Rundingan Damai Selatan: Perunding Thailand ‘Kaji’ Desentralisasi

Pimuk Rakkanam & Wilawan Watcharasakwet
2019.01.11
Bangkok, Thailand
190111-TH-peacetalk-1000.jpg Udomchai Thammasarorat (kiri), Ketua Perunding utama Thailand dalam rundingan damai dengan pemberontak selatan, kelihatan sedang berbual dengan seorang diplomat Jerman yang tidak dikenali selepas mengadakan sidang media di Kelab Koresponden Asing Thailand di Bangkok, 11 Januari 2019.
[Pimuk Rakkanam/BeritaBenar]

Ketua perunding baharu Thailand dalam rundingan damai selatan negara itu yang menyaksikan Kuala Lumpur menjadi fasilitator pada Jumaat berkata beliau sedang ‘mengkaji’ konsep desentralisasi kuasa atas nasihat Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dan telah mengadakan perbincangan peringkat rendah dengan “semua kumpulan" dalam proses damai itu.

Dilantik ke jawatan itu pada akhir tahun lalu, pegawai tinggi tentera yang telah bersara Jeneral Udomchai Thammasarorat mengadakan beberapa siri lawatan termasuk bertemu media pada minggu lepas di ibu negara Thailand bersama fasilitator baharu Malaysia sebelum menyertai forum mingguan bersama pemimpin masyarakat sivil di selatan Thailand.

Pada Jumaat, beliau mengadakan sidang media untuk 100 wartawan, diplomat dan aktivis di sebuah kelab akhbar asing di Bangkok. Udomchai berkata beliau sedang menimbang untuk mewujudkan zon pentadbiran khas dan peraturan yang berpusat di selatan Thailand sebagai penyelesaian kepada konflik pemisah yang berlaku sejak berdekad lamanya di rantau sempadan selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu.

"Zon pentadbiran khas ialah sesuatu yang kami bincangkan dengan membuat perbandingan terhadap dasar yang telah Perdana Menteri Thailand berikan kepada kami bagi menangani desentralisasi kuasa," kata Udomchai semasa sidang media di Kelab Koresponden Luar Negara Thailand (FCCT).

"Pada hakikatnya, ia adalah mengenai bagaimana kami mentakrifkan zon khas atau peraturan desentralisasi? Ada definisi di bawah kerangka perlembagaan," kata Udomchai.

Apabila seorang wartawan menyoal beliau mengenainya, Udomchai tidak menyatakan sama ada beliau telah berjaya menghubungi pemimpin dan kumpulan pemberontak yang, sehingga kini, enggan menyertai rundingan antara kerajaan junta Thailand dan MARA Patani, sebuah panel yang mewakili kumpulan pemberontak. Perbincangan dengan MARA telah bermula sejak tahun 2015 tetapi dingin pada awal tahun lepas.

"Dalam rundingan [setakat ini], kami bercakap dengan semua kumpulan secara berasingan kerana setiap kumpulan mungkin mempunyai cara dan pemikiran yang berbeza," kata Udomchai ketika menjawab soalan yang dikemukakan kepada beliau.

Beliau berkata pasukannya terbuka untuk berbincang dengan semua pihak berkepentingan secara tidak rasmi atau secara individu.

"Kami bercakap dalam suasana santai supaya mereka berasa bebas dan mempunyai masa untuk berkomunikasi dengan jelas bagi pemahaman yang tepat. Kemudian rundingan rasmi akan diadakan, " tambah beliau.

Tetapi apabila ditanya sama ada ini bermakna rundingan itu kini membabitkan BRN, ketua perunding Thailand itu menjawab, "Bagaimana anda memanggil penentang yang ganas? Umumnya mereka dipanggil BRN, tetapi saya memanggilnya pemberontak yang menggunakan keganasan. "

Apabila pasukan rundingan baharu Thailand dan Malaysia diumumkan pada lewat 2018, banyak yang telah dilakukan untuk membawa semua pihak ke meja rundingan untuk memberikannya dorongan baharu.

Tetapi pada 4 Jan lepas, fasilitator Malaysia, Rahim Noor memberitahu wartawan di Bangkok bahawa pemimpin tegar Barisan Revolusi Kebangsaan (BRN), kumpulan pemberontak yang terbesar dan paling berpengaruh di selatan, tidak muncul dalam dua mesyuarat yang telah diatur antara mereka dan Udomchai di Malaysia.

‘Kami ambil nasihat beliau’

Dalam sidang media pada Jumaat, Udomchai berkata beliau telah mendapat ilham untuk mengkaji idea tentang desentralisasi kuasa atas nasihat Mahathir, Perdana Menteri Malaysia yang berusia 93 tahun yang kembali berkuasa selepas memenangi pilihan raya umum Mei lepas.

"Apabila orang bijak yang merupakan perdana menteri negara tetangga kita memberi nasihat, tidak ada sesiapa yang akan menolaknya. Kami mengambil nasihat beliau dan saya sedang mengkaji perkara itu, " kata Udomchai.

Dalam temu bual dengan akhbar The Nation Thailand bulan lepas, Mahathir menyebut mengenai penduduk selatan Thailand dengan berkata, "harus ada pemahaman bahawa bahagian selatan Thailand adalah sebahagian daripada Thailand. Saya tidak fikir banyak negara bersedia melepaskan mana-mana wilayah. "

Bagaimanapun, meskipun usaha untuk menghidupkan semula rundingan damai diteruskan, keganasan di selatan negara itu masih tidak berhenti.

Udomchai mengadakan sidang media itu sehari selepas sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati empat sukarelawan pertahanan awam yang mengawal sebuah sekolah awam di Pattani, antara wilayah di selatan Thailand. Pada  Jumaat, seorang imam berusia 62 tahun sebuah masjid di Narathiwat, wilayah berjiran, terbunuh dalam kejadian tembakan di tepi jalan, kata polis yang belum mengenal pasti motif serangan itu.

Insiden terbaharu itu menjadikan seramai tujuh orang telah terbunuh dalam beberapa siri serangan yang berlaku di selatan Thailand sejak awal tahun 2019.

Selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia merangkumi wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala serta empat daerah dalam wilayah Songkhla. Hampir 7,000 orang telah terbunuh dalam keganasan di rantau itu sejak pemberontakan meletus semula pada awal tahun 2004 selepas tempoh dorman yang panjang.

Matahari Ismail di Narathiwat, Thailand turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.