Malaysia Jatuh Lima Anak Tangga Dalam Indeks Persepsi Rasuah

Kegagalan Malaysia melakukan perubahan antara faktor menyumbang kepada kemerosotan kedudukan.
Noah Lee & Nisha David
2022.01.25
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia Jatuh Lima Anak Tangga Dalam Indeks Persepsi Rasuah Bekas Perdana Menteri Malaysia bercakap pada sidang media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas hakim mahkamah berkenaan mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadapnya bagi tujuh pertuduhan berkaitan rasuah besar-besaran dalam skandal kewangan 1MDB, 28 Julai 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia jatuh lima anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 Transparency International, demikian menurut badan pemerhati rasuah dunia itu dalam laporan yang dikeluarkannya pada Selasa, dengan penurunan yang signifikan berkenaan adalah kali kedua berturut-turut bagi negara tersebut merekodkan kemerosotan sejak 2019.

Susulan daripada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), agensi yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan undang-undang anti-rasuah dan pencegahan korupsi bagi negara telah meminta semua pihak bekerjasama serta mempunyai iltizam untuk menambahbaik usaha Malaysia.

Berdasarkan laporan dan kenyataan dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M), Malaysia mendapat 48 markah dalam penilaian dijalankan badan tersebut bagi tahun 2021. Pencapaian lebih rendah berbanding pada 2020 iaitu 51 markah.

"Tinjauan ini menunjukkan skor Malaysia telah turun ke 48 markah pada tahun 2021, dari skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih), dibandingkan dengan 51 markah pada 2020.

"Kedudukan Malaysia dalam CPI juga merosot daripada tempat ke-57 pada 2020 kepada tempat ke-62 pada 2021 antara 180 negara yang dikaji," kata TI-M dalam kenyataan medianya pada Selasa.

Menurut laman web Transparency International, Malaysia merekodkan 53 markah pada tahun 2019. Ia adalah skor tertinggi pernah direkodkan negara itu sejak tahun 2012.

Kenyataan dikeluarkan TI-M itu juga percaya bahawa kemerosotan prestasi Malaysia menunjukkan bahawa negara sedang menuju kearah kemerosotan dari segi membanteras rasuah, menyokong hak asasi manusia dan demokrasi.

Organisasi pemantau itu juga menyenaraikan lapan sebab dipercayai menyumbang kepada kemerosotan Malaysia dalam CPI 2021 yang antaranya apa yang dikatakan sebagai tindakan "sangat terhad" oleh pihak kerajaan dalam membendung aktiviti rasuah politik dan mengukuhkan hak asasi manusia di Parlimen.

Kurangnya kemahuan untuk memperbaharui SPRM menjadi sebuah institusi yang benar-benar bebas, dan kurangnya ketelusan dalam hal berkepentingan awam seperti kontrak rundingan langsung disebabkan tafsiran longgar mengenai Akta Rahsia Rasmi, serta tindakan melepaskan beberapa individu yang telah didakwa di mahkamah dalam kes berprofil tinggi juga antara penyumbang kepada kemerosotan Malaysia dalam CPI tersebut.

"‘Melepaskan Tanpa Membebaskan’ sesetengah individu yang didakwa dalam kes berprofil tinggi telah memberikan persepsi negatif tentang perjalanan proses undang-undang di Malaysia. Penjelasan yang lebih jelas daripada Jabatan Peguam Negara adalah penting dalam mengurangkan persepsi sedemikian," kata TI-M.

Menurut organisasi berkenaan, penurunan markah Malaysia pada 2021 juga menyebabkan ia kini berada dalam kelompok dua pertiga negara yang mencatatkan skor di bawah 50, dan merupakan situasi yang membimbangkan.

TI-M sekaligus meminta kerajaan Malaysia mengambil langkah "tegas dan jelas" serta menunjukkan komitmen jelas untuk menangani dan memperbaiki skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI.

Berpandangan serius

Sebagai respon kepada laporan CPI itu, SPRM dalam satu kenyataan media pada petang Selasa berkata bahawa mereka "mengambil perhatian serius" mengenai kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan dan akan menjalankan kajian terhadap penemuan TI-M itu.

"CPI 2021 menunjukkan skor Malaysia turun daripada 51 ke 48 iaitu penurunan berturut-turut sejak 2019. Sehubungan itu, SPRM menyeru semua pihak agar meneruskan jalinan kerjasama dan sehaluan di samping mempunyai iltizam politik untuk menambahbaik usaha pencegahan rasuah di negara ini, kerana Suruhanjaya ini tertakluk kepada bidang kuasanya sebagai agensi penguatkuasa.

"Dalam pada itu, SPRM akan mengkaji hasil penemuan TI-M berkaitan skor CPI 2021 dan akan memberi cadangan dalam masa terdekat," kata agensi berkenaan.

Sementara itu, sebuah badan bukan kerajaan tempatan yang fokus kepada usaha membanteras rasuah meminta supaya kerajaan mempercepatkan usaha reformasi melawan korupsi di negara itu.

Pengarah Program Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme Sudhagaran Stanley berkata, Malaysia kini sedang ketinggalan dalam melaksanakan rancangan melawan rasuah yang telah dijanjikan beberapa tahun lalu.

"Pada tahun 2019, kerajaan pada waktu itu telah merangka Pelan Anti-Rasuah Nasional iaitu satu rancangan komprehensif untuk menangani isu rasuah di negara ini. Ia sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun iaitu antara 2019 dan 2023.

"Pelan itu memfokuskan lima isu utama iaitu mengenai undang-undang dana politik, pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya, akauntabiliti polis serta reformasi dalam SPRM," kata beliau dalam satu temuramah dengan media tempatan.

Stanley memberikan contoh mengenai isu skandal saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM baru-baru ini, yang menyaksikan pegawai tinggi tersebut enggan untuk tampil di hadapan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi menjawab mengenai isu tersebut.

"Kerajaan sepatutnya bertindak tegas bagi memastikan satu siasatan yang telus dan semua persoalan dijawab, akan tetapi mereka kelihatan tidak mengambil serius kes tersebut."

Stanley juga menggesa supaya orang awam turut memberikan sumbangan mereka dalam melawan rasuah, dan mencadangkan supaya mereka memastikan akauntabiliti Anggota Parlimen yang dipilih.

Kata beliau, orang awam perlu memberitahu Anggota Parlimen mereka untuk memastikan pelan anti-rasuah dilaksanakan, dan bagi penyokong pembangkang, supaya isu itu disuarakan di dalam Parlimen.

Sebuah lagi NGO anti-rasuah, Malaysia Crime Watch berkata kerajaan perlu menggubal dasar awam untuk membendung perlakuan amalan rasuah dan menghentikan jenayah itu daripada terus berlaku.

"Kerajaan disarankan untuk menggubal dasar awam yang inovatif untuk membendung pelaku amalan rasuah sekali gus menghentikan jenayah itu daripada terus berleluasa di Malaysia. Pembaharuan polisi dan undang-undang yang lebih baik perlu diadakan bagi memastikan mereka yang terlibat dengan rasuah tidak akan terus melakukannya," kata Presidennya Jais Abdul Karim.

Beliau turut menyalahkan segelintir penjawat awam yang melakukan rasuah sebagai antara penyebab kemerosotan skor Malaysia dalam CPI, dan menggesa supaya kerajaan memberikan hukuman berat.

"Anggota Pentadbiran yang bersih diminta untuk sentiasa tampil kehadapan melaporkan kes melibatkan rakan sejawat mereka. Ketua Jabatan atau unit yang terpalit rasuah mesti diberi hukuman berat. Konsep Kepimpinan Melalui Teladan mesti diterapkan semula,” tambah beliau lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh