Follow us

Malaysia Akan Bebaskan Dua Kanak-Kanak Filipina Dari Pusat Tahanan Imigresen

Aminah Farid
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-07-02
E-mel
Komen
Share
Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil di Kuala Lumpur menempatkan kanak-kanak berusia dua tahun yang ditahan selama kira-kira 20 hari akan dikembalikan kepada ibu mereka pada Rabu untuk dihantar pulang ke Filipina, 28 Mac 2017.
Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil di Kuala Lumpur menempatkan kanak-kanak berusia dua tahun yang ditahan selama kira-kira 20 hari akan dikembalikan kepada ibu mereka pada Rabu untuk dihantar pulang ke Filipina, 28 Mac 2017.
Reuters

Dua kanak-kanak berumur dua tahun yang berada dalam tahanan pihak Imigresen Malaysia tanpa kehadiran ibu bapa mereka selama kira-kira 20 hari akan dihantar pulang ke Filipina pada 3 Julai, demikian menurut aktivis dan pihak berkuasa Imigresen Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Khairul Dzaimee Daud mengesahkan kepada BeritaBenar yang penghantaran pulang kedua kanak-kanak itu akan dibuat pada Rabu tetapi enggan mengulas lanjut berkenaan kes penahanan tersebut.

“Kanak-kanak itu akan dibebaskan dan dihantar pulang ke negara asal esok (3 Julai),” demikian kata Khairul Dzaimee beberapa jam selepas, kumpulan aktivis imigran dan wanita Malaysia, Tenaganita mengeluarkan kenyataan berhubung penahanan dua kanak-kanak berusia dua tahun sejak 20 hari lepas dan mahu kedua-duanya dibebaskan segera.

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das dalam kenyataan yang dikeluarkan terdahulu itu berkata, “Tenaganita berasa kecewa dengan tindakan Jabatan Imigresen yang terus menahan dua kanak-kanak Filipina di bawah usia dua tahun di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil, sejak 14 Jun 2019 walaupun campur tangan Kedutaan Filipina dan Pejabat YB Hannah Yeoh dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,”

Pusat tahanan Imigresen Bukit Jalil yang terletak di luar Kuala Lumpur pernah menjadi perhatian pada Mac 2017,  apabila dokumen dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia [Suhakam] yang dibiayai kerajaan menunjukkan bahawa pusat itu adalah antara kemudahan imigresen di negara itu, di mana lebih 100 warga asing meninggal dunia akibat pelbagai penyakit dan sebab kematian yang tidak diketahui dalam tempoh dua tahun.

Ketua Pengarah Imigresen itu juga memberitahu yang "kemudahan asas" telah disediakan kepada kedua kanak-kanak tersebut.

Glorene yang mahu kedua-dua kanak-kanak tersebut dibebaskan segera mendakwa mereka telah dinafikan penjagaan oleh ibu dan ditahan dalam keadaan yang tidak sesuai selama 20 hari.

“Tenaganita mengesa supaya perkara ini ditangani dengan segera dan kanak-kanak itu diserahkan kepada ibu mereka atau pusat penjagaan yang lebih terurus untuk menjaga kanak-kanak tersebut sehingga Jabatan Imigresen menyediakan dokumen yang perlu supaya kanak-kanak itu dapat dihantar pulang,” tambah Glorene dalam kenyataannya itu.

Beliau juga berkata, “menahan kanak-kanak dan bayi di pusat tahanan adalah melanggari semangat Konvensyen Hak Kanak-Kanak (Artikel 37 B, C,) di mana Malaysia merupakan negara anggota konvesyen tersebut yang antara lain telah menyatakan apa yang terbaik bagi kanak-kanak merupakan perkara yang paling penting dan perlu diberikan keutamaan.

“Penahanan berterusan itu juga melanggari Akta Kanak-Kanak 2001 yang turut mengambil maklum hak untuk melindungi dan membantu dalam apa jua keadaan mana-mana kanak-kanak tidak kira bangsa, warna, jantina, bahasa dan agama,” katanya lagi.

Menurut Tenaganita, walaupun kes berkenaan mendapat campur tangan pejabat Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur dan pejabat Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kedua-dua kanak-kanak berkenaan tetap ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Sebaliknya, dakwa Glorene, pegawai penyiasat dari Unit Penyiasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Imigresen memberitahu ibu kepada kanak-kanak tersebut bahawa dokumen perintah penghantaran pulang sudahpun siap dan dihantar ke Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil pada 27 Jun lalu.

Beliau berkata, walaupun pertanyaan berulang oleh ibu kepada kedua-dua kanak-kanak berkenaan serta peguam yang mewakili Kedutaan Filipina, pegawai imigresen mengatakan mereka tidak mengetahui perintah penghantaran dan masih menunggu arahan daripada pihak tertinggi jabatan.

“Sehingga jam 3 petang, 2 Julai, pegawai di pusat tahanan mendakwa mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang perintah penghantaran pulang kedua kanak-kanak tersebut,” tambah Glorene.

Kanak-kanak itu telah ditahan dalam satu operasi imigresen di Pangsapuri Plaza Indah di Kajang semasa mereka berada di bawah jagaan saudara.

“Pada masa permeriksaan itu, kedua kanak-kanak tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen kerana ibu mereka yang mempunyai pas visa yang sah tiada di rumah,” dakwa Glorene.

Kematian dalam tahanan

Dua tahun lalu, agensi berita Reuters melaporkan bahawa data yang disediakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia [Suhakam] menunjukkan terdapat 83 kes kematian dalam tahanan pada 2015 dengan sekurang-kurangnya 35 kes sepanjang tahun 2016.

Dokumen tersebut mengatakan radang paru-paru, penyakit berkaitan jantung dan jangkitan bakteria adalah antara punca kematian.

Kementerian Dalam Negeri Malaysia, yang mengawasi jabatan imigresen, berkata yang kementerian itu cuba memperbaiki keadaan di pusat-pusat tersebut walaupun menghadapi kekangan bajet, menurut laporan.

Memetik temu bual dengan 13 bekas tahanan dan 12 yang lain yang kerap melawat pusat tersebut, Reuters berkata tahanan tidak diberikan makanan, air atau penjagaan kesihatan yang mencukupi dan banyak yang telah mengalami jangkitan kulit.

Daripada 118 orang yang direkodkan telah meninggal dunia pada 2015 dan 2016, sekurang-kurangnya 63 adalah dari Myanmar dan lima rakyat Indonesia, kata laporan itu.

Yeoh berkata kanak-kanak, terutamanya bayi yang berusia lebih muda dari 2 tahun, tidak seharusnya ditahan.

"Kanak-kanak tidak sepatutnya berada di pusat tahanan," katanya kepada portal berita Malay Mail.

Lihat Laman Penuh