Malaysia Serahkan Tiga Pemberontak Pemisah Kepada Thailand

Pemindahan tahanan, yang jarang berlaku itu, kebetulan dilakukan semasa pusingan terbaru rundingan damai Selatan Thailand diadakan di Kuala Lumpur.
Muzliza Mustafa, Nisha David, & Mariyam Ahmad
Kuala Lumpur & Patani, Thailand
2022-01-13
Share
Malaysia Serahkan Tiga Pemberontak Pemisah Kepada Thailand Anas Abdulrahman (juga dikenali sebagai Hipni Mareh – tengah) mewakili pemberontak pemisah Barisan Revolusi Nasional dan juga ketua panel rundingan damai dengan Thailand ditemani dua lagi delegasi kumpulan itu, Che Muda (kiri) dan Mohamad Shamsul (kanan) semasa sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya, luar Kuala Lumpur, 13 Januari, 2022.
[Nisha David/BenarNews]

KEMASKINI pada 7 petang waktu tempatan ETS - 2022-01-13

Malaysia menyerahkan tiga lelaki yang dipercayai suspek pemberontak kepada Bangkok, semasa para pegawai Thailand dan kumpulan pemberontak pemisah memuktamadkan rundingan bersemuka, yang pertama diadakan sejak hampir dua tahun lalu, di Kuala Lumpur, kata pegawai di wilayah bergolak di selatan negara itu pada Khamis.

Penyerahan tahanan itu, yang pertama kali dilakukan secara rasmi sejak kira-kira 25 tahun lalu melibatkan pemberontak pemisah di wilayah sempadan Selatan Thailand, dibuat melalui pintu sempadan kedua-dua negara iaitu di Bukit Kayu Hitam di negeri Kedah dan di Sadao dalam wilayah Shongkhla, kata sumber tentera.

Pemberontak pemisah yang berbahasa Melayu sudah sekian lama diketahui mendapatkan perlindungan dengan merentasi sempadan ke Malaysia selepas melancarkan serangan di Thailand.

“Pihak berkuasa telah menahan ketiga-tiga suspek pemberontak pemisah itu yang diserahkan oleh Malaysia pada Rabu,” kata Puat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Thailand pada Khamis.

“Pemberontak melarikan diri selepas melakukan jenayah di Selatan Thailand dan bersembunyi di Malaysia, tetapi telah ditangkap oleh Divisyen Infantri Ke-6 Malaysia di laluan terlarang berhampiran Durian Burung di negeri Kedah pada 25 Disember 2021,” kata ISOC dalam satu kenyataan.

Penyerahan rentas sempadan ketiga-tiga suspek tersebut dilakukan pada hari terakhir rundingan damai dua hari yang dikendalikan oleh Malaysia, yang melibatkan panel rundingan mewakili kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) di sebuah hotel di Petaling Jaya, yang berdekatan Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah, kata pihak berkuasa Thailand dengan menggambarkan mereka sebagai anggota RKK (Runda Kumpulan Kecil) iaitu unit pertempuran BRN. Kesemua mereka kemudian dibawa ke pejabat polis wilayah untuk siasatan lanjut, kata pegawai.

Pada Khamis, pegawai kedua-dua negara menegaskan bahawa penyerahan tahanan rentas sempadan itu tidak mempunyai kaitan dengan rundingan damai yang diadakan.

"Isu ini tiada kaitan dengan rundingan damai semalam," kata sumber keselamatan Malaysia yang tidak mahu namanya disiarkan.

“Kami tidak mempunyai sebarang petunjuk jika penyerahan mereka dikaitkan dengan rundingan damai, atau mereka menentang rundingan itu,” kata Artef Sohko, Presiden The Patani, sebuah kumpulan masyarakat sivil yang berpangkalan di Selatan Thailand.

Adalah amat jarang sekali bagi Malaysia untuk mengekstradisi pemberontak pemisah selatan, kata sumber tentera Thailand yang enggan dikenali kerana beliau tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Kali terakhir Malaysia menyerahkan pemberontak pemisah ialah pada 1997 yang melibatkan tiga pemimpin utama PULO iaitu satu lagi kumpulan pemberontak, menurut sumber.

220113-MY-TH-Inside1.docx.jpg

Pemandu kenderaan beratur di pusat pemeriksaan jalan di Nong Chik, sebuah daerah di wilayah Pattani di Selatan Thailand, ketika pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan sebagai langkah mengekang pandemik COVID-19, 31 Mac 2020. [AFP]

Hasil rundingan

Semasa pertemuan itu, kedua-dua panel rundingan damai bersetuju membentuk "kumpulan kerja bersama" untuk membincangkan penyelesaian politik secara aman dan inklusif terhadap pemberontakan berdekad-dekad lamanya, menurut BRN.

"Patani sentiasa mendukung proses rundingan damai dengan harapan besar agar kedamaian dapat kembali ke bumi Patani," kata Anas Abdulrahman yang juga dikenali sebagai Hipni Mareh, yang mengetuai delegasi BRN, dalam sidang media di Kuala Lumpur pada Khamis.

BRN, sebuah organisasi pemberontak yang penuh rahsia, merupakan kumpulan bersenjata terbesar dan melancarkan pemberontakan selama berdekad-dekad lamanya di Selatan Thailand yang kebanyakan penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu dengan ramai ahli serta mereka yang bersimpati dengan BRN dipercayai tinggal di Malaysia.

Kedua-dua pihak "bersetuju untuk membentuk Kumpulan Kerja Bersama antara BRN dan kerajaan Thailand," kata Anas kepada media.

"Kami masih belum memutuskan bila ia akan ditubuhkan... Mudah-mudahan, kami mempunyai kumpulan kerja sebelum mesyuarat seterusnya tahun ini," katanya, sambil memberitahu bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menghantar wakil.

Panel Dialog Damai kerajaan Thailand berkata kedua-dua pihak mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja Bersama, tanpa menyatakan secara jelas sama ada mereka bersetuju dengannya.

“Kedua-dua pihak mencadangkan penubuhannya … kumpulan kerja bersama yang akan menyokong proses dialog damai dan membolehkan kedua-dua pihak mengadakan perbincangan yang bermakna dan fleksibel dengan hasil yang ketara,” kata panel Thailand dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kedua-dua pihak itu, Anas dan panel Thailand berkata bahawa rundingan yang berlangsung di Kuala Lumpur itu telah membincangkan usaha mengurangkan keganasan, melaksanakan perundingan awam dan penyelesaian politik.

'Kami akan pertahankan diri jika diserang'

Gerakan pemisah bersenjata menentang Thailand, yang majoriti penduduknya beragama Buddha, sejak 1960-an. Tuntutan utama kumpulan berkenaan sejak dahulu ialah supaya kemerdekaan diberikan kepada penduduk Patani, nama yang diberikan oleh BRN dan kumpulan pemisah lain bagi wilayah di kawasan Selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia.

Sejak pergolakan kembali tercetus pada Januari 2004, lebih 7,000 individu telah terbunuh manakala 13,500 lagi cedera dalam siri serangan ganas di wilayah-wilayah berkenaan, menurut sebuah badan pemikir tempatan Deep South Watch.

Anas mendakwa bahawa keganasan telah berkurangan sejak BRN mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak disebabkan oleh pandemik COVID-19 pada April 2020. Penularan virus itu di seluruh dunia telah turut memaksa rundingan damai berkenaan, yang dimulakan dengan pertemuan secara bersemuka, diteruskan dengan perbincangan secara dalam talian.

Bagaimanapun, di sebalik kenyataan Anas itu, pasukan keselamatan Thailand menyalahkan BRN kerana dikatakan bertanggungjawab meneruskan serangan di wilayah-wilayah selatan tersebut termasuk beberapa insiden keganasan yang berlaku beberapa minggu sebelum sesi rundingan bersemuka diadakan semula.

"Sekiranya kami diserang, kami akan mengambil tindakan mempertahankan diri," tegas Anas.

"BRN berharap rundingan damai ini diteruskan dan akan membawa keamanan yang bermaruah dan berterusan buat semua orang Melayu Patani," katanya.

Kedua belah pihak juga bersetuju untuk membincangkan mengenai hal pentadbiran, pendidikan, pengiktirafan identiti Melayu Patani, serta sistem ekonomi di wilayah selatan Thailand, kata Anas, yang mengetuai misi rundingan BRN itu.

Menurutnya, dua pakar antarabangsa turut terbabit memantau rundingan minggu ini, yang telah dikendalikan oleh bekas Ketua Polis Negara Malaysia Abdul Rahim Noor, yang mewakili kerajaan Malaysia selaku fasilitator rundingan damai.

220113-MY-TH-Inside2.docx.jpg

Waris dan kenalan mangsa meratapi kematian sembilan mangsa keganasan yang terbunuh dalam satu serang hendap dipercayai didalangi kumpulan militan, di Kuil Lamphya di wilayah Yala, Selatan Thailand, 12 Nov 2019. [Reuters]

Sementara itu, pakar politik memuji perbincangan yang diadakan di Kuala Lumpur itu sebagai satu langkah ke arah yang betul.

"Ini adalah pencapaian yang signifikan kerana ia memulakan platform untuk perbincangan mengenai tiga isu utama: meredakan keganasan, perbincangan umum, dan penyelesaian politik," kata Rungrawee Chalermsripinyorat, seorang pengkaji isu Selatan Thailand dan pensyarah di Universiti Prince of Songkla.

Rundingan damai itu, kata beliau, telah "bergerak secara beransur-ansur dari fasa membina keyakinan kepada fasa perbincangan mengenai isu-isu yang substantif."

Rundingan damai adalah satu proses panjang yang memerlukan kesabaran, tambah pakar itu.

"Satu perkara yang bagus adalah selagi mana rundingan damai terus diadakan dalam cara yang bermakna, ia sepatutnya membantu untuk mengekang keganasan sementara perjanjian yang sedang dirundingkan mencapai kata sepakat," kata beliau kepada BenarNews pada Khamis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh