibuat mengikut zon, dengan langkah paling ketat akan dikenakan kepada kawasan yang dikenalpasti Zon Merah manakala zon lain mempunyai kelonggaran tertentu.

SOP lain juga akan dikeluarkan kerajaan bagi langkah-langkah selepas berakhirnya tempoh PKP, bagi menghalang penularan virus itu daripada terus merebak.

"MKN tengah memperhalusinya,” tambah Ismail Sabri.

Menteri Kesihatan Adham Baba dalam satu kenyataan lewat Selasa pula berkata satu sesi konferense video telah diadakan antara menteri kesihatan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) termasuk penyertaan dari Korea, Jepun dan China bagi membincangkan mengenai penularan wabak COVID-19.

"Antara agenda utama perbincangan konferens video ini adalah perkongsian mengenai perkembangan semasa COVID-19 di setiap negara ASEAN, Korea, Jepun dan China dan juga mengenai langkah-langkah yang diambil dalam menangani COVID-19," katanya.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.