Selatan Thailand: Kerajaan Jumpa Kumpulan Pemberontak pada November

Staf BeritaBenar
2015.11.24
151124-MY-TH-PEACETALK620 Anggota skuad bom Thailand memeriksa tempat kejadian pengeboman kereta yang mengorbankan satu orang dan mencederakan 33 yang lain di wilayah Yala selatan. 6 April, 2014.
AFP

Wakil-wakil junta dan pemberontak selatan Thailand bertemu di Kuala Lumpur bulan ini untuk satu lagi pusingan mesyuarat tertutup yang bertujuan untuk membuka semula rundingan damai rasmi, demikian disahkan oleh pegawai kedua-dua pihak pada Isnin.

Berita mengenai mesyuarat itu yang diadakan di Kuala Lumpur pada 11 dan 12 November tersebar luas beberapa hari lalu, apabila satu saluran berita Thailand melaporkan bahawa zon gencatan senjata atau "zon selamat" telah diwujudkan di Narathiwat hasil daripada mesyuarat tidak rasmi itu.

Bagaimanapun, anggota pasukan rundingan kerajaan dan seorang perunding MARA Patani, sebuah kumpulan induk yang mewakili kumpulan dan puak pemberontak Selatan di mesyuarat pra-rundingan damai itu, menafikan kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan sebarang zon selamat di Narathiwat.

"Kami belum membincangkan zon keselamatan dan kami bersetuju untuk tidak memberikan sebarang maklumat mengenai perkara ini," kata Leftenan Jeneral Nakrob Boonbuathong, setiausaha pasukan rundingan Thai dalam usaha damai selatan, kepada BeritaBenar pada Isnin.

Kol Kasturi Mahkota, jurucakap MARA Patani dan pemimpin Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO), satu daripada kumpulan pemberontak itu, mengesahkan kepada BeritaBenar bahawa mesyuarat pra-rundingan damai itu telah diadakan.

Pada Ahad, MARA Patani mengeluarkan kenyataan dalam laman web Deep South Watch (DSW) yang menafikan mengenai pelaksanaan zon selamat itu. DSW ialah sebuah organisasi yang berpangkalan di Narathiwat bagi memantau keganasan di rantau yang mempunyai majoriti penduduk Islam dan usaha menyelesaikan konflik pemisah, yang telah meragut lebih 6,000 nyawa sejak 2004.

"MARA Patani ingin memaklumkan pihak-pihak berkenaan bahawa rundingan itu masih dalam proses untuk membina kepercayaan bersama. Ia juga tidak berunding secara rasmi. Oleh itu, tidak ada perbincangan yang penting, termasuk [mengenai] zon keselamatan,” kata Matshukri Hari, ketua perunding bagi MARA Patani dalam kenyataan itu.

Nakrob dan Kasturi memberitahu BeritaBenar bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan panel bagi menyelesaikan butiran yang diperlukan untuk memberi laluan kepada pembukaan semula rundingan damai itu secara rasmi. Tetapi mereka tidak menyatakan butiran itu.

Pusingan terakhir rundingan damai rasmi diadakan pada 2013, semasa kerajaan pimpinan awam memerintah Thailand. Walaupun pihak junta dan MARA Patani telah mengeluarkan kenyataan dalam beberapa bulan lepas bagi menyuarakan keyakinan bahawa mereka berada di landasan betul untuk memulakan rundingan damai rasmi itu, pakar-pakar mengenai konflik di Selatan Thailand itu memberitahu BeritaBenar pada minggu lalu bahawa usaha-usaha itu tidak mungkin berjaya kerana, kata mereka, Barisan Revolusi Nasional (BRN) – kumpulan terbesar dan paling lengkap bersenjata berbanding kumpulan pemberontak Selatan yang lain - telah keluar daripada proses damai masa kini.

"Mereka hanya berkata tiada apa yang ditawarkan kepada kami, itu yang membuatkan kami lebih bersedia untuk muncul," Zachary Abuza, profesor di Kolej Perang Nasional di Washington DC dan pakar mengenai konflik di Asia Tenggara, memberitahu BeritaBenar, ketika merujuk kepada BRN.

Sementara itu, pegawai-pegawai Thailand dan MARA Patani masih belum menyatakan sama ada BRN telah meninggalkan terus usaha itu atau tidak, dan sama ada berlakunya perpecahan dalam kalangan kumpulan itu. Matsukri Hari dan sekurang-kurangnya dua orang lelaki lagi yang menganggotai pasukan tujuh anggota MARA Patani telah memperkenalkan diri mereka sebagai pemimpin kanan BRN.

Apabila BeritaBenar bertanya kepada Matshukri dan dua lelaki itu tentang perselisihan faham berkenaan, mereka enggan menyatakan apa-apa.


Hata Wahari menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.