Kumpulan Hak Asasi Persoal Keputusan Tentera Tahan Militia di Selatan Thailand

Mariyam Ahmad
2019.06.19
Pattani, Thailand
190617-TH-deepsouth-suspect-622.jpeg Sukarelawan pertahanan kampung Abdul Hakeem Darase (kanan) hanya memerhati ketika para pegawai menggeledah rumahnya di Muang, sebuah daerah di Yala, Selatan Thailand, 14 Mei, 2019.
[Mariyam Ahmad/BeritaBenar]

Human Rights Watch (HRW) pada Rabu mendesak pihak tentera Thailand supaya memindahkan seorang askar militia, yang ditahan berhubung dua pembunuhan di selatan negara itu, kepada tahanan polis, dengan ia turut mempersoalkan sama ada lelaki tersebut akan didakwa mengikut undang-undang tentera.

Awal minggu ini, pegawai tentera dan polis Thailand mengumumkan bahawa pasukan keselamatan telah menangkap anggota militia Abdul Hakeem Darase di Muang, sebuah daerah dalam wilayah Yala, Selatan Thailand pada Jumaat. Para pegawai berkata Abdul Hakeem juga telah memberikan maklumat yang membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek penduduk tempatan, Saimawee Waekaloh.

Abdul Hakeem "didakwa bertanggungjawab bagi beberapa pembunuhan lelaki dan wanita Melayu Muslim yang didakwa terlibat dengan pergerakan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN)," kata Sunai Phasuk, penyelidik kanan Bahagian Asia di HRW pada Rabu.

BRN adalah kumpulan pemberontak terbesar dan paling berkuasa di wilayah yang mempunyai penduduk Melayu dan Islam itu. Wilayah Selatan Thailand meliputi Pattani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah di Songkhla yang bersempadan dengan Malaysia. Wilayah itu  menyaksikan hampir 7,000 kematian dalam keganasan sejak pemberontakan puluhan tahun kembali tercetus pada awal 2004.

Penangkapan Abdul Hakeem membangkitkan harapan bahawa kerajaan Thailand "akhirnya mula serius terhadap penyalahgunaan kuasa oleh pihak keselamatan di wilayah sempadan selatan negara," kata Sunai.

Tetapi, Sunai turut mempersoalkan keputusan pihak tentera menahan Abdul Hakeem dan menggunakan undang-undang tentera untuk menyoal siasat lelaki tersebut berhubung senjata yang didakwa dirampas daripadanya dan bukannya menyerahkan Abdul Hakeem kepada pihak polis.

“Akibatnya, pihak polis tidak boleh mendakwanya dengan pertuduhan dan setakat ini, tiada siasatan jenayah dimulakan bagi mana-mana kes pembunuhan," kata Sunai dalam kenyataannya.

Beliau berkata pemberontak BRN telah menyatakan bahawa penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh Abdul Hakeem "adalah alasan kukuh bagi melakukan pembalasan."

Anggota militia itu tidak bertindak berseorangan tetapi kerajaan masih belum mendakwa seorang pun anggota keselamatan bagi pembunuhan, penghapusan paksa, penyeksaan atau tindakan lain yang menyalahi undang-undang terhadap Melayu Islam di selatan Thailand, kata Sunai.

"Kerajaan harus mengambil langkah tegas untuk menghentikan kitaran keganasan dengan memerintahkan pihak tentera supaya memindahkan Hakeem kepada tahanan polis bagi membolehkan siasatan jenayah dilakukan secara telus dan tidak berat sebelah serta didakwa jika ada bukti. Sepatutnya, tidak ada sebarang alasan," kata Sunai.

Disyaki melakukan pembunuhan

Abdul Hakeem dipersalahkan bagi dua serangan pada 9 dan 22 Mei yang membawa kepada dua kematian, kata Kolonel Pramote Prom-in yang merupakan jurucakap Pemerintah Wilayah Tentera Keempat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand (ISOC 4), dan Kolonel Thiraphot Yindee, komander balai polis di Bannang Sata, sebuah lagi daerah di Yala di mana Abdul Hakeem berkhidmat sebagai anggota sukarelawan pertahanan kampung atau militia.

Thiraphot berkata Abdul Hakeem belum lagi didakwa selepas penangkapannya itu.

"Tidak ada tuduhan yang difailkan kerana dia juga berdepan dengan tuduhan berkaitan senjata perang. Dia ditahan mengikut undang-undang tentera," kata Thiraphot kepada BeritaBenar.

"Jika tuduhan itu disahkan dalam masa dua hingga tiga hari lagi iaitu apabila undang-undang tentera tamat tempoh, pertuduhan akan dibuat dengan sewajarnya."

Thirapot dan pegawai ISOC bercakap kepada BeritaBenar pada Isnin sebelum Human Rights Watch mengeluarkan kenyataannya.

Para pegawai berkata Abdul Hakeem dipindahkan ke unit tentera di Yala untuk disoal siasat sementara Saimawee ditahan di pusat soal siasat utama di kem tentera di Pattani. Tiada butiran dikeluarkan mengenai dakwaan jenayah yang dilakukan oleh Saimawee.

Pasukan keselamatan merampas selaras M-16 dan senjata lain bersama-sama peluru ketika mereka menahan Abdul Hakeem, kata pegawai.

Pihak tentera dan polis mendakwa Abdul Hakeem terlibat dalam pembunuhan ketua kampung Arsae Niseng yang ketika itu sedang memandu kereta bersama-sama isteri dan dua anak perempuannya di hadapan sekolah Ban Cho di Yala pada 9 Mei. Isteri ketua kampung itu turut terbunuh manakala yang lain cedera.

Hampir dua minggu kemudian, Naib Pengerusi Pentadbiran daerah Tha Thong, Sama-ae Sama, 55, pula ditembak mati di Yala pada 22 Mei.

"Selepas insiden itu, komander Wilayah 4 ISOC memerintahkan supaya saksi disoal siasat serta memeriksa kamera keselamatan. Terdapat banyak saksi yang memberi kami maklumat yang berguna," kata Pramote kepada BeritaBenar, yang merujuk kepada insiden terdahulu.

"Sebenarnya, orang yang tahu apa yang berlaku ialah ketua kampung. Semasa kami melawat sebelum ini, anak-anak ketua kampung itu sedang pulih daripada kecederaan," kata Pramote.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.