Bom Diletup Dari Sempadan Malaysia Cederakan Enam Polis Thailand: Pegawai

Staf BeritaBenar
2017.05.05
Narathiwat, Thailand
170505-my-th-bom-620.jpg Pegawai tentera Thailand sedang memeriksa lokasi pengeboman di Na Nak, sebuah perkampungan yang terletak di daerah Tak Bai dalam wilayah Narathiwat, yang didakwa dilakukan oleh suspek pemberontak dari sempadan Malaysia berhampiran Sungai Golok, 5 Mei 2017.
[BeritaBenar/Narathiwat]

Enam anggota polis Thailand yang bertugas di sempadan cedera ringan pada Jumaat dalam satu serangan sangat luar biasa di wilayah bergolak di pedalaman selatan negara itu apabila suspek pemberontak meletupkan bom dari sempadan Malaysia di sebatang sungai sempit yang memisahkan kedua-dua negara, demikian menurut pihak berkuasa Thailand.

Serangan lewat petang itu berlaku di Na Nak, sebuah perkampungan kecil di daerah Tak Bai dalam wilayah Narathiwat yang terletak di seberang sempadan dari Kelantan di Malaysia, di mana pemberontak berdiri di tebing Sungai Golok dan meletupkan bom yang berada di tepi jalan, kata para pegawai Thailand.

Penyerang telah menanam bom improvisasi di jalan raya dan menghubungkannya kepada peledak yang diletak di tebing sungai di Kelantan dengan wayar panjang yang merentangi sungai, kata pegawai.

Pemberontak kemudian meletupkan bom di Kampung Toyamoo apabila sebuah trak yang membawa pengawal sempadan melalui kawasan itu.

"Penyerang meletupkan sebutir bom dalam usaha untuk membunuh anggota BPP [Border Patrol Police Company] 4413 yang melakukan rondaan di sepanjang Sungai Golok ... Kami menemui cebisan bom improvisasi berhampiran pintu air (di sebelah Thai) dan wayar peledak yang merentangi sungai hingga ke seberang di sebelah Malaysia," kata Kapten Boonsanit Khiewpradit, Timbalan Pegawai Penyiasat dari Balai Polis Tak Bai.

Serangan seperti itu jarang berlaku tetapi pemimpin kumpulan pemberontak terbabit dipercayai bersembunyi di sebelah sempadan Malaysia. Pemberontak pada masa tertentu akan melintasi sempadan untuk melancarkan serangan ke atas Thailand sebelum menyelinap masuk semula ke Malaysia, demikian menurut pegawai Thailand.

Enam pengawal sempadan Thailand yang mengalami kecederaan tidak mengancam nyawa pada Jumaat itu, termasuk komander unit Lt. Kapt. Manoch Kongsuk, yang cedera di bahagian bawah mata, kemudian dihantar ke sebuah hospital di daerah itu untuk mendapatkan rawatan, kata Boonsanit.

"Kami dalam perjalanan pulang selepas menyediakan khidmat keselamatan pada satu majlis kampung, tetapi apabila kami tiba di lokasi kejadian penyerang yang bersembunyi dalam semak di kawasan sempadan sebelah Malaysia telah meletupkan bom dengan bateri," kata Manoch kepada pemberita.

Serangan terbaharu

Kejadian pada Jumaat telah menamatkan keadaan tenang selama seminggu di selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu, di mana pemberontakan pemisah telah berlarutan selama beberapa dekad, membunuh hampir 7,000 orang sejak ia mula tercetus semula pada 2004.

Minggu lepas, serangan paling dahsyat berlaku ke atas pasukan keselamatan Thailand dalam tempoh dua tahun yang menyaksikan suspek pemberontak membunuh enam anggota tentera dalam serangan hendap di tepi jalan di Janae, satu lagi daerah di Narathiwat, dan mereka cuba mencacatkan mayat dengan membakarnya, kata pegawai.

Pada awal April, 12 pegawai polis cedera dalam satu lagi serangan hendap yang dilakukan oleh suspek pemberontak di sebuah pusat pemeriksaan berhampiran Yala, satu lagi wilayah di Selatan Thailand. Sejak awal tahun ini, 36 orang terbunuh dan 44 lagi cedera dalam beberapa serangan di kawasan sempadan selatan Thailand, termasuk pengeboman pada Jumaat di Tak Bai.

Serangan berlaku kerana kerajaan tentera Thailand telah berunding dengan MARA Patani, satu panel yang mewakili kumpulan pemberontak Selatan Thailand, dan pertemuan itu diatur oleh Malaysia bagi membuka semula rundingan damai secara rasmi.

Pada awal tahun ini, pihak yang bertelingkah bersetuju mewujudkan satu rangka kerja dalam usaha gencatan senjata yang terhad di Selatan Thailand namun Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemberontak terbesar di negara itu, telah menolak proses damai tersebut. Pakar percaya BRN merupakan dalang keganasan yang berlaku akhir-akhir ini.

Menyeberangi sungai

Sungai Golok, juga dikenali sebagai Sungai Kolok, adalah lokasi di mana anggota militan Negara Islam (IS) dari Malaysia dipercayai melarikan diri dengan menyeberang sungai itu untuk ke Thailand bagi mengelak ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia.

Minggu ini, Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar mengumumkan bahawa pihaknya telah menahan enam individu yang disyaki anggota IS dalam serbuan di beberapa negeri di Malaysia dari akhir bulan Mac hingga akhir April. Bagaimanapun suspek ketujuh, Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi, dipercayai telah melarikan diri ke wilayah Narathiwat, Thailand pada 22 Mac lalu, kata Khalid.

Pada Khamis, Ketua Polis Imigresen Thailand di Narathiwat berkata pihaknya mempunyai rekod yang menunjukkan Muhammad Muzaffa telah menyeberang ke Thailand dan kembali ke Malaysia "beberapa kali," melalui pusat pemeriksaan sempadan di Sungai Golok.

“Kami mempunyai rekod masuk dan keluar dengan perjalanan terkini ialah pada 21 April lepas. Lelaki itu mempunyai cop imigresen dari kedua-dua negara… Ini adalah sebelum dia didakwa sebagai anggota IS,” kata Penguasa Polis Imigresen Kol. Pol. Noppadol Rakchart yang mengetuai biro polis imigresen di Narathiwat.

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.