Suspek pemberontak sasarkan pekebun getah dalam dua pengeboman Selatan Thailand

Seorang tentera terbunuh manakala beberapa yang lain termasuk petani cedera.
Mariyam Ahmad
2022.08.15
Pattani, Thailand
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Suspek pemberontak sasarkan pekebun getah dalam dua pengeboman Selatan Thailand Seorang sami Buddha cuba membantu seorang petani yang cedera selepas satu bom meletup di sebuah ladang getah di Kampung Kok Ko di Narathiwat, Thailand, 15 Ogos 2022.
[Edaran rasmi melalui BenarNews]

Dua periuk api yang meletup pada Isnin telah menyebabkan seorang tentera Thailand terbunuh dan mencederakan sekurang-kurangnya 10 individu lain, termasuk seorang petani dan orang awam, di Sungai Padi iaitu daerah dalam wilayah Narathiwat di Selatan Thailand yang bergolak, kata pegawai.

Serangan itu menyerupai kejadian enam letupan yang berlaku dalam tempoh lapan hari pada 2018, dengan pemberontak menyasarkan serangan periuk api di kawasan ladang getah milik petani Buddha di wilayah Yala, yang didominasi Muslim, kata penduduk. Pada masa itu, sekurang-kurangnya lima orang petani cedera dengan perbuatan itu mendapat kecaman Human Rights Watch.

Dalam kejadian awal pagi Isnin, pegawai dan penduduk Thailand berkata Prathum Nakthong, seorang petani berusia 55 tahun, cedera parah dalam letupan itu selepas dia terpijak periuk api kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Kok Ko di mukim Tambon To Den.

"Puan Prathum mengalami kecederaan pada kedua-dua kakinya akibat terpijak periuk api yang ditanam di kawasan ladang getahnya. Dia baru sahaja selesai melakukan kerjanya dan dalam perjalanan pulang ke rumah,” kata pegawai penyiasat Sungai Padi Kapten Polis Panuwat Saidanil kepada pemberita.

Dalam gambar yang diedarkan, wanita itu dilihat sedang ditarik keluar oleh seorang sami Buddha dan jiran-jirannya sebelum dikejarkan ke Hospital Sungai Padi. Polis berkata dua individu lagi mengalami cedera ringan.

Pegawai hospital memberitahu BenarNews bahawa petani itu masih berada dalam keadaan serius.

Sejam kemudian, satu lagi bom meletup apabila Sarjan Somchai Daeng-ngern dari pasukan pelupusan bahan letupan (EOD) yang sedang mengesan periuk api, telah terpijak peranti itu hingga menyebabkannya terbunuh di tempat kejadian dan mencederakan tujuh anggota keselamatan, kata pegawai.

“[Mereka] sedang menyiasat kawasan itu apabila satu lagi bom meletup kira-kira 300 meter dari lokasi letupan pertama, yang membunuh seorang tentera dan mencederakan beberapa yang lain,” kata pegawai penyiasat di Balai Polis Sungai Padi Lt. Kol. Polis Wasant Panpoth.

Pasukan itu dapat mematikan sebutir bom yang lain, katanya.

BRN, kumpulan pemisah paling berkuasa yang melancarkan pemberontakan di Selatan Thailand, dan PULO, yang mendalangi beberapa serangan baru-baru ini, tidak membalas beberapa pertanyaan BenarNews mengenai kejadian pada Isnin itu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand berkata pihak berkuasa sedang mengesan mereka yang melakukan serangan itu, dan menuduh pemberontak melakukan banyak keganasan sejak rundingan damai terbaharu berakhir pada awal Ogos.

“Terdapat banyak keganasan – satu serangan hendap dan serangan bom – yang membunuh sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan tujuh yang lain. Terdapat serangan hendap ke atas sebuah kereta api. [Kejadian sebegini] sentiasa membangkitkan rasa takut,” kata jurucakap berkenaan Jeneral Kongcheep Tantrawanich kepada pemberita.

"Perdana menteri telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk menangkap pelaku serangan itu secepat mungkin."

Awal bulan ini, semasa rundingan damai bersemuka diadakan di Kuala Lumpur, wakil kerajaan Thailand dan wakil BRN telah membincangkan mengenai gencatan keganasan semasa sambutan keagamaan Buddhist Lent dari 15 Ogos hingga 10 November tetapi mereka masih belum mencapai persetujuan berhubung dengan syarat-syarat berkaitan.

Seorang aktivis hak-hak penganut Buddha pada Isnin mempersoalkan keupayaan pasukan keselamatan untuk melindungi penduduk minoriti Buddha di Selatan Thailand.

“Jadi, satu-satunya cara untuk selamat ialah meninggalkan rumah mereka dan keluar dari Tambon To Deng? ISOC, tolonglah jawab,” kata Busayamas Isdul yang merujuk kepada beberapa kampung di Narathiwat di mana penduduk Buddha sering menjadi mangsa serangan.

“Kami, penganut Buddha Thailand, mahukan perlindungan dan keselamatan kami dijaga. Serangan sebegitu bukanlah kali pertama,” katanya kepada BenarNews, sambil menyatakan mengenai beberapa insiden lepas.

Selatan Thailand merangkumi wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan empat daerah di Songkhla. Lebih 80 peratus penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu manakala bakinya beragama Buddha.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.