Thailand ‘Belum Besedia’ Terima Terma Pendamaian: Pejuang Pembebasan

Razlan Rashid & Pimuk Rakkanam
2016.04.28
Kuala Lumpur & Bangkok
160428-MY-TH-BOMB-620 Anggota Bomba Thailand (kanan) dan pegawai skuad bom berdiri di sebelah kereta yang terbakar selepas berlakukan kejadian pengeboman yang dipercayai dilakukan oleh pemberontak di wilayah Patani, selatan negara itu, Februari 27, 2016.
AFP

Usaha untuk memulakan semula rundingan damai di selatan Thailand terhenti apabila kerajaan negara itu, minggu ini enggan mengesahkan peraturan asas bagi rundingan rasmi, kata pejuang pembebasan pada Khamis.

Perunding bagi kedua-dua pihak telah "secara bersama bersetuju" dengan terma rujukan (TOR) dalam mesyuarat sebelum ini, dan menjangka delegasi penuh akan mengesahkannya di mesyuarat Kuala Lumpur pada Rabu, kata sumber-sumber dalam kalangan pejuang pembebasan itu kepada BeritaBenar.

"Pihak Thailand tidak bersedia untuk menyokong TOR," kata Abu Hafez Al-Hakim, jurucakap MARA Patani, sebuah panel yang mewakili kumpulan dan puak pejuang pembebasan selatan dalam rundingan dengan junta Thailand.

"Kami bagaimanapun tidak pasti sama ada pihak A mahu mengkaji semula TOR, menggubal yang baru atau menggantung proses rundingan sama sekali. Kami dimaklumkan bahawa Perdana Menteri Thailand masih belum meluluskannya,” katanya merujuk kepada delegasi Thailand.

Halangan itu berlaku seminggu selepas Leftenan Jeneral Nakrob Boonbuathong, ketua perunding Thailand dengan pejuang pembebasan selatan sejak 2013, memberitahu BeritaBenar bahawa beliau telah dipecat daripada tugasan itu.

Dalam komennya kepada pemberita pada hari berikutnya, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha menganggap perubahan kakitangan itu sebagai "rombakan normal."

Ahli-ahli delegasi dan pegawai-pegawai Tentera Thailand di Bangkok tidak dapat dihubungi pada Khamis bagi mendapatkan komen.

Ahmad Zamzamin Hashim, fasilitator Malaysia bagi mesyuarat bersemuka yang bertujuan untuk membuka semula rundingan damai secara rasmi buat kali pertama sejak Disember 2013, dengan pegawai dari Kementerian Dalam Negeri Malaysia enggan mengulas kepada BeritaBenar mengenai rundingan itu.

'Satu set peraturan'

Kandungan TOR belum didedahkan kepada umum. Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MARA Patani pada Khamis tidak menjelaskan atas faktor apa pihak Thailand membantah terma rujukan yang kedua-dua pihak telah bincangkan sebagai syarat untuk meneruskan rundingan damai rasmi.

Menurut pihak pemberontak, kedua-dua delegasi dijadual membincangkan terma rujukan pada Rabu termasuk penubuhan "zon keselamatan" - atau zon gencatan senjata - yang merupakan antara langkah pembinaan keyakinan yang boleh membuka jalan untuk rundingan damai rasmi.

Tetapi isu keselamatan zon tidak lansung dibincangkan, kata jurucakap MARA Patani.

Sebuah jawatankuasa pemandu MARA Patani telah meluluskan syarat-syarat pada awal April, bersama dengan pasukan teknikal dari pihak Thailand, yang dipimpin oleh Leftenan Jeneral Nakrob, yang bersetuju dengan mereka [pemberontak] juga pada beberapa pertemuan yang diadakan sejak tahun lepas, kata Abu Hafez.

"TOR adalah seperti satu set peraturan dan kawal selia yang tanpanya, sesuatu perlawanan itu tidak dapat diadakan,” kata Abu Hafez.

"Apa pun sebab mereka (untuk tidak mengesahkan TOR), kami akan memberikan mereka masa yang secukupnya untuk mempertimbangkan semula dan menarik balik keputusan itu. Pengesahan TOR  oleh pihak A adalah isyarat yang dinanti-nantikan untuk mencerminkan keikhlasan dan komitmen pihak A di peringkat membina keyakinan ini, supaya proses itu boleh bergerak ke hadapan, "katanya.

Jurucakap MARA juga secara tidak langsung menyebut tentang ketiadaan Nakrob pada mesyuarat ringkas pada Rabu.

"Dia adalah 'enjin' pasukan Thailand yang berpengetahuan dan cekap tentang  proses damai ini," kata Abu Hafez tentang Nakrob.

"Sebelum pemecatannya, beliau yakin bahawa Pihak A akan mengesahkan TOR. Ketiadaan beliau telah dirasai dan dianggap menjejaskan proses itu. "

Seramai 12 wakil kumpulan yang berpayung di bawah MARA Patani yang diketuai oleh Shukri Hari dari Barisan Revolusi Nasional (BRN) hadir di meja rundingan pada Rabu itu, manakala  perunding kerajaan Thailand diketuai oleh Jeneral Aksara.

'Bukan petanda yang baik'

Di Thailand, beberapa penganalisis dan pemimpin NGO kebingungan apabila menerima berita tentang halangan rundingan damai itu.

"Ini sudah tentu bukan satu petanda yang baik untuk dialog damai," kata Rungawaree Chalermsripinyorat, seorang pakar tentang selatan Thailand, kepada BeritaBenar.

Rungaree berkata Perdana Menteri Prayuth perlu menjelaskan kepada umum mengapa Thailand tidak menyokong terma itu, yang wakil-wakil kerajaan telah merangkanya selama berbulan-bulan  dengan pihak pejuang pembebasan sejak  beberapa bulan lalu.

"Pada masa ini, prospek bagi kerajaan untuk meneruskan dialog nampaknya suram,"kata Rungwaree, sambil menambah bahawa, "Perkembangan terkini sekali lagi menimbulkan keraguan bahawa kerajaan tentera serius untuk mempunyai dialog yang lebih bermakna .... Platform ini adalah penting kepada mencari penyelesaian jangka panjang kepada konflik selatan yang berlarutan."

Patemoh Po-etae-da-o, presiden We Peace, sebuah NGO feminis, berkata Thailand telah memegang harapan yang tinggi bahawa rundingan damai akan menjadi kenyataan.

"Kami menuntut kedua-dua pihak jelas menunjukkan keikhlasan dalam menyelesaikan masalah ...," katanya kepada BeritaBenar.

Di wilayah Yala, presiden Rangkaian Buddha untuk Keamanan, berkata beliau tidak terkejut bahawa Prayuth tidak mengesahkan terma rujukan itu.

"Tetapi isu utama adalah apabila perunding kembali, mungkinkah mereka mencari jalan untuk berkomunikasi dengan orang ramai," kata Rukchart Suwan kepada BeritaBenar. "Apakah TOR baru diperlukan? Berapa lama ia perlu dilakukan? [Soalan] ini tergantung dalam minda rakyat, dan mereka mempunyai perasaan tidak selesa terhadap cara kerajaan bekerja. "

Pemberontak terbahagi

Kenyataan yang dikeluarkan oleh MARA Patani menyatakan bahawa hari ini merupakan ulang tahun ke-12 insiden masjid Krue Se. Pada 28 April 2004, kumpulan pemisah bersenjata melancarkan serangan di Selatan Thailand yang memuncak dengan serbuan tentera di sebuah masjid yang berusia 400 tahun, yang mengorbankan 32 orang disyaki pemberontak yang sudah lama terkurung di dalam.

Lebih daripada 6,000 orang terbunuh dalam keganasan yang dikaitkan dengan pemberontakan pemisah dekad panjang di rantau selatan Thailand yang majoritinya beragama Islam dan berbahasa Melayu Thailand, sejak konflik itu meletus sekali lagi pada 2004. Sejak awal Februari, sekurang-kurangnya lebih 35 orang terbunuh di rantau itu dalam lonjakan tembakan dan pengeboman yang disyaki telah dilakukan oleh pemberontak.

Pada  Khamis, anggota separa tentera Thailand terbunuh dan lima yang lain cedera dalam serangan bom di Yala - satu daripada wilayah-wilayah di Selatan Thailand - kerana mereka telah membantu untuk membina rumahbagi rakyat miskin, kata polis.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru dalam proses damai, penganalisis Malaysia Mohd Azizuddin Mohd Sani memberitahu BeritaBenar perbincangan tidak dapat mengambil tempat di tengah-tengah keganasan masih berlaku.

Pada pandangan beliau, ia mencerminkan perpecahan dalam barisan pemberontak. Pemberontak yang menentang proses yang diterajui oleh MARA Patani adalah di belakang dalam peningkatan berlakunya keganasan di rantau itu, beliau berkata, tiada satu pemintaan dipenuhi dalam proses damai itu oleh pemberontak tegar yang mahukan kemerdekaan serantau dari Thailand.

"Kegagalan dalam persetujuan TOR juga berpunca daripada perbezaan pendapat antara kumpulan pemberontak sendiri. Walaupun MARA Patani telah dibentuk, terdapat kumpulan-kumpulan pemberontak yang, pada masa ini, berasa terpinggir dalam rundingan damai, "kata Azizuddin, seorang pakar sains politik dan hubungan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia.

Mohd. Azizuddin menegaskan, kumpulan pemisah di selatan Thailand perlu didamaikan terlebih dahulu selain menaruh kepercayaan bahawa kerajaan Thailand masih mahu meneruskan perundingan dengan MARA Patani.

Disamping itu, beliau menambah antara perkara yang mungkin menjadi halangan ialah ketegasan kumpulan pemisah Selatan Thailand yang menuntut kemerdekaan daripada Thailand.

“Ini sukar untuk dipenuhi Thailand tetapi tuntutan autonomi mungkin boleh ditunaikan dan kerajaan Thailand juga harus menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan konflik di selatan Thailand yang selama ini disambut dingin oleh Bangkok,’’ katanya.

 

Hata Wahari di Kuala Lumpur, Malaysia, Nasueroh di Patani, Thailand dan Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.