Tiga Lelaki Dipercayai Pengganas Mati Ditembak Pihak Berkuasa Malaysia

Colin Forsythe
2018.02.28
Kota Kinabalu, Sabah
180228-MY-tembaktawau620.jpg Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah [ESSCOM] Hazani Ghazali pada sidang media mengenai kejadian tembakan yang membunuh tiga lelaki dipercayai anggota penjenayah rentas sempadan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Sabah, 28 Feb, 2018.
[Colin Forsythe/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia tidak menolak kemungkinan tiga lelaki yang ditembak mati pada Selasa, di sebuah kawasan ladang di Tawau, Sabah dipercayai daripada kumpulan pengganas terancang berdasarkan kepada senjata yang ditemui, kata Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah [ESSCOM] Hazani Ghazali pada Rabu.

Hazani yang ditemui di sidang media berkata ketiga-tiga lelaki berkenaan disyaki mempunyai hubungan dengan pengganas rentas sempadan yang berkemungkinan merancang untuk menyerang Sabah berdasarkan keupayaan taktikal dan senjata yang ditemui selepas kejadian berbalas tembakan dengan polis berhampiran Jalan Kalabakan-Keningau itu.

Dalam insiden pada kira-kira pukul 3.20 petang Selasa, tiga lelaki menaiki sebuah kereta yang dilaporkan dicuri di Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah telah melepaskan tembakan dan cuba melarikan diri selepas menyedari kereta mereka didekati oleh pihak polis.

Polis menemui senapang Colt M16 A1 5.56mm dengan dua butir peluru, pedang samurai, sepucuk revolver mengandungi empat peluru hidup 3.8, beg hitam mengandungi sembilan butir peluru hidup 3.8, topeng, sarung tangan serta dua paket plastik dipercayai dadah, di dalam kereta itu.

"Kami tidak menolak kemungkinan bahawa mereka merancang untuk melakukan serangan kerana mereka berada di sini,” kata Hazani kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, kira-kira 453 km [281 batu] dari Kota Kinabalu.

“Kami juga sedang menyiasat sama ada kumpulan itu adalah kumpulan yang sama yang sedang berusaha untuk mengaktifkan sel militan Negara Islam [IS] di negeri ini [Sabah], seperti yang telah didedahkan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini," tambah beliau lagi.

Pada 21 Feb lepas, Ketua Polis Negara, Muhamad Fuzi Harun telah mendedahkan mengenai rancangan kumpulan Abu Sayyaf [ASG] yang kejam itu untuk menubuhkan pangkalan pengganas di Sabah berikutan penangkapan sepuluh orang yang didakwa membantu perjalanan pengganas yang mahu ke selatan Filipina.

"Siasatan awal mendapati dari sepuluh suspek yang ditahan di Sabah, menunjukkan terdapat percubaan oleh ASG untuk menubuhkan sel di Sabah," kata Fuzi.

Hazani bagaimanapun berkata polis masih belum mengenalpasti identiti ketiga-tiga lelaki itu tetapi percaya “mereka berasal dari kumpulan yang terlatih."

Beliau berkata penyiasatan menyeluruh kini sedang dijalankan dengan bantuan dari Polis Bukit Aman (ibu pejabat Polis DiRaja Malaysia), pihak berkuasa Interpol dan Filipina.

"Esscom akan terus mengadakan sekatan jalan raya di sepanjang laluan Kalabakan dan beberapa kawasan lain termasuk Telupid, yang disyaki digunakan sebagai 'laluan tikus' oleh penjenayah merentas sempadan untuk menjalankan aktiviti haram mereka di negeri ini," kata Hazani.

Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Cawangan Khas Anti-Keganasan Polis DiRaja Malaysia di satu persidangan antarabangsa bulan lalu berkata Sabah telah lama menjadi laluan transit bagi militan asing termasuk negara jiran Indonesia.

"Jika mereka tidak transit di Sabah, mereka boleh pergi ke selatan Filipina secara langsung dari negara asal mereka, tetapi perjalanan itu akan menjadi panjang merentasi Laut Sulawesi," kata Ayob sambil menambah "Jadi, lebih mudah untuk transit di Sabah."

Sandakan adalah sebuah bandar tepi pantai yang menyediakan perkhidmatan feri ke selatan Filipina, di mana militan ASG beroperasi di kampung-kampung terpencil.

Ia hanya mengambil masa 30 minit untuk penjenayah dan militan melarikan diri dari Sandakan ke perairan antarabangsa dengan bot laju berkuasa tinggi.

Bandar Tawau pula adalah sebuah bandar tepi pantai di perairan Teluk Wallace yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.