Tanah runtuh: Pasukan penyelamat Malaysia masih mencari mangsa hilang

Menurut maklumat terdapat 94 orang termasuk kanak-kanak di tapak perkhemahan semasa kejadian berlaku.
Ray Sherman, Nisha David & Noah Lee
2022.12.16
Kuala Lumpur, Bangkok, Pattani & Narathiwat, Thailand
Tanah runtuh: Pasukan penyelamat Malaysia masih mencari mangsa hilang Anggota pasukan khas Taktikal, Operasi dan Menyelamat serta agensi penguatkuasaan lain menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat di tapak tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, 16 Dis 2022.
[Ihsan Agensi Pengurusan Bencana Malaysia]

Pasukan penyelamat Malaysia masih mencari 12 lagi mangsa yang dilaporkan hilang dalam tragedi tanah runtuh yang dilaporkan berlaku pada awal pagi Jumaat di tapak perkhemahan tidak berlesen di sebuah ladang yang terletak di utara Kuala Lumpur, dengan 21 orang telah ditemui mati termasuk kanak-kanak, kata pegawai.

Rembesan daripada hujan sekejap-sekejap yang berterusan selama beberapa hari sebelumnya dipercayai telah melemahkan tanah, menyebabkan enap cemar tebal, batu, pokok dan serpihan lain menjadi lemah dan mengoyahkan kawasan tapak tersebut, kata seorang ahli geologi kepada BenarNews.

Dua belas daripada 94 termasuk kanak-kanak sekolah dan guru masih hilang setakat petang Jumaat, kata pegawai, sambil menambah bahawa pengusaha ladang itu tidak mempunyai lesen untuk membuat perkhemahan.

Menurut pakar geologi insiden tersebut adalah yang terburuk pernah dicatatkan sejak kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 16 orang termasuk 13 pelajar sebuah sekolah agama di Hulu Langat, Selangor pada 21 Mei 2011.

“Kejadian tanah runtuh itu telah berlaku di tepi jalan berhampiran ‘Father Organic Farm’ dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut. Anggaran ketinggian runtuhan adalah setinggi 30 meter dengan keluasan sebesar 3 ekar.

“Pencarian masih berjalan bagi mencari 12 mangsa yang tidak ditemui lagi. Usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan oleh pihak Bomba yang dibantu oleh pelbagai agensi lain,” kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada kira-kira pukul 7 petang.

Insiden terbaru itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 3 pagi di ladang tersebut yang merupakan antara tempat perkhemahan popular bagi kawasan luar bandar dengan mangsa dilaporkan sedang mengikuti perkhemahan tiga hari dua malam di tapak tersebut semasa musim cuti persekolahan selama tiga minggu di Malaysia.

221216-MY-Runtuh2.jpg

Seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh dilihat berada di Balai Polis Ulu Yam untuk membuat laporan mengenai kejadian itu, di Batang Kali, Selangor, 16 Dis, 2022 [ S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan secara menyeluruh di lokasi berkenaan.

Tragedi tersebut telah mendorong Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengeluarkan arahan pembekuan semua aktiviti rekreasi luar di sekitar Batang Kali.

Beliau berkata dua daripada tiga tapak perkhemahan tersebut musnah sepenuhnya akibat kejadian tanah runtuh itu.

“Kawasan perkhemahan berhampiran juga digesa berhenti menerima pelawat sehingga diberitahu kelak. Tumpuan kami sekarang adalah terhadap usaha menyelamat, dan berharap dapat mencari lebih ramai mangsa yang terselamat tidak lama lagi," katanya kepada media.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pengendali tapak itu mempunyai lesen untuk mengendalikan ladang organik, tetapi tidak mempunyai lesen untuk mengendalikan tapak perkhemahan

“Kami sudah semak. Pengusaha diberi kelulusan untuk membina ladang organik tetapi bukan tapak perkhemahan. Tiada permohonan datang daripada pengusaha untuk membina tapak perkhemahan,” kata Nga.

Oleh itu, pengendali itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun, dan denda RM50,000 (AS$11,300), jika sabit kesalahan.

221216-MY-Runtuh3.jpg

Kereta yang rosak dapat dilihat berada antara serpihan runtuhan semasa operasi menyelamat dan pemindahan susulan tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor, di pinggir Kuala Lumpur, 16 Dis 2022, [Korporat JBPM/melalui Reuters]

‘Saya nampak mangsa separuh tertimbus’

Seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Chong teringat mendengar jeritan meminta tolong daripada seorang wanita sebelum melihat badannya yang separuh tertimbus dengan tangan dan kakinya menjulur keluar di dalam tanah selepas berlakunya tanah runtuh.

Lelaki berusia 28 tahun dari Melaka itu memberitahu media bahawa beliau dan seorang rakannya kemudian itu menggali tanah dengan tangan kosong untuk membebaskan wanita tersebut bersama anaknya daripada ditimbus tanah dengan keempat-empat mereka terselamat dalam kejadian itu.

Chong teringat mendengar bunyi seperti letupan yang kuat sebelum runtuhan tanah yang banyak menghempap kem mereka.

Ahli Geologi di Universiti Kebangsaan Malaysia Nor Shahidah Mohd Nazer berkata adalah terlalu awal untuk memanggil tragedi itu sebagai bencana buatan manusia.

Menurutnya, kehadiran air di dalam tanah boleh menyebabkan bumi bergerak jauh dan luas semasa tanah runtuh.

"Kita mengetahui hanya berlaku hujan sekejap-sekejap pada malam sebelum kejadian. Tetapi air yang terkumpul daripada hujan pada hari atau minggu sebelumnya juga boleh menyebabkan kerpasan tinggi di dalam tanah.

"Ini boleh menyebabkan satah gelincir, yang mampu menggerakkan isipadu tanah yang besar bagi jarak yang jauh," katanya kepada BenarNews semasa dihubungi.

Kemungkinan adanya pembukaan tanah di kaki bukit boleh melemahkan lagi cerun, tambahnya lagi.

"Semua faktor ini, ditambah pula dengan sedikit lagi air, ia mampu mengubah cerun untuk berkelakuan dengan cara yang dahsyat, seperti yang baharu kita saksikan."

221216-MY-Runtuh4.jpg

Anggota pasukan mencari dan menyelamat meninjau lokasi tanah runtuh, di Batang Kali, Selangor, Malaysia, 16 Dis 2022 [S. Mahfuz/BenarNews]

Masalah berulang

Tanah runtuh di sepanjang jalan menuju ke taman hiburan keluarga yang popular di Genting Highlands telah menjadi masalah yang berulang sejak 30 tahun lalu.

Pada 1995, sebanyak 19 kenderaan dihanyutkan ke dalam gaung di Genting Sempah, selepas tanah runtuh berikutan hujan lebat. Insiden itu mengorbankan 17 orang termasuk seorang bayi.

Pada Nov 2012, dua tanah runtuh berlaku di jalan berbukit antara Genting Sempah dan Genting Highlands, tetapi tiada sesiapa yang cedera.

Tanah runtuh yang sama berlaku dua tahun kemudian, juga pada bulan November, apabila sejumlah besar tanah dan batu runtuh dengan menutupi sepenuhnya jalan tiga lorong yang dihempap batu dan tanah dengan banyaknya, tiada kecederaan dan kehilangan nyawa dilaporkan berlaku.

Empat tahun kemudian, pada April 2018, sebuah bangunan institut penyelidikan di Genting Highlands terpaksa dipindahkan selepas jalan berhampirannya runtuh.

Pada Nov 2019, jalan menuju ke Amber Court di Genting Highlands terputus oleh hempakan serpihan tanah dan batu dari cerun berdekatan yang runtuh.

Insiden terbaru berlaku lima hari lalu iaitu pada 11 Dis, apabila berlakunya runtuh kecil tanah sehingga menyebabkan sebahagian jalan menuju ke Genting Highlands rosak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.