Malaysia Tahan Lebih Banyak Bot Rohingya, kata Pegawai Thailand

Nontarat Phaicharoen & Nisha David
2020.06.17
Bangkok & Kuala Lumpur
200617-MY-Rohingya-boat-1000.jpg Foto edaran pengawal pantai Malaysia menunjukkan sebuah bot kayu membawa pendatang disyaki etnik Rohingya ketika ditahan di perairan wilayah Malaysia di luar Pulau Langkawi, 5 April 2020.
[Foto AFP/Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Malaysia menahan tiga bot etnik Rohingya dalam beberapa minggu lalu selain daripada bot yang dibawa ke darat pada 8 Jun, kata seorang komander polis laut Thailand kepada BeritaBenar pada Rabu, yang memetik maklumat daripada nelayan tempatan, tetapi seorang pegawai kanan keselamatan Malaysia menafikan perkara itu.

Sebanyak enam bot etnik Rohingya berada di perairan Malaysia berhampiran Thailand "sehingga minggu lalu," kata Leftenan Polis Kolonel Banjerd Manawesh, yang merupakan pegawai di Satun iaitu wilayah paling selatan di pantai barat Thailand. Beliau berkata maklumat itu diperolehnya daripada nelayan tempatan dan laporan berita.

"Tiga minggu lalu, setakat minggu lepas, ada enam bot di wilayah perairan Malaysia yang menuju ke selatan, kira-kira 12 batu dari Pulau Lipe," kata Banjerd, yang merujuk pada sebuah pulau Thailand di Selat Melaka di utara Malaysia.

"Kami percaya ia menuju ke Malaysia tetapi Malaysia menghalangnya masuk," katanya kepada BeritaBenar.

Dua daripada bot itu menuju ke Indonesia, satu lagi dibawa ke darat oleh kapal Malaysia manakala "tiga bot lain telah ditahan," katanya.

Seorang pegawai kanan keselamatan Malaysia menafikan perkara itu. Beliau enggan namanya disebut kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media mengenai perkara tersebut.

"Itu tidak betul. Bot terakhir yang mendarat di sini adalah bot yang ditahan di Langkawi baru-baru ini,” kata pegawai itu ketika ditanya mengenai ketiga-tiga bot berkenaan.

Pada 6 Jun, pihak berkuasa Malaysia menunda sebuah bot yang rosak ke darat dan menahan 269 etnik Rohingya selepas puluhan daripada mereka terjun ke laut dan mula berenang ke Langkawi, sebuah pulau di pantai barat laut Semenanjung Malaysia. Pendaratan bot itu merupakan yang pertama dibenarkan oleh Malaysia untuk etnik Rohingya setelah menutup semua sempadannya sejak lebih dua bulan lalu berikutan koronavirus.

Dua hari kemudian, ketua pengawal pantai Malaysia Mohd Zubil Mat Som berkata bahawa sebuah bot Rohingya yang membawa 300 orang sedang berlindung di utara Langkawi di luar pulau Koh Adang, Thailand. Kapal pengawal pantai  Malaysia telah beberapa kali menyekat kemasukan bot-bot itu, katanya. Tetapi Tentera Laut Thailand menyatakan ia tidak menemukan sebarang bot seperti itu.

Panggilan dan pesanan BeritaBenar kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia iaitu pengawal pantai negara itu mengenai perkara berkenaan, tidak dijawab.

Pegawai keselamatan yang bercakap dengan BeritaBenar pada Rabu memberitahu bahawa bot yang dimaksudkan itu tidak lagi berada di Koh Adang, berdasarkan pengawasan dron dan rondaan udara.

"Ia mungkin kembali ke Laut Andaman atau menuju ke Aceh, Indonesia. Itu adalah lokasi terdekat, "kata sumber itu. Beliau berkata Malaysia akan bekerjasama dengan pegawai maritim Thailand untuk mencari bot tersebut.

‘Terdapat lebih banyak bot’

Banyak negara di rantau ini menutup sempadan mereka kepada rakyat asing dalam beberapa bulan lepas kerana bimbang penularan COVID-19.

Kumpulan hak asasi membangkitkan kebimbangan mereka tentang kesan dasar sedemikian terhadap bot-bot yang padat dengan pelarian etnik Rohingya dan pendatang lain yang biasanya melakukan perjalanan ke negara-negara pekerja migran pada masa ini.

Pada April, ratusan lelaki, wanita dan kanak-kanak etnik Rohingya dikatakan kebuluran ketika dibawa ke darat di Bangladesh setelah perjalanan hampir dua bulan gagal membawa mereka memasuki Malaysia, di mana puluhan daripada mereka mati semasa pelayaran itu, kata pegawai serta mangsa yang selamat.

Di Bangkok, kumpulan penyokong hak asasi manusia, Fortify Rights, menggesa negara-negara Asia supaya membenarkan bot-bot etnik Rohingya mendarat di negara mereka. Ia adalah satu daripada beberapa kumpulan hak asasi yang mendesak tindakan sedemikian sejak beberapa minggu lalu.

"Negara-negara di rantau ini perlu segera membenarkan pelarian etnik Rohingya dan mangsa penyeludupan manusia mendarat. Etnik Rohingya adalah mangsa genosid dan memerlukan perlindungan, agar tidak dibiarkan mati di laut,” kata Putthanee Kangkun, seorang penyelidik dalam kumpulan itu, kepada BeritaBenar pada minggu lalu.

"Kami tahu ada banyak lagi bot di laut," katanya.

Malaysia mengakui bahawa ia telah menghalang lebih daripada 24 bot mendarat di wilayahnya sejak 1 Mei, walaupun pihak berkuasa tidak menyatakan jenis bot berkenaan.

Dalam sidang media pada Rabu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata antara 1 Mei dan 16 Jun, Malaysia telah menahan 850 pendatang asing yang cuba memasuki negara itu dan menangkap 153 tekong, 12 orang yang disyaki penyeludup dan "18 bot."

Menteri Luar Hishammuddin Hussein pula menyanggah kritikan terhadap pendirian semasa Malaysia berhubung pelarian etnik Rohingya.

“Apa yang kita lakukan untuk pelarian Rohingya sejak dari dulu lagi merupakan usaha yang bukan kecil dan jumlah mereka yang berada di Malaysia mencecah ratusan ribu. Beberapa negara yang sebelum ini berjanji untuk menerima pelarian ini dari Malaysia juga nampaknya dilihat tidak berbuat demikian. Oleh itu, adalah tidak adil untuk menuduh Malaysia tidak berperikemanusiaan.  Masalah Rohingya mestilah diselesaikan dengan bermula di tempatnya sendiri,” kata  beliau.

Etnik Rohingya adalah minoriti tanpa kewarganegaraan dan ditindas di Myanmar, di mana keganasan terhadap mereka menyebabkan lebih satu juta daripada mereka bertindak melarikan diri ke tenggara Bangladesh di mana mereka ditempatkan di kem-kem pelarian di kawasan yang luas itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.