Pemimpin Agama Malaysia Bergabung Perangi Pemerdagangan Manusia

Hadi Azmi
2017.07.31
Kuala Lumpur
170731-my-deklarasi-620.jpg Wakil daripada pelbagai pertubuhan agama yang terdapat di Malaysia semasa Majlis Menandatangani Deklarasi Memerangi Pemerdagangan Manusia di Kuala Lumpur, 30 Julai, 2017.
[HadiAzmi/BeritaBenar]

Malaysia meningkatkan usaha menentang pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran dengan pelancaran talian khas oleh kerajaan manakala 11 pemimpin agama daripada pelbagai latarbelakang pula menandatangani deklarasi untuk memerangi jenayah itu, sempena sambutan Hari Anti-Pemerdagangan Orang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Ahad.

Pelancaran talian khas yang dibuat oleh Majlis Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (MAPO) pada Ahad itu memberi peluang kepada orang ramai  menghubungi terus pihak berkuasa jika mempunyai maklumat berhubung jenayah itu.

“Talian khas dengan nombor telephone 03-8000800 juga bertindak sebagai platform yang penting dalam usaha membanteras aktiviti pemerdagangan dengan berkesan," kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Alwi Ibrahim ketika pelancarannya sambil menambah talian itu mula beroperasi mulai jam 7.30 pagi hingga 9 malam setiap hari dan akan direkodkan jika diluar waktu operasi.

"Orang awam tidak perlu takut untuk melaporkan kegiatan ini kerana maklumat yang diterima akan disalurkan kepada balai polis berhampiran,” kata Alwi.

Sementara itu, Ketua Bishop Kuala Lumpur Julian Leow semasa berucap pada pelancaran deklarasi bersama oleh 11 pemimpin agama di Malaysia itu berkata pemimpin agama tidak kira apa latarbelakang agamanya perlu memainkan peranan dalam memerangi pemerdagangan manusia dengan penuh kesepakatan , dan turut melibatkan orang ramai, serta dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti mangsa.

“Deklarasi bersama ini adalah langkah pertama kami, ” tambah Leow dalam ucapannya.

Majlis menandatangani deklarasi itu telah dibuat oleh 11 pemimpin agama pada majlis itu kecuali Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad yang tidak dapat hadir, menurut penganjur.

Menurut halaman tandatangan deklarasi yang dilihat oleh BeritaBenar, ia menyatakan “Mufti Wilayah Persekutuan sama-sama menyokong usaha kami”.

Seorang pegawai mufti ketika dihubungi BeritaBenar pada Isnin memberitahu Mufti tersebut menyokong deklarasi tersebut seperti disahkan penganjur.

Malaysia mempunyai 32 juta penduduk dengan kira-kira 60 peratus daripadanya terdiri daripada umat Islam. Rakyat negara itu juga menganuti pelbagai latarbelakang kumpulan agama.

Beberapa hari sebelum itu, kerajaan Malaysia telah menggalakkan syarikat tempatan negara supaya memberi peluang pekerjaan kepada mangsa pemerdagangan manusia. Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberi contoh beberapa buah syarikat dari Amerika Syarikat (AS) di Malaysia yang sudah berbuat demikian.

Pada Jun lepas, Malaysia telah dinaik taraf  ke 'Tahap 2' daripada 'Tahap 2 Senarai Pemerhatian' pada tahun sebelumnya dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2017 yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat setiap tahun.

Ahmad Zahid berharap Malaysia dapat mencapai matlamat Tahap 1 pada tahun 2020.

Dalam pada itu, seorang pakar dokumentari mengenai isu pemerdagangan kanak-kanak Mahi Ramakrishnan ketika dihubungi berkata badan bukan kerajaan berkaitan isu tersebut di negara itu mengalu-alukan kedua-dua inisiatif yang diambil kumpulan agama serta kerajaan Malaysia itu.

“Kami sentiasa mengalu-alukan inisiatif sedemikian dari kerajaan serta sektor swasta tetapi semua ini bergantung kepada keberkesanan tindakan yang bakal diambil,” kata aktivis itu kepada BeritaBenar pada Isnin.

Menurut laporan Pemerdagangan Orang (TIP) itu, Malaysia, berdasarkan peranannya, telah dikeluarkan daripada Senarai Pemerhatian kerana terdapat peningkatan usaha dari segi penyiasatan, pendakwaan dan sabitan dalam kes pemerdagangan manusia.

Pada 2016, kerajaan Malaysia telah menjalankan sejumlah 581 siasatan dalam kes-kes yang mungkin berkaitan dengan pemerdagangan manusia berbanding 158 bagi tahun sebelumnya.

Ia memulakan pendakwaan terhadap 175 yang disyaki pesalah, menunjukkan peningkatan, berbanding 38 pada 2015 dan mendapati sejumlah 35 orang bersalah – 18 orang daripada mereka bagi kesalahan pemerdagangan untuk tujuan buruh dan 17 bagi tujuan seks.

Laporan itu memuji usaha kerajaan Malaysia dalam mengenal pasti mangsa pemerdagangan manusia namun berkata langkah itu masih kekurangan dari segi perlindungan.

Kerajaan Malaysia tidak sentiasa memantau populasi pekerja migran yang mungkin menjadi mangsa pemerdagangan manusia, kata laporan itu. Selain itu, katanya “tidak semua mangsa pemerdagangan manusia diberikan kebebasan untuk bergerak dan bekerja sementara menunggu siasatan terhadap kes mereka dalam sistem kehakiman.”

Phil Robertson dari Human Rights Watch berkata Jabatan Negara AS “telah membersihkan” rekod Malaysia dalam memerangi pemerdagangan manusia.

Hakikatnya, para pegawai Malaysia mengesan amat sedikit mangsa berbanding jumlah yang terdapat di Malaysia. Usaha kerajaaan Malaysia untuk melindungi dan menjaga mangsa pekerja asing dari Asia Tenggara dan Asia Selatan yang terikat dengan hutang belum mencapai standard yang sepatutnya akibat masalah birokrasi, katanya.

Malaysia menjadi tumpuan dunia apabila ratusan kubur yang mengandungi mayat mangsa pemerdagangan manusia etnik Rohingya Islam dari Myanmar dan pendatang Bangladesh, ditemui di Wang Kelian, Perlis pada Mei 2015. Penemuan ini adalah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Pada Mac lalu, dalam jawapan bertulis di Parlimen, Zahid berkata empat warga asing telah didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia di Wang Kelian manakala 12 anggota polis dibebaskan daripada pendakwaan kerana kekurangan bukti.

Manakala di Thailand pula, 62 orang individu, termasuk seorang bekas jeneral tentera berpangkat tiga bintang, baru-baru ini dijatuhi hukuman penjara atas penglibatan dalam aktiviti penyeludupan manusia yang membawa kepada penemuan ratusan kubur tersebut di sebelah Thailand.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.