Thailand Gesa Pemberontak Hentikan Permusuhan Selepas Kemangkatan Raja

Staf BeritaBenar
2016.10.28
Bangkok & Kuala Lumpur
161028-TH-suspects-1000.jpg Imej daripada sebuah kamera pemantauan keselamatan menunjukkan dua lelaki, yang dikenal pasti polis sebagai suspek, menunggang motosikal berhampiran sebuah kereta yang disasarkan dalam kejadian tembakan maut di daerah Mayo, dalam wilayah Patani, Thailand, 28 Oktober, 2016.
[Ihsan daripada Polis Daerah Mayo]

Pembunuhan terus berlaku di wilayah Selatan Thailand yang bermasalah walaupun selepas perunding kerajaan meminta delegasi pemberontak berhenti melakukan keganasan selama setahun semasa rakyat Thailand berkabung di atas kemangkatan rajanya, semasa mereka mengadakan rundingan minggu ini.

Dua orang awam ditembak mati di wilayah itu sejak kerajaan Thailand membuat gesaan pada Rabu supaya menghentikan pertumpahan darah selama 12 bulan berikutan kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Okt, yang upacara perkabungan baginda secara rasminya dilakukan sehingga tahun depan.

Kedua-dua pihak itu mengadakan rundingan dari Selasa hingga Khamis di Kuala Lumpur, menurut jurucakap MARA Patani, panel yang mewakili kumpulan pemberontak selatan. Kedua-dua pasukan perunding memberikan perkembangan berbeza dalam membincangkan mengenai apa yang dipanggil zon keselamatan - atau gencatan senjata terhad - yang bakal menjadi peristiwa penting dalam proses damai.

Raja Bhumibol (Rama IX), 88, yang memerintah Thailand selama 70 tahun, adalah “penaung semua agama secara sama rata dan mahu semua orang saling menyukai satu sama lain," kata Jeneral Aksara Kerdpol, ketua delegasi Thailand, pada Jumaat semasa mengesahkan rundingan diadakan di ibu negara Malaysia minggu ini.

"[Saya] memberitahu mereka untuk tidak bertindak dan berharap agar tiada keganasan berlaku tahun ini. Kumpulan-kumpulan penentang juga berkabung dengan kemangkatan raja dan mereka berasa bersyukur terhadap baginda," katanya kepada pemberita di Bangkok, merujuk kepada kumpulan pemberontak dari kawasan sempadan selatan yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbahasa Melayu.

Beliau berkata para perunding juga membincangkan tentang zon keselamatan.

"Kami telah membincangkan tentang zon keselamatan dan, mulai sekarang, kami akan menetapkan kawasan-kawasan tertentu sama ada di peringkat kampung, Tambon [kelompok kampung] atau daerah. Tujuannya adalah untuk menghentikan keganasan melalui proses rundingan damai, "kata Aksara.

Bagi pihak pemberontak pula, jurucakap MARA Patani Abu Hafiz al-Hakim memberitahu BeritaBenar bahawa pusingan terbaru rundingan itu, yang dipermudahkan dengan bantuan Malaysia, dan yang pertama diadakan sejak kemangkatan raja berkenaan, telah berakhir pada Khamis.

"Kami tidak bersetuju dengan apa-apa pun lagi, perbincangan akan diteruskan," kata Hafiz pada Jumaat. "Kami tidak tahu bila tarikh perbincangan seterusnya. Thailand masih dalam tempoh berkabung. Kami perlu menunggu [sehingga] mereka boleh hadir, " katanya.

Sejak tahun lepas, kerajaan tentera Thailand cuba untuk menghidupkan semula rundingan damai rasmi yang bertujuan bagi menyelesaikan konflik pemisah lama di kawasan sempadan selatan negara itu, dengan rundingan rasmi terakhir diadakan semasa di bawah kepimpinan kerajaan awam pada tahun 2013. Tetapi, walaupun siri perbincangan diadakan dengan MARA Patani, wilayah selatan terus dilanda keganasan.

Pada Jumaat, seorang guru wanita terbunuh dan seorang lagi wanita yang bersama dengannya cedera dalam kejadian tembakan semasa memandu di Patani, satu daripada wilayah selatan Thailand. Insiden itu, di mana mangsa ditembak suspek yang menunggang motosikal, telah dirakam kamera pemantauan. Satu klip video kejadian itu dilaporkan menjadi viral selepas disiarkan dalam media sosial.

Sehari sebelum itu, seorang kontraktor yang mengendalikan projek pengairan, telah ditembak mati di wilayah Narathiwat.

Polis berkata, mereka mengesyaki pemberontak melakukan serangan pada Jumaat, tetapi mereka berkata insiden tembakan pada Khamis mungkin tiada kaitan dengan pemberontakan.

Lebih daripada 6,700 orang terbunuh sejak Januari 2004 dalam keganasan yang berkaitan dengan konflik, kata Deep South Watch, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Patani, pada Khamis semasa mengeluarkan statistik yang dikemas kini.

 

Razlan Rashid di Kuala Lumpur menyumbang untuk laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.