Letupan bom bunuh, cederakan pekerja kereta api di Selatan Thailand

Mariyam Ahmad
2022.12.06
Pattani, Thailand
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Letupan bom bunuh, cederakan pekerja kereta api di Selatan Thailand Seorang pegawai dan ahli pasukan pemusnah bom memeriksa kesan ledakan bom yang diletakkan di landasan keretapi dalam kejadian yang membunuh sekurang-kurangnya tiga pekerja keretapi di Songkhla, 6 Disember 2022.
[BenarNews]

Satu letupan bom di atas landasan keretapi di Selatan Thailand telah menyebabkan sekurang-kurangnya tiga pekerja keretapi terbunuh manakala beberapa yang lain cedera pada Selasa, kata pegawai kerajaan, yang menyalahkan kumpulan pemisah atas serangan berkenaan.

Bom tersebut telah diletakkan berhampiran satu lokasi di mana satu lagi letupan telah berlaku pada Sabtu yang menyebabkan 11 daripada 20 gerabak terbabas tetapi tiada sebarang kematian yang dilaporkan di wilayah Songkhla itu, demikian menurut beberapa pegawai perkhidmatan keretapi.

"Ketika petugas keretapi sedang membersihkan landasan, puak pemisah telah melakukan satu lagi pengeboman beberapa ratus meter daripada lokasi letupan yang pertama," kata Leftenan Jeneral Santi Sakuntanak, pemerintah pasukan tentera darat di kawasan Selatan Thailand semasa melawat lokasi kejadian.

“Ini bermakna para penyerang telah menjangka pegawai kerajaan akan berada ke tempat letupan bagi membuat siasatan dan mengumpulkan bukti, oleh itu mereka meledakkan bom kedua bagi membunuh dan menyebabkan kerosakan."

Deeden Kongsom, ketua juruteknik bagi State Railway of Thailand, telah menyaksikan kejadian letupan tersebut.

"Bom tersebut meletup ketika kami sedang berjalan untuk beredar daripada lokasi bom pertama... Saya melihat sendiri bagaimana rakan-rakan sekerja saya terpelanting ke arah berlainan," kata Deeden kepada wartawan.

Bom tersebut dipercayai telah diletakkan di antara stesen keretapi Klong-ngae dan Padang Besar, yang terletak di pinggir kawasan Selatan Thailand dan merupakan laluan keretapi yang menuju ke sempadan negara jiran Malaysia.

221206-MY-TH-Inside-Keretapi.jpg

Anggota tentera membawa anjing pengesan memeriksan kawasan landasan selepas kejadian letupan yang meragut nyawa di wilayah Songkhla, Selatan Thailand, 6 Disember 2022. [BenarNews]

Setakat ini, tiada sebuah pun kumpulan pemisah yang telah tampil untuk mengaku bertanggungjawab keatas dua serangan tersebut.

Leftenan Jeneral Santi berkata pihak berkuasa kini terpaksa mengambil langkah waspada bagi melindungi lokasi-lokasi yang mungkin dijadikan sasaran penyerang ketika sambutan-sambutan festival yang akan datang.

"Dari sekarang, kami perlu lebih berhati-hati dan meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar kawasan perniagaan kerana para penyerang mungkin akan mensasarkan kawasan pelancongan bukan sahaja di Selatan Thailand tetapi juga di Hat Yai, Satun dan Surat Thani," kata beliau, merujuk kepada wilayah dan daerah yang berjiran.

Serangan pada Selasa itu merupakan kejadian kedua yang berlaku di wilayah sempadan berkenaan sejak beberapa minggu lepas, yang menyaksikan ramai terbunuh.

Pada 22 November lalu, satu letupan besar daripada sebuah trak pikap yang diletakkan bom telah berlaku sehingga menyebabkan seorang pegawai polis terbunuh dan mencederakan puluhan orang di Narathiwat.

Sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak termasuk seorang yang baru berusia setahun merupakan antara mangsa yang tercedera, kata pegawai kerajaan, dengan insiden tersebut telah mensasarkan sebuah kawasan yang menjadi penempatan pegawai polis dan keluarga mereka.

Sejak pemberontakan pemisah tercetus di Selatan Thailand pada Januari 2004, sekurang-kurangnya 7,344 orang terbunuh dan 13,641 cedera dalam keganasan di seluruh wilayah sempadan itu, yang kebanyakannya beragama Islam dan berbahasa Melayu, menurut data yang dikemas kini sehingga Mac 2022 oleh Deep South Watch, iaitu badan pemikir tempatan.

Kawasan-kawasan berkenaan merangkumi wilayah Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla.

Pegawai Thailand dan BRN memulakan rundingan damai yang diusahakan Malaysia pada awal 2020 – berikutan perbincangan bertahun-tahun antara kerajaan dan MARA Patani, sebuah kumpulan induk yang menyatukan kumpulan pemberontak Selatan Thailand termasuk BRN.

Rundingan bersemuka keenam, yang dijadualkan pada bulan ini, telah ditangguhkan kerana pilihan raya umum Malaysia pada hujung minggu lalu, menurut perunding kedua-dua pihak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.