Pemimpin PULO: Kumpulan Pemisah Tidak Mahu Berunding Dengan Bangkok Mengikut Kerangka Perlembagaan Thailand

Mariyam Ahmad & Muzliza Mustafa
2022.04.18
Pattani, Thailand & Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Pemimpin PULO: Kumpulan Pemisah Tidak Mahu Berunding Dengan Bangkok Mengikut Kerangka Perlembagaan Thailand Anggota polis Thai membantu seorang rakan sekerjanya yang cedera selepas sebutir bom yang cuba dimatikan oleh mereka meletup di Lahan, sebuah kampung di wilayah Patani, Selatan Thailand, 15 April 2022.
[Ihsan Polis Thailand]

KEMASKINI pada 3 petang waktu tempatan ETS - 2022-04-19

Pemimpin sebuah kumpulan pemisah yang tidak dilibatkan dalam rundingan damai Selatan Thailand pada Isnin menyatakan bahawa mereka tidak mahu mengadakan perbincangan dengan Bangkok sekiranya tuntutan kemerdekaan tidak termasuk dalam agenda rundingan itu.

Kenyataan tersebut dibuat tiga hari selepas Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani [PULO] melancarkan dua serangan bom yang menyebabkan seorang penduduk kampung terbunuh dan mencederakan tiga anggota polis, sekali gus menggugat perjanjian gencatan senjata sempena Ramadan yang dipersetujui oleh kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional, iaitu kumpulan utama pemberontak di wilayah berkenaan.

"PULO sedia berunding, tetapi bukan di bawah kerangka Perlembagaan Thailand," kata ketua kumpulan itu Kasturi Mahkota kepada BenarNews melalui mesej teks.

"PULO tidak akan berbincang atau berunding di bawah kerangka perlembagaan Thailand kerana PULO mahukan kemerdekaan daripada Thailand."

Di bawah perlembagaan Thailand, negara beraja itu tidak boleh dibahagikan.

Pada penghujung sesi rundingan damai antara BRN dengan kerajaan Thailand, yang diusahakan oleh Malaysia pada awal April, delegasi kerajaan Thailand berkata bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju supaya perbincangan mereka pada masa depan dibuat "mengikut Kesatuan Negara Thailand yang tertakluk di bawah Perlembagaan."

Perkembangan tersebut telah menimbulkan persoalan sama ada BRN - kumpulan pemisah bersenjata yang terbesar di Selatan Thai - telah mengetepikan misi mereka untuk mendapatkan kemerdekaan wilayah itu daripada kerajaan Bangkok dan mewujudkan satu wilayah sendiri di kawasan sempadan berkenaan, yang majoriti penduduknya adalah terdiri daripada masyarakat Melayu beragama Islam.

Pada Jumaat, iaitu hari di mana dua bom diledakkan di daerah Sai Buri di Patani, Kasturi mengeluarkan kenyataan bahawa PULO telah melancarkan serangan tersebut kerana kumpulan mereka diketepikan daripada rundingan damai yang sedang dijalankan antara kerajaan Thailand dengan BRN.

Tindakan PULO itu bertujuan menghantar mesej kepada kerajaan Thailand bahawa mereka "mesti berunding dengan semua kumpulan," kata Kasturi kepada BenarNews pada 15 April.

Ketika ditanya pada Isnin sama ada kumpulannya akan melancarkan lebih banyak serangan bagi memberi tekanan terhadap kerajaan Thailand, beliau menjawab: "Kami tidak boleh memberitahu kamu tentang strategi kami."

Sebelum Thailand memulakan rundingan secara terus dengan BRN pada Januari 2020, dua cabang daripada PULO serta BRN dan dua lagi kumpulan pemisah telah diwakili oleh MARA Patani, sebuah panel yang berunding dengan kerajaan Thailand. Kasturi merupakan seorang daripada wakil PULO dalam panel berkenaan.

Siri perbincangan yang bermula pada 2015, juga diperantarakan oleh Malaysia. Bagaimanapun, ia kemudiannya gagal selepas BRN mula berunding secara terus dengan Bangkok pada Januari 2020.

Pada malam Isnin, BenarNews meminta bantuan satu sumber di dalam BRN untuk mendapatkan komen kumpulan berkenaan mengenai kenyataan PULO yang tidak mahu berunding dengan Thailand mengikut kerangka perlembagaan negara itu.

"Untuk gerakan Patani lain yang ingin berunding dengan Thailand, mereka boleh mengemukakan terma dan syarat masing-masing secara terus kepada Thailand," kata sumber, yang meminta identitinya dirahsiakan kerana tidak mempunyai kebenaran rasmi untuk bercakap dengan media, kepada BenarNews melalui mesej teks.

"BRN tidak akan menghalang gerakan Patani yang lain untuk berunding dengan Thailand."

Apabila ditanya sama ada isu perlembagaan boleh menyebabkan perselisihan di antara BRN dengan kumpulan lain, sumber itu berkata bahawa: "Semasa MARA Patani berunding dengan kerajaan Thailand pada 2015, ia juga dilakukan berdasarkan Muafakat Umum 2013 di bawah kerangka perlembagaan Thailand. Jika tidak silap, pemimpin PULO iaitu Kasturi juga menyertai perbincangan itu bersama-sama MARA Patani."

Tiada "Dialog di bawah Perlembagaan Thailand" ditulis dalam terma rujukan (TOR) yang dipersetujui untuk perbincangan antara Thailand dan MARA Patani, kata Abu Hafez, jurucakap kumpulan itu, dalam satu catatan di Facebook menjawab laporan yang disiarkan oleh BeritaBenar pada Isnin.

“Oleh itu dialog itu BUKAN di bawah Perlembagaan Thailand,” katanya.

Kasturi Mahkota mengetuai cabang utama PULO yang ditubuhkan melalui penyatuan dua kumpulan serpihan MKP dan DSPP, kata sumber itu.

Satu lagi cabang iaitu PULO-P4 pula beroperasi secara sendirian.

Tiada maklumat jelas mengenai bilangan ahli bersenjata PULO. Seorang penyokong kumpulan itu, yang meminta namanya dirahsiakan kerana bimbangkan tindakan balas, mendakwa bahawa PULO telah melatih lebih 2,000 orang pejuang sejak lima tahun lepas termasuk mereka dalam kepakaran untuk melancarkan serangan roket.

BenarNews tidak dapat mengesahkan mengenai bilangan yang dinyatakan, namun menurut satu sumber dari pasukan keselamatan Thailand, yang juga tidak mempunyai kebenaran bercakap dengan media, PULO hanya mempunyai beberapa puluh orang pejuang sahaja.

Serangan pada Jumaat adalah yang pertama diakui oleh PULO sejak 2016.

Thailand: 'Kami berbincang secara tidak rasmi dengan semua pihak'

Sementara itu, dua pegawai kanan tentera Thailand berkata adalah masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada PULO akan dijemput menghadiri rundingan damai, namun pasukan keselamatan telah meningkatkan langkah-langkah keselamatan sejak insiden serangan berlaku pada Jumaat.

"Sama ada kami akan mempertimbangkan penglibatan PULO pada masa akan datang, ia terpulang kepada Panel Rundingan Damai [kerajaan Thailand] yang secara umumnya mahu berbincang dengan semua kumpulan berkenaan," kata komander Tentera Darat di Selatan Thailand Lt. Jen. Kriangkrai Srirak kepada pemberita pada Isnin.

Setiausaha panel rundingan damai Thailand pula berkata rundingan dengan PULO adalah sesuatu yang mungkin dilakukan.

"Polisi rundingan damai adalah kami berbincang secara tidak rasmi dengan semua pihak yang tampil secara sukarela untuk berunding mengenai apa sahaja topik dan di mana-mana sahaja," kata Lt. Jen. Thira Daehwa kepada BenarNews pada Isnin.

"Terdapat persoalan sama ada PULO bersedia untuk berunding. Jika tidak, kami perlu mempertingkatkan lagi langkah-langkah keselamatan..."

Pegawai kanan kerajaan Thailand juga menyatakan bahawa serangan di Patani pada Jumaat tidak akan mengganggu rundingan yang sedang dijalankan dengan BRN. Sesi rundingan terakhir yang diadakan secara bersemuka sebelum ini berakhir dengan kedua-dua pihak bersetuju mengadakan tempoh gencatan senjata selama 40 hari sehingga pertengahan Mei, yang turut merangkumi Ramadan di mana umat Islam melaksanakan ibadan berpuasa sebulan.

"Ia kelihatan seperti dua pertubuhan ini sedang berlawan sesama mereka,” kata penduduk Patani, Hisbullah Muso kepada BenarNews, yang merujuk kepada PULO dan BRN.

"Mereka membina kekuatan untuk berlawan sesama sendiri, dan ini tidak bagus. Memang ada perselisihan sesama mereka [dalam kumpulan pemisah] sejak sekian lama, walaupun mereka menyatakan yang mereka berjuang untuk penduduk.

"Akan tetapi, kerajaan juga harus berbincang dengan PULO sekiranya mereka mahu mendapatkan kedamaian," katanya.

Noah Lee di Kuala Lumpur, turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh