Pegawai Beri Isyarat Bercampur Dalam Rundingan Selatan Thailand

Natalie Sisutcharit & Nasueroh
2016.04.30
Bangkok & Patani
160429-my-th-bomb620 Anggota renjer Thailand memeriksa tapak pengeboman di tepi jalan di daerah Rangae, wilayah Narathiwat, yang menyasarkan sebuah kereta yang dinaiki pegawai polis, 29 Mac 2016.
AFP

Rundingan dengan para pejuang pembebasan Selatan Thailand masih diijalankan tetapi gencatan senjata terhad mestilah dilakukan sebelum Thailand boleh bersetuju dengan syarat-syarat untuk memajukan lagi proses damai itu, kata ketua perunding Bangkok pada Jumaat.

"Jika keganasan masih lagi berlaku, orang ramai tidak akan percaya dengan rundingan damai ini," kata Jeneral Aksara Kerdpol, dua hari selepas mengetuai delegasi Thailand pada mesyuarat dengan perunding dari pihak pejuang pembebasan di Kuala Lumpur.

"Oleh itu, keganasan mesti dihentikan di kawasan tertentu, kemudian barulah kita boleh bersama-sama menyediakan TOR  [Terma Rujukan] yang menyeluruh yang merangkumi lebih daripada peringkat membina kepercayaan," katanya kepada pemberita di Bangkok.

Tetapi, ketika Aksara memberi jaminan bahawa rundingan itu masih berjalan, Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha nampaknya menghantar isyarat yang berbeza mengenai keadaan rundingan damai selatan Thailand itu.

Prayuth memberitahu pemberita di Rumah Kerajaan bahawa rundingan damai itu tidak berjaya kerana kedua-dua pihak mempunyai niat yang berbeza.

"Jika pihak yang satu lagi mempunyai hasrat yang sama seperti kita, masalah boleh diselesaikan," kata Perdana Menteri pada Jumaat.

Seperti yang diperkatakannya, Thailand tidak boleh berunding dengan ahli-ahli kumpulan yang diharamkan seperti pemberontak.

Organisasi sedemikian semuanya diharamkan,  kata Prayuth, sambil menambah, "Kerajaan tidak boleh berunding dengan mereka menggunakan undang-undang domestik. Thailand tidak boleh bercakap dengan orang yang bersalah. "

'Tiada status jelas'

Aksara mengulas kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis oleh MARA Patani - panel yang mewakili pelbagai kumpulan dan puak pejuang pembebasan - yang mendakwa pihak Thailand tidak bersedia untuk bersetuju dengan terma rujukan yang para pejuang pembebasan lihat sebagai peraturan asas untuk memulakan rundingan damai yang rasmi.

Sejak junta Thailand melancarkan usahanya untuk memulakan rundingan damai rasmi tahun lepas, keganasan yang dikaitkan dengan pihak pemisah sejak berdekad lamanya, semakin berleluasa di selatan Thailand, yang mempunyai ramai penduduk Islam dan berbahasa Melayu. Peningkatan serangan yang disyaki dilakukan pejuang pembebasan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh sejak awal Februari.

Pada Khamis, jurucakap MARA Patani berkata perunding dari jawatankuasa kecil teknikal di kedua-dua belah pihak telah mencapai persetujuan untuk menerima terma berkenaan - yang belum diumumkan secara terbuka- semasa perbincangan sebelumnya.

"Satu perkara yang kita dan pihak pembangkang tidak bersetuju adalah saya mempunyai panel teknikal untuk membincangkan penubuhan zon keselamatan supaya semua orang mempunyai kepercayaan [terhadap proses ini], tetapi pembangkang hanya mahu menandatangani TOR," kata Aksara mengenai mesyuarat Rabu di Kuala Lumpur, dengan merujuk kepada zon gencatan senjata terhad di Selatan Thailand.

Leftenan Jeneral Nakrob Boonbuathong, satu-satunya pegawai Thailand yang terlibat dalam rundingan dengan pejuang pembebasan sejak 2013 dan mengetuai panel teknikal yang disebut Aksara, telah dipecat daripada jawatan setiausaha delegasi Thailand.

Menurut Aksara, ia juga tidak jelas sama ada MARA Patani mempunyai kedudukan yang sah sebagai badan induk untuk berunding bagi pihak pejuang pembebasan dan sama ada para pejuang pembebasan itu bersatu di belakangnya.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, mereka tidak mempunyai status yang jelas manakala kami menerima arahan daripada pejabat Perdana Menteri  [untuk menjalankan rundingan]. Jadi, saya kata, kita perlu terus membina kepercayaan bersama, "kata Aksara.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.