Thailand, BRN bincangkan potensi gencatan senjata 108 hari semasa Buddhist Lent

Kedua-dua pihak selesai mengadakan perbincangan bersemuka yang ketiga di Kuala Lumpur pada tahun ini.
Staf BenarNews
2022.08.02
Kuala Lumpur & Bangkok
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Thailand, BRN bincangkan potensi gencatan senjata 108 hari semasa Buddhist Lent Anggota tentera memeriksa kawasan serangan yang disyaki dilakukan pemberontak di Chanae, daerah di wilayah Narathiwat di Selatan Thailand, 27 April 2017.
[Surapan Boonthanom/Reuters]

Perunding kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak utama Selatan Thailand membincangkan kemungkinan melaksanakan gencatan keganasan lebih tiga bulan semasa mereka bertemu bagi perbincangan terbaharu rundingan damai yang berakhir di Malaysia pada Selasa, kata pegawai.

Tetapi beberapa jam sebelum rundingan itu berakhir dan kedua-dua pihak bersurai, letupan bom berlaku di tepi jalan yang mencederakan dua sukarelawan pertahanan kampung di Pattani, iaitu wilayah bergolak di Selatan Thailand.

Rundingan itu, yang diaturkan Malaysia, melibatkan kerajaan Thailand dan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) – pertemuan bersemuka yang ketiga pada tahun ini - berlangsung selama dua hari di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Namun, pada pagi Selasa, suspek pemberontak menyasarkan sukarelawan pertahanan tempatan dalam satu serangan di daerah Mai Kaen di Pattani ketika mereka mengiringi orang awam ke sekolah, kata polis.

“Enam sukarelawan pertahanan sedang menunggang tiga motosikal untuk melindungi guru dan pelajar di kawasan itu … apabila penyerang meletuskan bom yang dipasang dalam silinder gas memasak hingga mencederakan dua orang daripada mereka,” kata Mej Jeneral Narin Busaman, ketua polis wilayah itu.

Kecederaan yang dialami dua sukarelawan itu tidak mengancam nyawa, kata polis. Sehingga lewat Selasa, tiada siapa pun yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Sementara itu, di luar ibu negara Malaysia, pegawai yang menghadiri rundingan damai itu berkata kedua-dua pihak telah menilai pelaksanaan gencatan keganasan pada April hingga Mei lalu dan membincangkan cadangan serupa untuk dilaksanakan pada masa depan, tetapi tanpa sebarang persetujuan mengenai perkara penting yang lain.

Kerajaan Thailand mencadangkan gencatan senjata yang baharu - dari 15 Ogos hingga 30 November - dan itu akan meliputi sebahagian besar tempoh acara keagamaan Buddhist Lent di Thailand, tetapi pihak pemberontak tidak memberikan sebarang persetujuan segera mengenainya, kata pegawai.

Selepas mengadakan perbincangan sebelum ini, kedua-dua pihak berjaya melaksanakan gencatan senjata selama 40 hari semasa Ramadan, walaupun kumpulan pemberontak lain iaitu Barisan Pembebasan Bersatu Patani (PULO) melakukan dua serangan bom tepi jalan yang menyebabkan kematian seorang penduduk kampung dan mencederakan tiga pegawai polis di Pattani.

Pada ketika itu, ketua PULO mendakwa ia bertanggungjawab melakukan serangan tersebut dengan menyatakan ia bertindak demikian kerana kumpulan itu tidak dilibatkan dalam rundingan damai itu. PULO juga tidak dijemput ke perbincangan ketiga yang baru sahaja diadakan itu.

Dalam rundingan damai minggu ini, kedua-dua pihak telah “bersama-sama menilai pelaksanaan inisiatif damai Ramadan dari 3 April hingga 14 Mei, dengan kedua-dua pihak itu mengambil iktibar untuk penambahbaikan pada masa depan,” kata Jeneral Wanlop Rugsanaoh, ketua delegasi kerajaan Thailand kepada pemberita pada petang Selasa semasa sidang media dari Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur.

"Kami berdua bersetuju bahawa Inisiatif Damai Ramadan adalah satu langkah penting ke hadapan untuk mengurangkan keganasan yang meningkat di Selatan Thailand."

Pada sesi perbincangan kali ini, kata Wanlop, Thailand telah mencadangkan "untuk mengurangkan keganasan" selama 108 hari yang meliputi tempoh Buddhist Lent dari 14 Julai hingga 10 Oktober dengan pasukan pemantau bersama, termasuk organisasi masyarakat dan wakil BRN, akan mengawasi keadaan sepanjang tempoh itu.

220802-MY-TH-Inside1PeaceTalkKL.jpg

Anggota paramedik dalam ambulans sedang merawat sukarelawan pertahanan kampung yang cedera dalam kejadian serangan bom di Mai Kaen, daerah wilayah Pattani di Selatan Thailand, sambil mereka bersedia membawanya ke hospital, 2 Ogos 2022. [BenarNews]

Abdul Rahim Noor, fasilitator rundingan Malaysia, juga memberitahu mengenai cadangan kerajaan Thailand "untuk melaksanakan satu lagi inisiatif damai yang sama seperti semasa Ramadan."

“BRN bagaimanapun tidak bersetuju dengan beberapa terma yang dikemukakan semasa perbincangan itu. Jadi, mereka masih belum mencapai kata sepakat dalam isu ini,” katanya kepada BenarNews.

Semasa rundingan itu, kedua-dua pihak mencadangkan cara bagi mengurangkan keganasan di Selatan Thailand, kata Rahim Noor, sambil memberitahu bahawa Malaysia sedang meneliti cadangan itu.

Anas Abdulrahman, perunding utama BRN yang juga dikenali sebagai Hipni Mareh, tidak mendedahkan sebarang maklumat tetapi berkata delegasinya akan mengadakan sidang media pada Rabu.

Pada Isnin, Anas mengesahkan kepada BenarNews bahawa pengurangan keganasan adalah antara topik yang dibincangkan dalam perbincangan terbaharu itu, tetapi beliau tidak mengulas mengenai kemungkinan gencatan senjata dilaksanakan semasa Buddhist Lent.

Seorang penganalisis konflik itu berkata beliau tidak menjangka adanya "kejayaan dramatik" dalam tempoh terdekat rundingan damai di antara Thailand dan BRN.

“Kedua-dua pihak itu masih perlu menempuh laluan yang panjang sebelum dapat mencapai kompromi yang diperlukan untuk penyelesaian politik ini," kata Matt Wheeler, penganalisis kanan Asia Tenggara di International Crisis Group, sebuah kumpulan pemantauan dan pencegahan konflik yang berpejabat di Brussels, kepada BenarNews.

“Dalam waktu terdekat ini, saya menjangka adanya usaha lanjut untuk mengurangkan tahap keganasan dan perbincangan tentang bagaimana rundingan awam mengenai penyelesaian politik harus dilakukan,” katanya.

'Dasar keterangkuman'

BRN dan kumpulan pemisah lain melakukan pemberontakan pemisah bersenjata sejak berdekad lalu terhadap Thailand, yang majoriti rakyatnya beragama Buddha, di Selatan Thailand iaitu wilayah bersempadan dengan Malaysia di mana kebanyakan penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu.

Sejak pemberontakan tercetus semula pada Januari 2004, lebih 7,000 orang telah terbunuh dan 13,500 yang lain cedera dalam keganasan di seluruh wilayah Selatan Thailand itu, menurut Deep South Watch iaitu badan pemikir tempatan.

Selepas melakukan serangan bom tepi jalan di Pattani pada pertengahan April lalu, PULO pada Julai mendesak supaya ia turut dibenarkan menyertai rundingan damai itu.

Pada Selasa, Wanlop berkata PULO tidak disebut semasa perbincangan dengan BRN diadakan minggu ini.

"Kami bimbang dengan operasi PULO di lapangan, [walaupun] kami mempunyai dasar keterangkuman," kata Wanlop, sambil memberitahu bahawa PULO boleh berusaha "untuk disertakan dalam rundingan damai itu" atau "menyertai kumpulan pemberontak lain untuk berbincang dengan kami.”

"Jika tiada kumpulan lain yang mahu menyertai, PULO boleh menyertai perbincangan itu di peringkat tempatan," katanya.

220802-MY-TH-2InsidePeaceTalkKL.jpg

Fasilitator Malaysia Abdul Rahim Noor semasa ditemui BenarNews di sebuah hotel di luar Kuala Lumpur, 2 Ogos 2022. [Nisha David/BenarNews]

Rahim Noor, bekas ketua polis Malaysia, berkata negara itu tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan siapa yang boleh dijemput ke meja rundingan.

“Kami akan memudahkan mana-mana kumpulan yang mahu dirundingi oleh kerajaan Thailand. Beberapa kumpulan menunjukkan minat, tetapi mereka perlu menghubungi kerajaan Thailand untuk menyatakan hasrat mereka,” katanya kepada BenarNews.

Ketua PULO Kasturi Mahkota tidak segera menjawab pertanyaan BenarNews mengenai ia tidak dijemput ke rundingan itu. Terdahulu, beliau berkata kumpulan itu telah menghubungi perunding kerajaan melalui saluran dalam talian bagi meminta ia disertakan dalam perbincangan itu.

Wheeler berkata PULO "tidak mungkin menjejaskan proses yang ingin disertainya."

"Usahanya untuk menunjukkan keupayaannya mungkin boleh diambil kira bagi tujuan ini," katanya.

Minggu lalu, seorang jeneral kanan tentera yang merupakan anggota delegasi Thailand ke rundingan damai itu menyatakan bahawa PULO bukanlah suatu ancaman besar.

“Mengenai PULO, saya rasa ia tidak mempunyai daya kekuatan yang sebenar. Mereka hanyalah sekumpulan orang yang berkumpul dan kemudian melakukan serangan. Dalam bahasa yang mudah: mereka hanyalah pembunuh upahan,” kata Lt. Jeneral Thira Daehwa yang merupakan setiausaha bagi kumpulan kerajaan Thailand, kepada BenarNews.

“Kami menahan lapan daripada mereka dan menembak mati dua lagi di daerah Raman, dan jejak mereka kian hilang,” katanya. “Dasar rundingan damai kami ialah kami akan berbincang dengan mana-mana kumpulan yang bersedia untuk berunding, secara tidak rasmi, di mana-mana tempat... Jika mereka [PULO] mahu berunding, mereka boleh menyertai BRN atau datang sebagai kumpulan tersendiri. ”

Muzliza Mustafa dan Nisha David di Kuala Lumpur, Nontarat Phaicharoen dan Subel Rai Bhandari di Bangkok, dan Mariyam Ahmad di Pattani, Thailand, turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.