Fasilitator Malaysia: Insiden Keganasan di Selatan Thailand Tidak Ganggu Rundingan Bangkok-BRN

Pertempuran dan letupan bom telah menggugat keselamatan di rantau berkenaan sejak rundingan damai bulan lepas.
Nisha David & Mariyam Ahmad
2022.02.03
Kuala Lumpur & Pattani, Thailand
Fasilitator Malaysia: Insiden Keganasan di Selatan Thailand Tidak Ganggu Rundingan Bangkok-BRN Pasukan keselamatan mengawal tempat kejadian berbalas tembakan membabitkan individu disyaki anggota kumpulan pemisah di kampung Koke Ked di Chana, Songkhla, Thailand, 3 Feb 2022.
[Ihsan pegawai Thailand]

Siri insiden keganasan yang berterusan di wilayah Selatan Thailand tidak akan menggagalkan usaha rundingan damai antara kumpulan pemisah BRN dengan kerajaan Thailand yang baru sahaja disambung semula, kata fasilitator rundingan Malaysia serta penganalisis.

Pasukan keselamatan pada Khamis telah menembak mati tiga individu yang disyaki anggota kumpulan pemberontak di sebuah kampung di Songkhla, menurut tentera Thailand.

Kejadian itu merupakan insiden pertumpahan darah ketiga yang berlaku sejak wakil kerajaan dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), iaitu kumpulan bersenjata utama dalam pemberontakan di wilayah selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam, mengadakan pertemuan bersemuka di satu lokasi berhampiran Kuala Lumpur pada pertengahan Januari.

"Tidak ada persetujuan antara kedua-dua pihak bahawa tiada keganasan akan berlaku sepanjang tempoh rundingan,” kata Abdul Rahim Noor, fasilitator dilantik Malaysia bagi mengendalikan rundingan damai, memberitahu BenarNews.

“Insiden serupa akan terus berlaku sehingga perjanjian damai ditandatangani. Ini pandangan peribadi saya…

“Insiden seperti ini juga tidak akan memberikan kesan terhadap rundingan damai. Perbincangan dan rundingan akan diteruskan seperti biasa.

"Kerajaan Thai dan juga BRN telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak boleh mengawal orang mereka di lapangan. Saya tidak pasti sama ada mereka maksudkan apa yang mereka kata, tetapi kedua belah pihak tidak mengambil tanggungjawab ke atas insiden yang berlaku di luar sana," tambah Rahim lagi.

Kejadian pertempuran pada Khamis tercetus apabila pihak berkuasa menyatakan mereka menerima maklumat mengenai suspek anggota pemberontak menjadikan sebuah sekolah rendah agama Islam berhampiran sebuah masjid di kampung Koke Ked dalam daerah Chana sebagai tempat persembunyian.

"Cubaan para pegawai untuk menangkap, tetapi tembak menembak telah tercetus, dan berakhir dengan kematian tiga suspek tersebut," menurut satu kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri ISOC-4, Tentera Darat Thailand bagi wilayah Selatan negara berkenaan.

Susulan rundingan yang diadakan pada 11 dan 12 Jan, Anas Abdulrahman yang mengetuai delegasi BRN berkata bahawa tidak ada gencatan senjata dibuat dan "sekiranya kami diserang, kami akan mempertahankan diri kami."

Wakil BRN tidak dapat dihubungi dengan segera untuk mendapatkan komen mengenai kejadian keganasan terbaru itu.

Kejadian lampau

Sekurang-kurangnya 13 kejadian letupan kecil telah berlaku di bandar Yala dalam wilayah Selatan Thai pada 28 dan 29 Januari lepas, menurut polis, dan menyaksikan seorang individu mengalami kecederaan.

Majlis perbandaran Yala berkata bahawa bom telah diletakkan di lebih 20 lokasi manakala polis pula menyatakan mereka telah menemui beberapa butir bom yang tidak berjaya diletupkan. Bom-bom itu telah dibuat menggunakan tin cat serta paip besi.

"Kami tidak dapat mengesahkan secara rasmi setakat ini samada BRN mendalangi serangan-serangan itu... akan tetapi kami ada spekulasi awal bahawa kejadian tersebut dilakukan kumpulan-kumpulan yang sama sebelum ini - ia berdasarkan jenis bahan letupan dan bagaimana bom dibuat," jurucakap ISOC-4 Kiatisak Neewong memberitahu BenarNews pada Isnin.

Beliau juga menyatakan bahawa bom berkenaan "dibuat untuk mengeluarkan bunyi letupan yang kuat tetapi tidak bertujuan membunuh."

Seorang penganalisis politik pula berkata bom-bom tersebut mungkin diletakkan sebagai tindakbalas terhadap tindakan polis membunuh dua saspek pemberontak dalam satu serbuan yang dilakukan pada 28 Jan.

"BRN sebelum ini pernah mengkoordinasi serangan bagi tujuan serupa," kata Rungrawee Chalermsripinyorat, seorang pengkaji isu ‘Deep South’ dan pensyarah di Universiti Songkla.

Bom yang diletakkan itu mungkin adalah ujian untuk ahli baru mereka dan hanya menyebabkan kerosakan kecil, kata beliau. Serangan yang dikoordinasi dibuat dengan melakukan tindakan menyerang secara serentak bagi menggemparkan pasukan keselamatan.

"Akan tetapi, kebiasaannya serangan balas dendam adalah lebih teruk dan membabitkan lebih ramai mangsa berbanding apa yang berlaku di Yala baru-baru ini," kata Rungrawee kepada BenarNews.

"Mungkin kerana BRN mahu mengekalkan keabsahan mereka di kaca mata komuniti antarabangsa, jadi serangan yang dilakukan tidak bertujuan membunuh. Ia lebih kepada membuat kenyataan politik," kata beliau.

"BRN perlu menunjukkan bahawa ia masih ada dan masih mempunyai keupayaan ketenteraan."

220203-MY-TH-Keganasan-Inside.jpg

Pegawai keselamatan awam mengawal pelajar Islam yang membawa sepanduk "hentikan keganasan" ketika satu himpunan yang disertai penduduk beragama Islam dan Buddha di Narathiwat, Thailand, 22 Jan, 2019. [AFP]

Dalam kejadian lain, dua saspek pemberontak telah dibunuh manakala seorang askar Thailand cedera dalam insiden berbalas tembak yang berlaku selepas kegagalan rundingan di daerah Sai Buri, Patani pada 20 Jan.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa minggu selepas rundingan damai 11 dan 12 Januari, yang merupakan perbincangan secara bersemuka yang pertama diadakan selepas hampir dua tahun tergendala disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Keganasan di Selatan Thailand

Rungrawee berkata bahawa "tidak boleh mengharapkan bahawa keganasan akan berhenti ketika proses damai sedang berlangsung."

Sementara itu, Kiatisak, jurucakap untuk ISOC-4, mendakwa bahawa "penyerang sentiasa mencari peluang untuk membuat gangguan dan akan melaksanakannya jika mereka boleh."

"Walauapapun, insiden itu tidak akan mengganggu suasana rundingan damai. Kami percaya sesi rundingan yang akan datang akan diteruskan," kata beliau kepada BenarNews. "Ia adalah sesuatu yang normal untuk melihat halangan di sepanjang perjalanan untuk mencapai matlamat."

Masih belum ada tarikh ditetapkan untuk rundingan seterusnya.

Pada Khamis, Leftenan Jeneral Thira Daehwa, setiausaha Panel Dialog Damai di pihak kerajaan Thailand berkata, bahawa tentera negara itu telah mengurangkan bilangan sekatan pemeriksaan serta askar yang dikerah sementara meneruskan usaha untuk melawan pemberontak di wilayah selatan.

"Kami sudah mengambil kaedah yang tidak memlibatkan keganasan, mendapatkan bantuan keluarga mereka untuk berunding dan menggalakkan mereka supaya menyerah diri," kata beliau kepada BenarNews.

Gerakan pemisah bersenjata yang melawan negara Thailand itu bermula sekitar tahun 1960an, dengan tujuan utama untuk menuntut kemerdekaan wilayah tersebut yang menjadi tempat tinggal komuniti Melayu-Islam di sepanjang sempadan negara tersebut dengan Malaysia.

Thailand telah mengambil wilayah itu pada 1909 sebagai sebahagian daripada perjanjian mereka dengan British.

Kumpulan pemikir tempatan Deep South Watch berkata lebih 7,000 orang telah terbunuh manakala 13,500 lagi cedera dalam serangan ganas yang berlaku di wilayah tersebut sejak pemberontakan tercetus semula pada Januari 2004.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.