Malaysia lantik bekas panglima tentera sebagai broker rundingan damai Selatan Thai

Muzliza Mustafa, Iman Muttaqin Yusof, Nisha David & Mariyam Ahmad
2023.01.10
Kuala Lumpur & Pattani, Thailand
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia lantik bekas panglima tentera sebagai broker rundingan damai Selatan Thai Beberapa lelaki Muslim mengusung kain rentang tertera perkataan yang bermaksud "hentikan keganasan" semasa satu perhimpunan antikeganasan yang disertai penduduk Thailand beragama Islam dan Buddha di wilayah Narathiwat, 22 Jan 2019.
[Madaree Tohlala/AFP]

Kerajaan Malaysia pada Selasa mengumumkan keputusannya melantik seorang bekas panglima tentera negara itu sebagai fasilitator baharu bagi mengendalikan rundingan damai Selatan Thailand, dengan wakil pemberontak dan penganalisis berharap tindakan itu mampu mempercepatkan usaha perbincangan tersebut.

Seperti dilaporkan oleh BenarNews pada minggu lepas, Malaysia menamakan Jeneral (Bersara) Zulkifli Zainal Abidin sebagai fasilitator baharu bagi menggantikan bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor, yang menyandang jawatan itu pada 2018.

Dalam kenyataan mengumumkan pelantikan itu, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengucapkan terima kasih kepada Abdul Rahim atas khidmat beliau selama ini, dan menyatakan bahawa khidmat Zulkifli sebagai fasilitator baharu berkuat kuasa pada 1 Jan lalu.

"Diharapkan agar Zulkifli Zainal Abidin akan dapat memainkan peranan dengan berkesan dalam mempercepatkan usaha ke arah mewujudkan kedamaian dan keamanan di Selatan Thailand," kata beliau.

Kenyataan Zuki itu tidak menyebut sebarang sebab di sebalik keputusan kerajaan menggantikan Abdul Rahim, walaupun terdapat sejarah hitam antara bekas ketua polis negara itu dengan perdana menteri Malaysia yang baharu, Anwar Ibrahim. Ketika beliau mengetuai pasukan polis pada 1998, Abdul Rahim telah menyebabkan sebelah mata Anwar lebam selepas menumbuk muka Anwar, yang ketika itu sedang dipenjarakan.

Zulkifli, seorang penembak tepat terlatih dan pakar dalam senjata taktikal serta operasi antipemberontak, telah berkhidmat dalam angkatan tentera selama lebih empat dekad sebelum bersara pada 2020. Beliau memulakan kerjaya dalam bidang ketenteraan pada 1978 sebelum dilantik sebagai panglima tentera darat pada 2011. Zulkifli dilantik sebagai panglima Angkatan Tentera Malaysia pada 2018.

BenarNews telah menghubungi Zulkifli tetapi tidak serta merta mendapatkan komen beliau.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata beliau telah dimaklumkan mengenai pelantikan fasilitator baharu itu.

"Kerajaan telah membuat keputusan. Ini adalah satu proses normal," kata Abdul Rahim kepada BenarNews.

Perbincangan antara perunding yang mewakili kerajaan Thailand dan kumpulan pemberontak di wilayah sempadan negara itu, yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbangsa Melayu, telah bermula sejak awal 2020.

Bagaimanapun, rundingan damai itu telah ditangguhkan secara tidak rasmi selepas Malaysia, yang sekian lama mengendalikan proses damai itu, mengadakan pilihan raya umum pada November lepas.

Kali terakhir kedua-dua pihak bertemu ialah pada Ogos lepas.

Gerakan pemisah bersenjata Selatan Thailand menentang negara, yang majoriti penduduknya beragama Buddha itu, sejak 1960-an.

Selatan Thailand terdiri daripada wilayah Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla.

Sejak pemberontakan dicetuskan semula pada Januari 2004, lebih 7,344 orang terbunuh manakala 13,641 lagi cedera dalam keganasan di seluruh wilayah sempadan itu, menurut data yang dikemas kini setakat Mac 2022 oleh Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.

'Ini perkara yang bagus'

Anas Abdulrahman, wakil perunding yang mengetuai delegasi kumpulan pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN), berkata beliau optomistik dengan pelantikan fasilitator baharu tersebut.

"Kami berharap akan ada kemajuan yang signifikan dalam rundingan damai ini dengan pelantikan fasilitator baharu," kata beliau kepada BenarNews.

Di Thailand, Leftenan Jeneral Santi Sakuntanark, ketua tentera Thailand bagi wilayah selatan, turut menyambut baik berita berkenaan.

"Ia adalah bagus untuk menukar fasilitator bagi membolehkan kita bergerak ke depan," kata pegawai pemerintah Kawasan Tentera Ke-4 itu kepada BenarNews.

Penganalisis konflik serantau pula berkata mereka percaya masanya telah tiba untuk sesuatu perubahan dibuat kerana rundingan damai tersebut setakat ini berjalan perlahan dan masih tidak membuahkan sebarang hasil.

Pengarah Deep South Watch Srisompob Jitpiromsri berkata pelantikan Zulkifli itu mungkin membawa perubahan yang diperlukan bagi memberikan tenaga kepada usaha rundingan itu.

"Ini adalah perkara bagus. Kita mungkin dapat sesuatu yang baharu daripada perubahan ini. Orang baharu mungkin mempunyai cara lain atau akan mengubah pendekatan yang digunakan kerajaan Malaysia," kata Srisompob kepada BenarNews.

"Mereka mungkin melantik seorang bekas pegawai tentera kerana beliau boleh bekerjasama dengan tentera Thailand dengan lebih baik."

Seorang lagi penganalisis, Fikry A. Rahman dari Institut Kajian Bait Al-Amanah di Malaysia berkata Zulkifli kelihatan seperti orang yang tepat untuk tugasan berkenaan.

"Kami berharap beliau akan dapat membawa pendekatan baharu dalam melibatkan ramai pemegang taruh dari Patani. Ini termasuk membawa kumpulan-kumpulan pemberontak yang lain ke meja rundingan serta mengusahakan tekad politik yang lebih oleh kerajaan Malaysia dalam menyelesaikan konflik," kata Fikry kepada BenarNews.

"Untuk terus berada dalam kebuntuan bukanlah satu pilihan terutama sekali selepas COVID mengganggu proses rundingan. Masa adalah penting sekarang dan perancangan rapi paling penting."

Menurut Altaf Deviyati, pengarah Iman Research Centre, sebuah kumpulan penyelidik keselamatan dan konflik Malaysia, pelantikan itu penting dalam usaha memastikan proses rundingan tersebut terus bergerak.

"Proses itu perlu bergerak ke arah terma-terma yang lebih kukuh. Kekecewaan dirasai oleh orang biasa di wilayah selatan," kata Altaf kepada BenarNews.

"Saya bimbang sekiranya ia tidak bergerak dan hanya terus membawa kekecewaan, ia akan membawa keburukan jangka panjang dan menolak usaha rundingan damai lebih jauh."

Sesetengah kekecewaan sudah dapat dilihat dengan jelas.

Kamaludde Sahoh, seorang penduduk di wilayah Yala di Selatan Thailand berkata, kekhuatiran beliau hanyalah mengenai keamanan.

"Saya tidak tahu mengenai perubahan itu dan saya tak peduli. Kami hanya mahukan keamanan. Mereka boleh buat apa saja asalkan tidak membawa kesan kepada kami. Kami hanya mahu meneruskan kehidupan," kata beliau kepada BenarNews.

"Kami sudah berdepan dengan banyak kesusahan. Selalu berlaku keganasan dan orang tempatan sudah amat meluat dengan perkara ini."

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.