Follow us

Bom Dirampas Mungkin Dihasilkan Di Malaysia, kata Pihak Berkuasa

Alfian ZM Tahir & Matahari Ismail
Kuala Lumpur & Narathiwat, Thailand
2018-06-26
E-mel
Komen
Share
Anggota Polis Thailand memeriksa lokasi di mana tiga pegawai pasukan bom terbunuh dalam satu letupan semasa memeriksa barangan mencurigakan di tepi jalan raya di wilayah Narathiwat yang bergolak, 28 Oktober 2013.
Anggota Polis Thailand memeriksa lokasi di mana tiga pegawai pasukan bom terbunuh dalam satu letupan semasa memeriksa barangan mencurigakan di tepi jalan raya di wilayah Narathiwat yang bergolak, 28 Oktober 2013.
[AP]

Polis Malaysia meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang kawasan yang bersempadan dengan Thailand, kata ketua polis Malaysia pada Selasa sambil mengakui bahawa pemberontak dari selatan Thailand mungkin menghasilkan bom di kawasan sempadan di negeri Kelantan.

Sementara itu, di Narathiwat, sebuah wilayah Thailand di mana polis baru-baru ini menahan seorang suspek yang membawa 41 bom paip "dari sebuah negara jiran", ketua polis wilayah itu menyuarakan rasa kecewanya dengan berkata bahawa kawasan yang di bawah bidang kuasanya itu pasti aman jika Malaysia memburu dan menangkap suspek militan yang tinggal di kawasan sempadan dua negara itu.

"Ada kemungkinan pemberontak selatan menyelinap masuk ke Malaysia dan menghasilkan bom di Kelantan," kata Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim kepada BeritaBenar.

"Kami melihat dari sudut itu dan sedang menelitinya."

"Setakat ini, tiada tangkapan dibuat di Kelantan," katanya. "Polis sedang meningkatkan keselamatan di kawasan itu."

Noor Rashid mengulas laporan agensi berita Malaysia, Bernama, bahawa bom buatan sendiri yang dirampas daripada suspek pemberontak di selatan Thailand pada lima hari lepas, telah dipasang di Malaysia.

Agensi perkhidmatan berita itu memetik komander Wilayah Tentera Keempat Angkatan Tentera Thailand  Lt. Jen Piyawat Nakwanich, sebagai berkata bahawa bom itu adalah untuk digunakan dalam serangan militan selepas Ramadan, bulan puasa umat Islam yang berakhir pada pertengahan Jun.

"Siasatan kami menunjukkan bahawa bom itu diseludup masuk dari Malaysia," Piyawat, pegawai tertinggi Tentera Thailand di selatan negara itu, dipetik sebagai berkata.

Bom itu dirampas di tempat pemeriksaan apabila polis Thailand memintas seorang suspek pemberontak yang memandu trak pikap dari Sungai Golok ke Yi-ngor, sebuah daerah di Narathiwat, kata pegawai.

Suspek berusia 39 tahun itu, yang dikenal pasti sebagai Zanuzi Yatae, cuba menyeludup masuk bom paip itu ke kawasan Narathiwat, kata polisi sambil memberitahu bahawa seorang lelaki yang bersubahat, yang dikenal pasti  Zanuzi sebagai Abdulaziz Samoe, dapat melarikan diri.

Polis menemui tiub-tiub besi yang mengandungi bahan peledak dan peranti masa, bersama walkie-talkie dan peranti lain yang boleh digunakan untuk meletupkan bom dari jauh.

Mejar Manas Sikasamat, komander polis wilayah Narathiwat, berkata, ramai suspek yang menyokong selatan Thailand itu mempunya dua kewarganegaraan.

"Sesetengahnya adalah pasangan atau mempunyai saudara mara di kedua-dua belah sempadan, sangat sukar untuk dikawal," katanya.

"Akan tetapi ia mungkin mudah jika Malaysia dapat membantu dengan mengetatkan kawalan kawasan sempadan dan menahan tertuduh yang tinggal di bahagiannya."

Kolonel Pramote Prom-in, jurucakap ISOC Wilayah 4 Tentera Thailand, berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada bom paip itu dihasilkan di Malaysia.

"Saya tidak boleh menyebut nama negara asalnya," kata beliau kepada BeritaBenar, sambil menyatakan ia kerana kekurangan dokumen. "Saya tidak pasti sama ada laporan itu memetik Wilayah Tentera Keempat sebagai berkata bahawa bom itu berasal dari Malaysia. Pada awalnya, saya tidak melihat laporan rasmi yang menyatakan demikian."

Pattani adalah satu daripada wilayah selatan Thailand di mana hampir 7,000 orang terbunuh dalam keganasan apabila pemberontakan pihak pemisah dihidupkan semula di wilayah itu yang kebanyakan penduduknya adalah beragama Islam dan berbahasa Melayu sejak 14 tahun yang lalu. Pada 20 Mei, sebanyak 16 bom diletupkan dalam masa 50 minit di empat daerah di wilayah yang bergolak itu, kata polis.

Penolong Pesuruhjaya Kanan Din Ahmad, Timbalan Ketua Polis Kelantan, memberitahu BeritaBenar bahawa penyeludupan barangan "bukan sesuatu yang baru" bagi penduduk yang tinggal di Sungai Golok, yang merupakan  sempadan semula jadi antara Malaysia dan Thailand.

"Polis tidak boleh memeriksa setiap kereta dan kenderaan yang masuk ke Malaysia," katanya. "Tetapi, sejak kes bom yang dipercayai dihasilkan di Malaysia, polis sedang melancarkan siasatan dan mengetatkan sempadan. Setiap kereta diperiksa dengan teliti. "

Para pegawai Malaysia bekerjasama rapat dengan rakan-rakan sejawatan di Thailand untuk mendapatkan lebih banyak maklumat dan "memburu"  pelaku dalam cubaan menyeludup itu, kata Din Ahmad.

"Polis sedang mendapatkan lebih banyak maklumat daripada pihak polis Thailand dan daripada butiran yang mereka ada," katanya.

"Mereka akan memastikan sel mana, rumah mana, kedai mana yang pemberontak itu mahu serahkan bekalan mereka."

Lihat Laman Penuh