Perbincangan ‘Pintu Belakang’ Pacu Rundingan Damai Thailand, Kata Sumber

Tetapi, satu pertemuan rahsia di Istanbul pada akhir tahun lalu menimbulkan kemarahan beberapa pihak yang berkepentingan.
Subel Rai Bhandari & Mariyam Ahmad
2022.03.30
Bangkok & Pattani, Thailand
Perbincangan ‘Pintu Belakang’ Pacu Rundingan Damai Thailand, Kata Sumber Orang ramai menyaksikan polis Thailand memeriksa mayat seorang suspek militan selepas pertempuran dengan tentera kerajaan di Rueso, sebuah daerah di wilayah Narathiwat, Selatan Thailand, 30 Okt. 2016.
[AFP]

Rundingan bersemuka di antara kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak BRN disambung semula di Kuala Lumpur pada minggu ini setelah proses damai itu dikejutkan dengan perbincangan ‘pintu belakang’ yang diadakan pada akhir tahun lalu tanpa pengetahuan fasilitator rasmi, Malaysia, demikian didedahkan oleh BenarNews.

Malaysia kecewa dengan perbincangan yang diadakan secara sulit itu, yang dianjurkan oleh sebuah NGO antarabangsa, dengan ia dikendalikan secara maya pada November lalu dan melibatkan tujuh perunding Barisan Revolusi Nasional (BRN), yang berada di Istanbul, Turki, dan wakil kerajaan Thailand, menurut pelbagai sumber yang mengetahui tentang rundingan itu.

Namun, rundingan tersebut nampaknya membantu dalam memacu proses damai itu, yang menghasilkan perjanjian tiga perkara, di mana kemudiannya dibincangkan di Kuala Lumpur pada Januari, selepas rundingan bersemuka rasmi di antara Thailand dan BRN berhubung konflik sekian lama Selatan Thailand dimulakan semula apabila terhenti selama dua tahun.

Rundingan itu disambung semula di Kuala Lumpur pada Khamis dan dijadualkan berlangsung sehingga Sabtu, demikian disahkan oleh pegawai kedua-dua pihak berkenaan kepada BenarNews.

Lt. Jeneral Thira Daehwa, setiausaha panel kerajaan Thai yang berunding dengan pemberontak untuk menyelesaikan konflik puluhan tahun di Selatan Thailand, berkata bahawa mesyuarat secara maya yang diadakan di antara "Parti B" dan pegawai Thailand telah berlangsung pada November lalu.

“Parti B” ialah cara pihak berkuasa Thailand merujuk secara berkala kepada panel perundingan yang mewakili BRN, kumpulan pemisah bersenjata terbesar di wilayah sempadan Selatan Thailand, yang kebanyakan penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu.

Ditanya sama ada langkah mengadakan rundingan sedemikian tanpa pengetahuan Malaysia boleh menjejaskan proses damai, Thira menjawab: “Tiada apa yang perlu dirisaukan. Kami menghargai penyertaan semua pihak.”

Rundingan ‘pintu belakang’ itu telah diaturkan oleh Pusat Dialog Kemanusiaan (HD), sebuah NGO yang berpangkalan di Switzerland, kata sumber lain yang mengetahui tentang perbincangan tersebut.

“Bukan sahaja Malaysia kecewa. Kepimpinan BRN juga sangat kecewa apabila mengetahui tentang perkara ini kerana ia dilakukan tanpa kebenaran mereka,” kata sumber, yang tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan pemberita dan sedia berbuat demikian dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Wakil NGO, yang berpangkalan di Geneva, tidak segera membalas permintaan BenarNews untuk mendapatkan ulasan.

Kumpulan berkenaan memberi gambaran bahawa ia adalah sebuah organisasi diplomasi swasta yang mempunyai misi untuk "membantu mencegah, mengurangkan dan menyelesaikan konflik bersenjata melalui dialog dan perantaraan."

Sebilangan besar aktiviti organisasi berkenaan adalah sulit dan ia mengulas bahawa tugas-tugas sulitnya adalah “satu dasar umum”, demikian menurut laman web organisasi itu.

220330-th-my-peace-talks-balloons.jpg

Para pelajar memegang belon putih semasa demonstrasi menentang keganasan susulan insiden yang melibatkan tentera Thailand dan suspek pemisah di daerah Ra-ngae, Narathiwat, 21 Mac 2022. [AFP]

Pertemuan November hasilkan “pelan tindakan”

Sumber yang mengikuti rapat konflik Selatan Thailand berkata bahawa perbincangan pada November lalu telah menghasilkan perjanjian tiga perkara, yang kemudiannya dibincangkan di Kuala Lumpur pada Januari.

Pada masa itu, seorang pegawai tentera Thailand memberitahu BenarNews bahawa delegasi Thailand dan wakil BRN telah membincangkan "rangka kerja tiga perkara yang akan digunakan sebagai pelan tindakan untuk perbincangan selanjutnya."

“Rangka kerja yang dicadangkan termasuklah pengurangan keganasan, penyertaan politik dan mekanisme perbincangan di wilayah [Selatan Thailand],” menurut satu kenyataan daripada sumber kerajaan Thailand, yang tidak mahu namanya disiarkan kerana beliau juga tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan wartawan.

Thira, setiausaha panel rundingan damai Thailand, mencadangkan NGO Switzerland tersebut telah memainkan peranan yang penting untuk melaksanakan perjanjian itu.

“[Pusat Dialog Kemanusiaan] berhubung baik dengan Parti B serta mungkin memberitahu Parti B supaya jangan berdegil dan lakukan beberapa kelonggaran, dan itu akhirnya menghasilkan persetujuan mengenai tiga perkara tersebut,” katanya.

Satu lagi sumber di Bangkok memberitahu BenarNews bahawa NGO Switzerland itu membantu BRN berunding dengan pihak berkuasa Thailand, termasuk memberi mereka nasihat mengenai rundingan.

Kedua-dua pihak yang bertelagah tidak dapat bersetuju tentang cara menjadikan rangka kerja itu sebagai rasmi, dan ini mungkin akan dibincangkan semula dalam rundingan yang akan datang, kata sumber yang mengetahui tentang rundingan berkenaan.

“Mereka telah bersetuju dengan syarat-syarat yang dikemukakan semasa perbincangan di Turki… kedua-dua [pihak] mahu Rahim Noor menandatangani dokumen itu tetapi mereka tidak mahu meletakkan tanda tangan masing-masing pada dokumen yang sama sebagai satu bentuk perjanjian,” kata sumber.

Rahim Noor, bekas ketua polis negara Malaysia, sedang menjadi perantara perbincangan rasmi bagi pihak kerajaannya.

Rahim "berasa tidak adil untuk beliau meletakkan tanda tangannya pada dokumen, apabila Malaysia langsung tidak dirujuk pun," tambah sumber.

Fasilitator Malaysia enggan mengulas laporan ini bagi menjawab soalan mengenai adanya penglibatan HD dalam perbincangan “pintu belakang” berkaitan proses damai Selatan Thailand.

220330-th-my-peace-talks-bomb.jpg

Pegawai forensik polis memeriksa dua kenderaan yang terbakar yang dipercayai digunakan oleh pendakwah Islam di daerah Rueso, 7 Sept, 2019. [AFP]

Pengurangan keganasan Ramadan

Pusat Dialog Kemanusiaan menyertai proses damai Thailand sekurang-kurangnya sekali sebelum ini, dengan mengawasi apa yang dipanggil Inisiatif Berlin pada 2019 yang meletakkan asas bagi proses damai semasa, di mana kumpulan pemberontak selatan paling berkuasa, BRN, telah menghadiri rundingan itu.

Artef Sohko, presiden kumpulan tindakan politik yang menggalakkan penentuan nasib sendiri untuk Selatan Thailand, menyuarakan kebimbangan berhubung rundingan yang diadakan baru-baru ini, dan menyatakan bahawa perjanjian itu mungkin dicapai tanpa pengetahuan kepimpinan BRN atau perundingan dengan para pejuang di lapangan.

“Hakikatnya ialah pemimpin BRN tidak membincangkan perkara ini dengan para pejuang di lapangan sebelum ia ke meja rundingan dengan pihak Thailand, dan ini boleh menyebabkan pergerakan itu berpecah belah. Jika itu berlaku, keganasan dijangka melonjak tinggi di lapangan,” katanya.

Selatan Thailand, wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Melayu yang beragama Islam, merangkumi Pattani, Narathiwat, Yala, dan empat daerah dalam wilayah Songkhla.

Sejak pemberontakan tercetus semula pada Januari 2004, lebih 7,000 orang telah terbunuh dan 13,500 yang lain cedera dalam keganasan di seluruh wilayah berkenaan, menurut Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan. Proses damai rasmi untuk menyelesaikan isu itu telah dimulakan pada 2013 tetapi tidak pernah berkembang maju.

Pada Isnin, BRN mengeluarkan video menjelang Ramadan di mana ia menggesa penduduk Selatan Thailand supaya menyambut bulan puasa Islam itu secara aman. Tahun ini, Ramadan bermula pada awal April.

Thira memberitahu BenarNews bahawa pada rundingan minggu ini, pihak Thailand akan mengemukakan tawaran untuk menangguhkan serbuan dan tangkapan terhadap suspek pemberontak semasa Ramadan.

Panel dialog damai Thailand, katanya, telah mengarahkan pemerintah tentera wilayah “untuk menjadikan Ramadan benar-benar aman dengan tidak menguatkuasakan undang-undang terhadap suspek pemberontak dalam tempoh 20 hari pertama bulan puasa itu.

"Dan, jika mereka [BRN] tidak melakukan sebarang keganasan, maka dalam 10 hari terakhir bulan berkenaan, kami akan membenarkan mereka untuk melakukan Itikaf dalam masjid," kata Thira.

Itikaf adalah amalan umat Islam dengan meluangkan masa di dalam masjid untuk beribadah termasuk menunaikan solat.

"Terpulanglah kepada mereka sama ada untuk menerima atau menolak tawaran ini," kata Thira.

Pada Rabu, suspek pemberontak membunuh dua anggota polis dan mencederakan dua yang lain dalam serangan bom tepi jalan di Bannang Sata, sebuah daerah di Yala, kata penyiasat tentera dan polis. Polis sedang melakukan rondaan di sebatang jalan apabila insiden pengeboman itu, yang kedua sejak Sabtu, berlaku.

"Insiden hari ini menunjukkan bahawa pemberontak akan melancarkan serangan pada bila-bila masa sahaja sekiranya mereka mempunyai peluang," kata Kol. Kiatisak Neewong, jurucakap bagi pemerintah tentera yang mempunyai bidang kuasa di seluruh wilayah sempadan selatan yang dikawal pihak tentera, kepada BenarNews.

“Tentera perlulah bersabar dan tetap bersikap terbuka terhadap mereka yang ingin melakukan kebaikan sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.