Nyaris maut di Denali, Zainudin Lot mahu tawan Elbrus di Rusia
2025.02.04
Kuala Lumpur

Lapan bulan selepas tragedi nyaris maut yang berlaku di Gunung Denali, Alaska, Amerika Syarikat, seorang pendaki Malaysia bertekad melupakan kisah pahit yang menyelubungi emosinya, dengan rancangan menawan puncak Elbrus di Rusia – sebuah lagi cabaran besar dalam dunia pendakian.
Kehilangan beberapa jari akibat radang dingin ketika terperangkap dalam gua salji di Denali pada hujung Mei lalu, tidak mematahkan semangat Zainudin Lot, 48 untuk menawan satu lagi puncak tertinggi di dunia itu.
"Gunung sudah sebati dalam diri saya," kata Zainudin, yang lebih mesra disapa Deeno kepada BenarNews.
"Pendaki gunung memiliki ‘passion’ [Minat] yang sangat dalam, dan walaupun tragedi Denali memberi kesan yang amat mendalam dalam jiwa dan persaaan… Mudah untuk mengatakan, ‘kembali lebih kuat’.
“Namun, sebenarnya tidak mudah untuk melepasi pengalaman yang begitu mencabar… saya tak mahu biarkan ia meruntuhkan semangat saya,” tambah beliau lagi.
Pada Mei lepas, Zainudin bersama Presiden Kelab Jelajah Alpine Malaysia, Illaham Ishak, 48 dan seorang lagi rakan pendakiannya Zulkifli Yusof, 37 menyahut cabaran bagi misi ‘Tujuh Puncak, Tujuh Benua’, iaitu ekspedisi pendakian tertinggi di setiap benua telah terkandas akibat cuaca buruk di kira-kira 19,600 kaki [5,974 meter] semasa menawan puncak Denali.
Denali, Gunung tertinggi di Amerika Utara itu sememangnya terkenal dengan cuaca buruk dan pendakian yang curam, demikian menurut National Geographic.
Dalam insiden itu, Zainudin dan Zulkifli terkandas di satu kawasan glasier rata yang dikenali sebagai Football Field, dengan Illaham pula mengambil risiko untuk turun bersendirian mengharungi cuaca buruk dan salji selamat 15 jam bagi mendapatkan bantuan helikopter peribadi dalam usaha menyelamat dua rakannya selepas mereka tidak dapat turun apabila berjaya menjejaki puncak gunung berkenaan.
Malangnya Zulkifli meninggal dunia akibat edema serebrum dan hipotermia di altitud tinggi pada hari kedua mereka berlindung daripada angin kencang dan suhu sejuk ektrem mencecah -30 darjah Celsius dalam bivouac sack atau lubang yang boleh memuatkan mereka berdua, sebelum bantuan tiba.
Zainudin yang berjaya diselamatkan telah dimasukkan ke sebuah hospital di Talkeetna, Alaska sebelum pulang ke Malaysia, dan bagi mengelak risiko jangkitan kuman jarinya terpaksa dipotong beberapa bulan selepas itu.
Dorongan keluarga dan rakan-rakan sebaik pulang ke Malaysia selepas insiden maut di Denali banyak membantu mempercepatkan proses pemulihan beliau dari segi emosi dan mental, menurut Zainudin yang juga Pengarah Urusan Puncak Ventures S.R.A Sdn Bhd, syarikat pengurusan acara sukan, rekreasi dan mendaki.
Peristiwa hitam di Denali itu tidak melemahkan dirinya sebaik saja pulih daripada kecederaan jarinya, dengan beliau kembali menyarung kasut mendaki dan berjaya menawan puncak Gunung Bukit Raya, Kalimantan Tengah, Indonesia yang berketinggian 2,278 meter dari aras laut pada minggu lalu.
“Selepas saya diselamatkan dari puncak Denali, emosi jadi tidak stabil, terganggu, nak tidur pun risau takut bila terjaga rupanya saya masih berada di atas (puncak gunung) bersama arwah Ijoy (Zulkifli) dan kadang-kadang bila teringat akan terus sedih, dalam sebulan dua juga jadi begitu.
“Namun dorongan keluarga dan rakan yang sentiasa nasihat ‘what doesn’t kill you make you stronger’ (apa yang tidak membunuhmu membuatkanmu lebih kuat) selain penerimaan keluarga arwah Ijoy membantu saya berdamai dengan takdir dan meneruskan kehidupan,” ujar beliau.
Pendaki Malaysia Zainudin Lot berbaju hitam (tengah) bergambar bersama tujuh pendaki lain selepas berjaya menawan puncak Gunung Bukit Raya, di Kalimantan Tengah, Indonesia, 28 Januari, 2025 [Ihsan Zainudin Lot]
Pendakian Zainudin di Indonesia baru-baru ini berbeza berbanding pengalaman dilalui sebelum ini apabila beliau terpaksa menggunakan tongkat mendaki kerana sebahagian daripada tiga jari tangan kanannya terpaksa dipotong akibat radang dingin yang dialami semasa terperangkap bersama Allahyarham Zulkifli dan Illaham selama empat hari di Denali.
“Biasanya saya tidak menggunakan ‘walking stick’ untuk mendaki di Malaysia sebab banyak pokok di kiri kanan untuk kita berpaut tapi kali ini (di Gunung Bukit Raya) saya bawa walking stick untuk membantu saya (mendaki) disebabkan jari tangan kanan saya dah pendek (dipotong) dan masih tidak mampu menggenggam dengan kuat,” ujarnya lagi.
Radang dingin merupakan satu keadaan di mana kerosakan kepada tisu anggota badan, lazimnya tangan, kaki, telinga, bibir dan hidung berlaku setelah terdedah kepada suhu kesejukan melampau di bawah paras beku, menurut pakar bedah vaskular.
Minat penguat semangat
Sementara itu, pakar psikologi berpandangan tempoh hanya beberapa bulan yang diambil oleh Zainudin untuk keluar dari trauma yang dialaminya merupakan satu kelaziman dalam kalangan para pendaki yang mempunyai semangat dan minat mendalam terhadap aktiviti sukan lasak itu selain dorongan serta persekitaran yang positif.
Zulfikar Ahmad, Pengarah Pusat Perkhidmatan Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia berkata pendekatan mengatasi trauma dengan menjauhkan diri daripada peristiwa yang menimpa seseorang tidak semesti berkesan.
Sebaliknya jelas beliau, sesetengah individu mencabar diri menghadapi punca trauma tersebut bagi mengatasi tekanan emosi yang dihadapinya.
“Tidak dinafikan trauma turut berlaku kepada pendaki, cuma bentuk, kesan dan pendekatan bagi mengatasinya mungkin sedikit berbeza bagi pendaki tegar yang menjadikan sukan lasak itu ‘passion’ mereka, di mana pengalaman menjadikan mereka lebih berkeinginan untuk meneroka gunung pada masa akan datang.
“Mungkin akan ada flashback (imbas kisah lama), namun pada ketika itu hanya dia yang boleh melawannya kerana salah satu cara untuk menangani ketakutan adalah dengan menghadapiya,” tambah Zulfikar.
Lenny Suryani Safri, Ketua Unit Vaskular Jabatan Surgeri di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia berkata rawatan amputasi akan membolehkan pendaki meneruskan aktiviti kegemaran selepas menjalani rawatan intensif fisioterapi selain penggunaan anggota palsu bersesuaian.
Katanya rawatan hyperbaric oksigen, amputasi terhadap anggota yang tidak boleh diselamatkan dan pembuangan sel tisu yang mati serta dijangkiti kuman perlu dijalankan bagi mengelakkan komplikasi, menyelamatkan sebanyak mungkin sel tisu dan membantu memulihkan fungsi anggota pesakit ke asal.
“Di Malaysia, pendaki di gunung yang bersuhu rendah adalah pesakit yang berisiko tinggi untuk terkena frost bite.
“Bagi saya tiada kekangan (untuk mendaki) memandangkan pendaki-pendaki tegar adalah insan yang mempunyai jiwa yang besar dan mereka biasanya mendaki dengan persiapan rapi,” katanya kepada BenarNews.
Semasa ditanya mengenai Illaham, Zainudin memberitahu, “Illaham kini menunjukkan perkembangan kesihatan yang semakin baik dan mula memanjat bukit-bukit kecil dengan sokongan dari keluarga dan rakan-rakan.
Illaham bagaimanapun semasa dihubungi BenarNews memaklumkan bahawa beliau masih belum bersedia untuk berkongsi perkembangan terkini tentang dirinya.