PM Thailand Pertahankan Tindakan Tangkap 16 Orang Bantah Loji Kuasa Arang Batu

Mariyam Ahmad
2017.11.28
Songkhla, Thailand
171128-TH-protesters-620.jpg Para penunjuk perasaan yang bergari dibawa dari balai polis Songkhla untuk dihadapkan ke mahkamah wilayah, 28 Nov, 2017.
[Ihsan Banjong Nasae]

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha pada Selasa mempertahankan tindakan keras polis dan penangkapan 16 penunjuk perasaan yang cuba bertemu dengannya bagi menyerahkan surat bantahan mereka terhadap cadangan pembinaan loji elektrik arang batu di wilayah sempadan selatan negara itu.

Penangkapan itu berlaku pada Isnin di daerah Thepa, Songkhla, ketika Prayuth tiba di wilayah itu sebelum mempengerusikan mesyuarat kabinet di luar pejabatnya.

Seramai 100 orang yang menunjuk perasaan tidak mematuhi undang-undang yang menyekat perhimpunan awam, dan mereka enggan menerima forum yang disediakan untuk mereka menyuarakan pendapat mengenai projek 2,200 megawatt itu yang dicadang dibina di wilayah sempadan selatan Thailand, kata Perdana Menteri kepada pemberita pada Selasa.

"Malah, tiada siapa boleh menyalahkan kerajaan melanggar hak asasi rakyat kerana kami mempunyai Akta Perhimpunan Awam [yang] mereka tidak patuhi. Kami meminta mereka untuk mendapatkan kebenaran dahulu," kata Prayuth. "Kami menghantar wakil untuk bertemu mereka tetapi mereka enggan dan mereka juga tidak mahu menghadiri mana-mana forum. Mereka terus berdegil.”

Prayuth menuduh para penunjuk perasaan itu menghalang para pegawai kerajaan dan berkata, mereka boleh didakwa kerana melanggar undang-undang yang mengharamkan perhimpunan lebih daripada lima orang.

"Saya meragui mengapa mereka perlu berjumpa dengan saya di hadapan media, yang mana boleh memperbesarkan lagi isu ini," katanya sambil memberitahu bahawa Jawatankuasa Tenaga Nasional akan menentukan nasib projek itu.

Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand merancang untuk membina tiga loji kuasa arang batu bernilai lebih 100 bilion baht (AS$3.1 bilion) di pantai-pantai di wilayah Songkhla, Pattani dan Krabi, dan cadangan itu telah membangkitkan bantahan penduduk tempatan dan pihak aktivis alam sekitar.

Kecederaan akibat pergelutan

Pada Jumaat, kira-kira 100 penduduk kampung yang diketuai oleh pemimpin tempatan dan aktivis alam sekitar mula berjalan dari tapak cadangan loji itu di Pantai Bangling di Songkhla, dengan harapan dapat berjumpa dengan Prayuth semasa makan malam Isnin atau ketika beliau bertemu dengan anggota kabinetnya pada Selasa.

Apabila para penunjuk perasaan itu tiba di venue para menteri pada tengah hari Isnin, mereka dihalang oleh kira-kira 200 anggota polis, sukarelawan dan  tentera lalu mencetus pergelutan kira-kira setengah jam.

"Tiga orang cedera dalam pergelutan itu dan 16 orang telah ditangkap dan dibawa ke balai polis di daerah Muang di Songkhla. Selebihnya, kebanyakannya wanita, berundur ke masjid Khan Seng," kata Banjong Nasae, seorang aktivis pemeliharaan perikanan, yang menyaksikan perhimpunan itu, kepada BeritaBenar.
"Mereka tidak menghasut untuk melakukan keganasan tetapi mereka hanya mahu bertemu dengan perdana menteri."

Para penunjuk perasaan itu berkata, surat mereka kepada Prayuth menyatakan bahawa kira-kira 1,000 orang akan dipindahkan jika projek itu diluluskan dan 20,000 orang lagi, yang tinggal  dalam jarak 5 kilometer (3.1 batu), akan terjejas akibat pencemaran.

Seorang penunjuk perasaan berkata, penduduk kampung tidak mengharapkan mana-mana pegawai ​​untuk mendengar kebimbangan mereka dengan ikhlas.

"Kami - para penduduk kampung akan terjejas dengan pembinaan loji itu dan pelabuhan laut dalam berdekatan - kami yakin kami dapat bertemu (Prayuth) dan menyuarakan aduan kami tanpa perlu pergi ke Bangkok," kata U Thai To-Lee, ahli kumpulan pembangkang "Songkhla-Pattani Tidak Mahu Loji Arang Batu," kepada BeritaBenar.

"Tetapi misi kami masih belum selesai. Kami akan berjuang untuk membebaskan mereka yang ditangkap. Kami akan berusaha melindungi dan menyelamatkan tanah air kami daripada loji arang batu dan pelabuhan laut dalam," katanya.

Pada Selasa, Mejar Jeneral Polis Ronasilp Poosara, yang mempunyai bidang kuasa di wilayah itu, berkata, seramai 16 penunjuk perasaan termasuk remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa melakukan serangan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun. Mereka juga boleh didakwa melanggar undang-undang perhimpunan awam 2015.

 

 

Para penuntut di kampus Pattani Prince of Songkhla University mengadakan tunjuk perasaan menuntut pembebasan segera mereka yang ditangkap, 28 Nov, 2017. [Mariyam Ahmad / BeritaBenar]

Pemimpin hak asasi menuntut pembebasan para penunjuk perasaan

Para pemimpin hak asasi manusia membidas tindakan penangkapan itu.

Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Nasional Tuenjai Deetes menggesa kerajaan supaya segera membebaskan 16 suspek itu, sambil meminta kerajaan supaya menghormati dan melindungi hak asasi manusia. Beliau menuntut agar orang ramai diberi hak untuk menyuarakan kebimbangan mereka terhadap dasar awam.

Seorang lagi pesuruhjaya menyuarakan kebimbangannya mengenai tunjuk perasaan itu.

"Kami melihat dua gambaran berbeza daripada kejadian yang berlaku semalam. Mereka yang menyokong projek itu dialu-alukan manakala mereka yang membantah telah dihalang. Saya bimbang dengan tindakan diskriminasi ini, " kata Angkhana Neelapaijit kepada BeritaBenar.

Sementara itu, jurucakap MARA Patani Abu Hafez Al-Hakim mengeluarkan kenyataan pada Selasa sambil mengingatkan kerajaan tentang kesan negatif daripada tindakan itu.

"Kerajaan sekali lagi gagal memperlihatkan keterbukaannya untuk mendengar suara rakyat. Thailand adalah sebuah negara bebas, sebuah negara yang rakyatnya bebas. Seperti yang dijamin oleh perlembagaan, rakyat mempunyai hak untuk menentukan sendiri tentang apa yang mereka mahu atau tidak mahu,” kata Abu Hafez.

MARA Patani merupakan panel yang mewakili kumpulan pemberontak Selatan Thailand dalam perbincangan damai dengan kerajaan. Protes pada Isnin itu diadakan di Thepa, sebuah daerah di Songhkla, yang terletak di luar kawasan yang bergolak.

Songkhla merangkumi empat daerah lain, yang bersama-sama dengan wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat, membentuk sebahagian besar masyarakat Muslim dan berbahasa Melayu di Selatan Thai.

"Kami ... mengingatkan kerajaan bahawa tindakan yang menghalang keinginan rakyat dan bertindak balas dengan kekasaran bukan sahaja akan memburukkan lagi keadaan, tetapi boleh menimbulkan keadaan yang tidak diingini," kata Abu Hafez.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.