Follow us

Thailand: Rundingan Terus Dengan BRN Dijangka Ambil Masa

Pimuk Rakkanam & Mariyam Ahmad
Bangkok & Pattani, Thailand
2020-03-04
E-mel
Komen
Share
Anggota marin Thailand mendekati trak pikap yang telah dibom di Bacho, sebuah daerah dalam wilayah Narathiwat yang bergolak di selatan negara itu, 28 Feb 2020.
Anggota marin Thailand mendekati trak pikap yang telah dibom di Bacho, sebuah daerah dalam wilayah Narathiwat yang bergolak di selatan negara itu, 28 Feb 2020.
[Matahari Ismail/BeritaBenar]

Satu fasa baharu rundingan damai secara terus dengan kumpulan pemberontak paling berpengaruh di selatan Thailand akan memakan masa dan memerlukan sokongan daripada “semua sektor,” kata pegawai Thailand pada Rabu selepas wakil kerajaan bertemu pemberontak BRN di Kuala Lumpur selama dua hari.

Jeneral Wanlop Rugsanaoh, ketua perunding damai Thailand, bertemu dengan satu panel daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang diketuai Anas Abdulrahman (juga dikenali sebagai Hipni Mareh), semasa pusingan kedua rundingan yang dipelopori Malaysia itu pada Isnin dan Selasa, kata Sekretariat Thailand bagi Dialog Damai di Selatan Thailand.

“Keseluruhan atmosfera pertemuan itu adalah konstruktif,” dan kedua-dua pihak membincangkan isu-isu teknikal serta pentadbiran, umum sekretariat Thailand dalam satu kenyataan sambil menambah bahawa mereka juga mula menyentuh “isu-isu substantif termasuk mengurangkan keganasan dalam usaha mewujudkan satu persekitaran yang kondusif bagi proses itu.”

Bahagian substantif rundingan terus dengan BRN itu “akan mengambil masa, lanjutan dan memerlukan sokongan daripada semua sektor terbabit, dan kedua-dua pihak akan bertemu bagi membincangkan butiran lanjut berhubung semua isu pada masa yang sesuai,” menurut kenyataan itu.

Tidak banyak yang didedahkan melainkan bahawa delegasi damai Thailand komited untuk melakukan “segala yang terdaya bagi menyelesaikan masalah di Wilayah-Wilayah Sempadan di Selatan Thailand.”

Abdul Rahim Noor, fasilitator Malaysia bagi proses damai itu mengesahkan bahawa pusingan terkini rundingan tersebut berlangsung di ibu negara Malaysia pada 2 dan 3 Mac.

“Pertemuan akan terus diadakan pada masa akan datang sehinga keamanan dicapai,” katanya kepada BeritaBenar.

Pada Isnin, Abdul Rahim memberitahu BeritaBenar bahawa beliau akan memberi taklimat kepada Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Muhyiddin Yassin, mengenai rundingan damai di selatan Thailand dalam tempoh seminggu atau dua minggu. Muhyiddin telah dilantik ke jawatan itu oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Ahad selepas kemelut politik berlanjutan selama seminggu, yang menyaksikan blok kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Sayap tentera BRN, kumpulan pemisah bersenjata terbesar di selatan Thailand, sehingga awal tahun ini telah menjauhkan diri daripada rundingan antara Thailand dan MARA Patani yang dipelopori Malaysia, kumpulan penaung yang mewakili puak pemberontak dalam rundingan damai yang dilancarkan pada 2015.
Bagaimanapun, anggota panel BRN dalam MARA Patani tidak dilihat mempunyai pengaruh yang besar ke atas pejuang kumpulan pemberontak bayangan di lapangan, menurut penganalisis.

Pada 21 Jan, Jeneral Wanlop dan Anas memberitahu sidang akhbar di Kuala Lumpur bahawa Thailand dan BRN telah memulakan rundingan terus yang bertujuan menyelesaikan konflik sejak sekian lama, yang telah meragut lebih 7,000 nyawa di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu di selatan Thailand sejak 2004.

Pusingan pertama fasa rundingan itu disusuli perbincangan pintu belakang antara wakil kedua-dua pihak yang dianjurkan di Berlin pada akhir 2019 oleh sebuah organisasai antarabangsa, kata seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara Malaysia kepada BenarBenar.

Sejak awal tahun ini, 24 orang awam dan anggota keselamatan Thailand terbunuh manakala 28 lagi cedera dalam keganasan yang dikaitan dengan pemberontakan di wilayah yang bersempadan dengan Malaysia, menurut statistik yang dikumpul oleh biro polis serantau. Tujuh pejuang pemberontak turut terbunuh.

Di Yala, antara wilayah di Selatan Thailand, ketua sebuah NGO tempatan telah memberikan reaksi terhadap berita mengenai pertemuan terkini antara BRN dan delegasi dari Bangkok.

“Apabila saya melihat pusingan rundingan damai ini, saya nampak ada harapan untuk menjayakan keamanan di Selatan Thailand namun penguatkuasaan undang-undang yang tegas diperlukan,” kata Rukchart Suwan, presiden Rangkaian Buddha bagi Keamanan, kepada BeritaBenar.

“Satu lagi yang penduduk di kawasan terbabit harapkan dalam rundingan damai ini ialah bagaimana untuk menjadikannya aman (dari satu segi) yang tidak akan mewujudkan lebih banyak keganasan yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai. Jika semua [rundingan damai ini] benar-benar berjaya, ia akan menjadi satu perkara yang hebat,” katanya.

Staf BeritaBenar di Kuala Lumpur dan Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh