SPRM Siasat Pemberian Tender Projek Secara Rundingan Terus Bernilai RM6.61 Bilion

Hadi Azmi
2020.08.25
Kuala Lumpur, Malaysia
200825-MY-LGE1000.jpg Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dikawal oleh sekumpulan penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semasa tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk berdepan dengan pertuduhan rasuah, di Kuala Lumpur, 7 Ogos 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa berkata yang siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti jika wujudnya elemen rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan dalam penganugerahan 101 projek bernilai RM6.61 bilion (AS$1.58 bilion) yang dibuat secara rundingan terus oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir Putrajaya selama 22 bulan sebelum ini.

Agensi anti-rasuah negara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya berkata demikian susulan pendedahan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Isnin pada satu sesi Parlimen yang menyentuh berkenaan penganugerahan kontrak oleh Kementerian Kewangan semasa dipimpin oleh bekas Menterinya Lim Guan Eng.

“SPRM akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan yang dikatakan diberi secara rundingan terus semasa pemerintahan kerajaan terdahulu. Satu kajian menyeluruh akan dibuat bagi menentukan sama ada wujud unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung perkara ini,” kata SPRM dalam satu kenyataan pada Selasa.

Agensi itu turut mengesahkan telah menerima beberapa memorandum daripada badan bukan kerajaan berhubung pemberian kontrak secara rundingan terus, sambil meminta semua pihak untuk memberikan ruang kepada suruhanjaya berkenaan meneliti kes tersebut.

Pada Isnin, Tengku Zafrul semasa persidangan Dewan Rakyat memberitahu, rekod telah menunjukkan Kementerian Kewangan ketika diterajui Guan Eng, telah meluluskan 101 projek secara rundingan terus, yang sekaligus menghangatkan suasana sidang Dewan Rakyat itu dengan memaksa Yang Di-Pertuanya Azhar Azizan Harun mengarahkan Ahli Parlimen pembangkang Ngeh Koo Ham keluar dewan apabila gagal mematuhi arahan selepas menimbulkan kekecohan.

Cabar dedah maklumat

Sementara itu, bekas Perdana Menteri kerajaan PH, Mahathir Mohamad dan Guan Eng tampil membuat kenyataan berhubung kenyataan Tengku Zafrul itu dengan meminta Menteri Kewangan pentadbiran kerajaan Perikataan Nasional (PN) dibawah pimpinan Muhyiddin Yassin untuk mendedahkan segera senarai penuh projek rundingan terus oleh pentadbiran Barisan Nasional, PH dan PN.

“Sepatutnya Menteri Kewangan [Tengku Zafrul] hendaklah mendedahkan nama-nama mereka yang mendapat projek-projek tersebut supaya rakyat tahu siapa yang melakukan perbuatan ini walaupun kata Tengku Zafrul bahawa sememangnya projek runding terus dibenarkan tetapi pendedahan yang dibuatnya itu, seolah-olah ianya tidak dibenarkan dan ia satu kesalahan.

“Ini semua menimbulkan banyak soalan dikalangan rakyat dan rakyat berhak mendapat maklumat penuh tentang siapa yang dapat, projek yang mana, di mana dan nilai-nilai projek ini, supaya kita dapat tentukan siapa yang mendapat nikmat istimewa ini. Ini perlu didedahkan kepada rakyat,” kata Mahathir dalam satu rakaman video ringkas yang dikongsi di laman media sosialnya termasuk pihak media tempatan.

Dalam pada itu, Guan Eng semasa membuat kenyataan berhubung perkara yang sama turut mencabar Tengku Zafrul untuk menyenaraikan kesemua 101 projek yang dimaksudkan dan tidak berselindung di sebalik maklumat berkenaan.

“Saya cabar beliau dedahkan kesemuanya supaya rakyat boleh menilai dan membandingkan syarikat mana yang berjaya mendapat tender, kroni siapa yang dapat, serta Menteri mana yang memohon kelulusan rundingan terus, ” tambah Guan Eng, yang merupakan Menteri Kewangan semasa kerajaan PH sebelum tumbang akhir Februari lalu.

Beliau turut mendakwa bahawa Muhyiddin yang merupakan Menteri Dalam Negeri pada ketika itu dan Menteri-menteri lain yang berpaling tadah dan menyertai PN pernah memohon projek rundingan terus daripadanya.

Menurut bekas menteri kewangan itu lagi pengecualian daripada menggunakan kaedah tender terbuka dibenarkan oleh Kementerian Kewangan berpandukan garis panduan kerajaan yang tertakluk kepada syarat tertentu, seperti perolehan masa krisis, bencana alam, perolehan berkepentingan nasional, keselamatan negara, kepakaran khusus dengan Jemaah Menteri juga boleh memutuskan kontrak rundingan terus.

“Jangan fitnah. Jangan suka baling batu sembunyi tangan. Jangan cuba mencipta persepsi untuk mengalih perhatian daripada kepincangan dalam PN,” tambah Guan Eng yang berdepan dengan kes rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang dan pengubahan wang haram melibatkan kontrak pembinaan asrama pekerja semasa menjadi Ketua Menteri.

Kerajaan PH di bawah pimpinan Mahathir juga telah berikrar untuk memastikan bahawa sistem tender terbuka diamalkan dan merupakan salah satu manifesto pilihanraya yang digunapakai dalam Pilihan Raya Umum 2018 yang membawa kepada kejatuhan kerajaan BN selepas 60 tahun memerintah.

Pendakwaan politik

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata penglibatan SPRM dalam menyiasat projek rundingan terus yang diberikan semasa kerajaan PH memerintah adalah tidak bersesuaian dan kelihatan seperti pendakwaan politik.

“Jika mahu menyiasat, SPRM patut menyiasat semua dan bukan pada zaman kerajaan sebelum ini sahaja,” kata Oh semasa dihubungi BeritaBenar.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tricia Yeoh pula meminta supaya maklumat rundingan terus itu didedahkan kepada semua supaya ketelusan mengenainya diketahui ramai.

“Penilaian yang kami lakukan dari laman sesawang menunjukkan hanya 314 projek direkodkan dengan projek terbaru disenaraikan adalah pada 2017. Ini bermakna tiada projek yang dikemaskini ketika PH memerintah.

“Analisis dari Laporan Ketua Audit Negara dari 2014 hingga 2018 juga menunjukkan sebahagian besar yang diaudit adalah projek-projek secara rundingan terus yang tidak dimuatnaik ke dalam laman sesawang,” kata Yeoh.

Sehingga kini, Kementerian Kewangan masih belum memberikan sebarang tanda jika senarai 101 projek akan didedahkan atau tidak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.