Follow us

Mayat Seorang Daripada Dua Anggota Tentera Yang Hilang Ditemui

S. Adie Zul
Pulau Pinang
2016-10-06
E-mel
Komen
Share
Jenazah Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, yang ditemui selepas empat hari hilang akibat terjatuh ke laut di Pulau Perak, dekat perairan Langkawi, tiba di Pangkalan Udara Butterworth pada Khamis, Oktober 6 2016.
Jenazah Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, yang ditemui selepas empat hari hilang akibat terjatuh ke laut di Pulau Perak, dekat perairan Langkawi, tiba di Pangkalan Udara Butterworth pada Khamis, Oktober 6 2016.
[Ihsan Angkatan Tentera Malaysia]

Mayat seorang daripada dua anggota Rejimen Renjer Diraja yang hilang dipercayai terjatuh ke laut sewaktu menjalankan operasi di Pulau Perak yang terletak di perairan pulau Langkawi, Kedah pada Isnin, ditemui pada Khamis.

Jenazah Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jam 10.45 pagi Khamis, kira-kira 30 meter dari Pulau Perak.

Markas Tentera Darat dalam kenyataan media mengesahkan penemuan mayat Mohd Faizol melalui pengecaman dibuat berdasarkan baju biru dan seluar hitam yang dipakai mangsa.

Mayat mangsa telah dipindahkan dari KD Mahawangsa ke Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth dengan sebuah helikopter TUDM kira-kira jam 1.15 petang sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang untuk urusan bedah siasat.

Dalam pada itu, usaha mengesan seorang lagi mangsa Koperal Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah masih diteruskan di sekitar perairan Pulau Perak.

Kedua-dua anggota Batalion ke-4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) berpangkalan di Oran, Perlis itu sedang menjalankan operasi di Pulau Perak yang terletak 66 batu nautika dari barat daya Pulau Langkawi sewaktu kejadian.

Tubuh Lembaga Siasatan

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Zulkifeli Mohd Zin telah mengarahkan penubuhan Lembaga Siasatan susulan kejadian berkenaan.

Menurut Panglima Dua Divisyen, Mejar Jeneral Mohd Ramli Jaafar lembaga tersebut akan memulakan penyiasatan berhubung insiden berkenaan bagi memperbaiki mekanisma operasi di kawasan Pulau Perak berdasarkan laporan penuh dari lembaga.

“Atas arahan daripada Panglima ATM, kita telah tubuhkan Lembaga Siasatan untuk megenalpasti mengapa kejadian itu berlaku dan antara sebab lain yang mungkin dapat membantu kita mengenalpasti punca kejadian memandangkan ini kejadian pertama di Pulau Perak.

“Hasil dari siasatan ini, kita akan mewujudkan mekanisma yang lebih baik memandangkan lokasi operasi ini berdekatan dengan sempadan perairan antarabangsa dan kita mahu mengelakkan kejadian yang sama dari berulang,” katanya kepada pihak media selepas hadir memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Mohd Faizol di HSJ.

Keluarga terima ketentuan takdir

Suasana pilu menyelubungi perkarangan Unit Forensik HSJ sebaik jenazah Mohd Faizol tiba kira-kira jam 1.30 petang.

Di antara ahli keluarga yang kelihatan menanti di situ untuk menuntut jenazah adalah isteri mangsa, Siti Aminah Abdul Hamid, 31, bersama anak perempuannya yang berusia 3 tahun, ayah Mohd Faizol, Rosli Hassan dan ibunya serta rakan sekerja beliau.

Ketika ditemui pihak media, Rosli berkata keluarganya redha dengan pemergian anak lelaki sulungnya walaupun mereka masih terkejut dengan insiden berkenaan.

“Kami bersedih dan terkejut dengan kehilangan Mohd Faizol tetapi kami sekeluarga tetap redha dan menerima ketentuan takdir,” ujarnya.

Rosli turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam misi mengesan anaknya sejak insiden berlaku pada Isnin lalu.

Menurutnya, jenazah Mohd Faizol akan dibawa pulang ke Kuala Kuang, di Baling,  Kedah untuk upacara pengkebumian pada Khamis malam.

Pulau Perak adalah sebuah pulau kecil berbatu terletak kira-kira 66 batu nautika atau 122.3 kilometer dari barat daya Pulau Langkawi, dan terletak di antara sempadan antarabangsa perairan Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Pada Disember 2013, Pulau Perak mendapat perhatian apabila sebuah helikopter Nuri milik TUDM melakukan pendaratan cemas ketika melakukan tugasan keselamatan di kawasan pulau tersebut.

Media tempatan ketika itu melaporkan pendaratan cemas tersebut terpaksa dilakukan apabila helikopter Sikorsky itu mengalami masalah teknikal.


Lihat Laman Penuh