Penduduk Selatan Thailand Harap Gencatan Senjata Ramadan Berkekalan

Pemberontak dan pasukan keselamatan bersetuju untuk menghentikan permusuhan, dengan pejuang pemisah yang tidak bersenjata dibenarkan melawat keluarga mereka.
Mariyam Ahmad & Subel Rai Bhandari
2022.05.12
Pattani & Bangkok, Thailand
Penduduk Selatan Thailand Harap Gencatan Senjata Ramadan Berkekalan Beberapa lelaki Islam saling berpelukan semasa meraikan sambutan Aidilfitri di Masjid Salahuddin yang terletak di wilayah Yala, Selatan Thailand, 2 Mei 2022.
[Mariyam Ahmad/BenarNews]

Perjanjian menghentikan keganasan sepanjang 40 hari Ramadan yang dipersetujui oleh Bangkok dan kumpulan pemberontak Selatan Thailand pada April lepas masih lagi berterusan, dengan penduduk tempatan serta pegawai berharap relatif kejayaan itu dapat membawa kepada keamanan yang berkekalan.

Di bawah Inisiatif Damai Ramadan, yang akan tamat pada 14 Mei ini, pemberontak pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan pasukan keselamatan Thailand bersetuju untuk menghentikan permusuhan mereka sepanjang bulan mulia umat Islam itu sehingga pertengahan Mei.

Dan, buat pertama kalinya semasa Ramadan, pejuang pemisah tidak bersenjata dibenarkan pulang untuk melawat keluarga mereka di wilayah-wilayah selatan, yang mempunyai majoriti penduduk Melayu Islam, atau dikenali sebagai Selatan Thailand.

Seorang pegawai kanan tentera Thailand berkata gencatan senjata itu menunjukkan bahawa kedua-dua pihak mungkin mencapai persetujuan walaupun bertahun-tahun bertempur di kawasan sempadan yang sarat dengan ketenteraan itu yang berhampiran dengan sempadan Malaysia.

"Selepas kejayaan inisiatif damai seperti yang dipersetujui ini, kedua-dua pihak terbukti boleh bekerjasama dalam perkara ini," kata Kol. Kiatisak Neewong, jurucakap tentera pemerintah wilayah ISOC-4 kepada BenarNews pada Khamis.

"Panel dialog keamanan Thailand akan membangkitkan perkara ini semasa rundingan berikutnya di Malaysia dan berbincang bagaimana caranya untuk meningkatkan keamanan yang dicapai supaya terus berkekalan di wilayah Selatan."

Inisiatif damai itu dipersetujui pada penghujung pusingan terbaharu rundingan damai secara bersemuka di antara perunding Thailand dan BRN, yang diuruskan oleh Malaysia di sebuah hotel di luar Kuala Lumpur pada 31 Mac dan 1 April lepas.

Pemberontak BRN tidak serta-merta sedia untuk mengulas mengenai gencatan senjata itu dan fasilitator Malaysia dalam rundingan melibatkan pihak bertelagah tersebut juga tidak segera memberi respons kepada pertanyaan BenarNews.

Sejak permulaan Ramadan pada awal April, pihak tentera telah merekodkan lima insiden keganasan tetapi kebanyakannya tidak berkaitan dengan pemberontakan, kata Kiatisak. Empat insiden mempunyai kaitan dengan pertikaian peribadi dan ketagihan dadah manakala satu lagi dilakukan oleh kumpulan pemisah lain iaitu Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani, atau PULO.

Dalam serangan pada 15 April, seorang penduduk kampung terbunuh dan tiga anggota skuad bom polis cedera dalam dua kejadian pengeboman di tepi jalan di Patani, iaitu satu daripada wilayah di Selatan Thailand. Ketua PULO mendakwa kumpulan itu yang melakukan serangan tersebut pada pertengahan Ramadan kerana ia telah diketepikan daripada terlibat dalam rundingan damai dan mahu mengambil bahagian dalam usaha itu.

Menurut jurucakap ISOC-4, seramai 266 pemberontak telah melawat keluarga mereka pada Ramadan manakala beberapa orang yang lain pula menginap di pusat keamanan yang dikendalikan pihak tentera.

“Lebih separuh daripada mereka akan terus tinggal bersama keluarga mereka. Sebahagian daripada pemberontak itu tidak tahu apa yang mereka mahu lakukan. Mereka mungkin kembali ke belantara, tetapi kami akan berbincang dengan mereka semula,” kata Kiatisak.

"Bagi kumpulan yang mahu kekal kembali, kami akan mencari pekerjaan untuk mereka ... Tetapi, yang paling penting adalah mereka tidak boleh lagi melanggar undang-undang."

'Peluang untuk berdamai'

Selepas lima tahun bersembunyi, seorang suspek pemberontak yang dikenali sebagai Mae, 34, mengambil kesempatan untuk mengunjungi rumah keluarganya pada Ramadan lalu buat kali pertamanya sejak dia melarikan diri.

“Saya mendapat tahu bahawa pihak tentera menuduh saya sebagai anggota pemberontak dan mahu menangkap saya, oleh itu saya bersembunyi. Saya terpaksa berpindah pada setiap dua hingga tiga hari,” kata Mae, yang ingin dikenali hanya dengan satu nama atas sebab keselamatan, kepada BenarNews.

Sambil menafikan pernah menjadi ahli BRN, dia berkata bahawa dia tidak pernah berasa selamat sepanjang lima tahun menjadi buruan.

"Saya bertanya kepada diri sendiri: Apakah saya melakukan sebarang kesalahan? Mengapa saya perlu melarikan diri? Dari mana [tentera] mendapat maklumat yang salah tentang diri saya?” katanya. "Saya tiada jawapan, dan saya sering menangis kerana keadaan diri saya yang malang ini."

Apabila Mae mendengar berita mengenai gencatan senjata itu, dia telah meminta keluarganya supaya mendaftarkan buat dirinya. Saudara maranya memaklumkan perkara itu kepada ISOC-4 supaya dia tidak menghadapi sebarang bahaya atau gangguan.

"Ia adalah program yang baik, yang memberi kami peluang untuk menikmati keamanan," kata Mae.

Ibunya, Yo, berkata dia gembira dapat bersatu semula dengan anak lelakinya itu.

"Tiada satu hari pun saya berasa gembira atau tidur lena selepas dia pergi," kata Yo. “Sekarang, saya berasa lega kerana anak saya sudah kembali bersama keluarga. Dia bukan pemberontak, tetapi pihak tentera mahu menangkapnya atas sebab tertentu.”

Tentera Thailand enggan memberikan butiran mengenai kes individu.

Seorang lagi pemberontak, Sof, 57, yang mengakui mengikuti BRN, berkata bahawa dia menyertai program itu untuk melawat keluarganya kerana bosan dengan kehidupan sebagai pelarian.

"Saya letih kerana terpaksa melarikan diri, oleh itu, saya fikir saya mahu pulang ke rumah. Kini, saya gembira dapat kembali bersama keluarga saya,” kata Sof, yang juga mahu dikenali hanya dengan satu nama demi keselamatan dirinya, kepada BenarNews.

“Semasa melarikan diri, saya menangis sepanjang masa. Selepas saya pulang, isteri saya memberitahu bahawa anak kami mahukan gula-gula tetapi dia tidak mempunyai wang untuk membelikannya. Isteri saya menangis kerana sedih dengan keadaan dirinya itu. Saya tidak mahu melakukan perkara seperti itu lagi.”

Mae dan Sof berkata mereka berharap agar gencatan senjata dapat diteruskan.

Minggu lalu, Jeneral Wanlop Rugsanoah, jeneral yang mengetuai delegasi Thailand dalam rundingan damai itu, menganggap gencatan senjata itu sebagai "satu kejayaan" dan berkata kedua-dua pihak akan bertemu semula pada Julai atau Ogos untuk "meningkatkan lagi kerjasama damai".

220512-my-th-inside brn.jpg

Umat Islam Thailand bersolat di stadium utama semasa sambutan Aidilfitri di wilayah Narathiwat, Selatan Thailand, 2 Mei 2022 [Matahari Ismail/BenarNews]

Sekiranya gencatan senjata itu dapat diteruskan dan berjaya, ia akan "menunjukkan padunya perintah BRN, membuahkan hasil yang ketara daripada perbincangan dan menambah baik syarat-syarat rundingan awam," menurut satu laporan yang diterbitkan pada bulan lalu oleh International Crisis Group (ICG) iaitu pertubuhan penyelidikan konflik yang berpejabat di Brussels.

Bagaimanapun, inisiatif itu "lebih difahami sebagai langkah unilateral bagi mengurangkan permusuhan di setiap pihak berbanding gencatan senjata yang dirundingkan," katanya.

“Tiada peruntukan khas untuk pemantauan... dan pihak kerajaan Thailand tidak bersetuju untuk menarik balik undang-undang keselamatan khasnya bagi wilayah Selatan,” kata ICG.

Tiga undang-undang khas memberikan lebih banyak kebebasan kepada pasukan keselamatan untuk beroperasi di Selatan Thailand termasuk kekebalan daripada pendakwaan atas kelakuan pegawai semasa menjalankan tugas itu dan menahan suspek sehingga 37 hari tanpa pertuduhan.

Pada 2013, kerajaan dan pemberontak ketika itu - atas usaha Malaysia - telah bersetuju dengan inisiatif damai yang sama semasa Ramadan. Namun, ia gagal kerana adanya rasa kurang percaya dan "siri pembunuhan, yang menunjukkan terdapat usaha untuk mensabotaj gencatan senjata" selepas ketenangan minggu pertama, kata International Crisis Group.

Keganasan di Selatan Thailand kian menurun sejak 2012. Bagaimanapun, tahun lepas menyaksikan peningkatan mendadak insiden keganasan buat pertama kalinya dalam tempoh sembilan tahun dengan mencatatkan 335 insiden pada 2020 kepada 481, yang meningkat sebanyak 44 peratus, kata Deep South Watch iaitu badan pemikir tempatan pada Januari.

Ia mengakibatkan sembilan peratus kematian dengan 103 orang terbunuh dan 190 yang lain cedera pada tahun lepas, kata kumpulan itu. Secara keseluruhan, lebih 7,000 orang telah terbunuh dalam keganasan berkaitan pemberontakan sejak konflik berpuluh-puluh tahun itu kembali tercetus pada 2004.

Pada Januari tahun ini, pegawai BRN dan Thailand bertemu di luar Kuala Lumpur untuk perbincangan bersemuka yang pertama dalam tempoh kira-kira dua tahun. Kedua-dua pihak bersetuju untuk berusaha ke arah rundingan awam, mengurangkan keganasan dan mencari penyelesaian politik bagi pemberontakan itu.

“Kerajaan Thailand harus meningkatkan lagi sumber delegasinya manakala BRN pula perlu merapatkan jurang di antara sayap bersenjata dan sayap politiknya. Sebagai fasilitator, Malaysia perlu menghormati pilihan format dan pengisian dialog oleh pihak-pihak yang berkonflik itu,” kata ICG dalam laporannya pada April.

Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.