Bekas Guru Besar Kini Pemimpin Kumpulan Pemberontak BRN: Pegawai Thailand

Staf BeritaBenar
2017.03.20
Pattani, Thailand
170320-TH-BRN-DPP-620.jpg Doonloh Wae-mano [yang juga dikenali sebagai Abdullah Wan Mat Noor] (sisipan) telah dipilih sebagai pemimpin tertinggi kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional di Selatan Thailand selepas mesyuarat majlis pentadbiran yang diadakan di Madrasah Al Dakwah Islamiyah di Kelantan, Malaysia, 17 Januari 2017.
[Ihsan pegawai keselamatan Thailand]

Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan terbesar pemisah bersenjata di Selatan Thailand, telah melantik seorang pemimpin tertinggi yang baru untuk menggantikan Sapae-ing Baso yang meninggal dunia dua bulan lalu, demikian menurut sumber keselamatan Thailand, pada Isnin.

Pada satu mesyuarat yang diadakan di Kelantan, BRN Malaysia yang mentadbir majlis (DPP) telah menamakan Doonloh Wae-mano atau juga dikenali sebagai Abdullah Wan Mat Noor, seorang bekas pengetua sekolah di selatan negara itu yang dikehendaki kerajaan Thailand atas tuduhan berkaitan pemberontakan, sebagai pengerusi baru kumpulan berkenaan.

Beliau menggantikan Sapae-ing, pengerusi majlis dan juga "pemimpin spiritual" kumpulan pemberontak itu, yang meninggal dunia pada usia 86 tahun akibat komplikasi penyakit kencing manis pada Jan 10 lepas, sumber memberitahu BeritaBenar.

Doonloh, seminggu selepas kematian Sapae-ing dinaikkan pangkat daripada seorang setiausaha kepada pengerusi DPP, semasa pertemuan rahsia bersama enam anggota majlis BRN.

BRN yang ditubuhkan pada tahun 1960 kini dipercayai mempunyai sekitar 6,000 pejuang, menurut pegawai tentera Thailand.

Majlis Pentadbiran yang turut dikenali sebagai Al Shura, telah melantik Doonloh pada mesyuarat di Madrasah Al Dakwah Islamiyah di Kelantan pada Jan 17 lepas, seorang pegawai keselamatan Thailand memberitahu BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan.

"Mesyuarat itu membuat keputusan sebulat suara untuk melantik Doonloh sebagai pengerusi baru, dan Ustaz Abdul Munir, pemimpin semasa sayap politik BRN, sebagai setiausaha," kata pegawai itu.

Jurucakap perintah serantau tentera di Selatan Thailand, bagaimanapun, berkata beliau tidak dapat mengesahkan laporan itu.

"Saya ada mendengar tentang kemungkinan Doonloh dilantik. Ia melibatkan rundingan damai dan kami akan membuat kepastian, "Kolonel Pramote Prom-in, jurucakap Keselamatan Operasi 4 (ISOC 4), memberitahu BeritaBenar melalui telefon.

Kerajaan tentera Thailand kini cuba membuka semula rundingan damai rasmi dengan MARA Patani, panel yang mewakili kumpulan pemberontak selatan, termasuk BRN. Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada ahli majlis yang mentadbir BRN mewakili panel tersebut, menurut senarai anggota majlis BRN yang diperolehi oleh BeritaBenar.

Akhir bulan lepas, Thailand dan MARA Patani mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur dan bersetuju untuk mengadakan satu rangka kerja bagi gencatan senjata yang terhad di salah satu daerah di Selatan Thailand.

Sejak kedua-dua pihak mencapai kejayaan pada 28 Februari, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam serangan yang dipercayai dilakukan pemberontak di beberapa wilayah di rantau itu.

Hampir 7,000 orang terbunuh sejak 2004 dalam keganasan yang dikaitkan dengan konflik pemisah di wilayah sempadan selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu.

‘Generasi Sama’

Doonloh adalah bekas gurubesar Sekolah Jihad Witaya School di Pattani – salah satu wilayah di Selatan Thailand telah melarikan diri ke negara jiran Malaysia, 13 tahun lepas selepas didakwa memberontak dan melatih pejuang pemisah di sekolahnya, menurut sumber.

Pihak berkuasa Thailand mendakwa Doonloh telah melatih pemisah untuk merompak 400 pucuk senapang daripada sebuah kem tentera di daerah Cho-Irong, Narathiwat pada tahun 2004.

"Abdullah Wan Mat Noor [Doonloh] telah dilantik sebagai Setiausaha DPP pada 2016, jadi beliau mempunyai pengetahuan mendalam di dalam dunia pemberontakan yang penuh rahsia.

Sejak September 2016, beliau merupakan orang nombor dua di dalam BRN jadi tidak mustahil bagi beliau untuk dilantik sebagai pengerusi, " kata Zachary Abuza, seorang pakar tentang isu selatan Thailand yang juga seorang profesor
di National War College di Washington, kepada BeritaBenar.

BRN telah kehilangan dua pemimpin paling kuat dalam tempoh dua tahun - Jekumar Kuteh dan Sapae-ing Baso - keduanya guru besar di dua buah sekolah berasrama Shaafi Islam [Madrasah] yang paling terkenal di Selatan Thailand dan mempunyai "pengaruh kuat ke atas pelajar dan guru-guru," menurut Abuza.

Selain Doonloh, seperti dalam pemerhatian, "kita tidak tahu bagaimana luasnya sokongan beliau," tetapi Doonloh "adalah generasi yang sama."

"Saya masih mengambil berat tentang perubahan generasi dalam BRN yang membawa kepada kepimpinan yang lebih tegas untuk masa hadapan," tambah Abuza

Menurut sumber dalam perisikan tentera Thai, Doonloh adalah ‘hardliner’ BRN yang dinaikkan pangkat teratas organisasi serta boleh mengancam usaha damai antara Thailand dan MARA Patani.

"MARA Patani nampaknya tidak dapat mengawal militan RKK di medan. Abdullah Wan Mat Noor bersikap tegar dan beliau berkemungkinan besar tidak bersetuju dengan penyelesaian aman, " kata pegawai perisikan, yang juga tidak mahu dikenali, memberitahu BeritaBenar.

RKK adalah singkatan bagi unit pertempuran BRN yang dikenali sebagai Runda Kumpulan Kecil.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.