WWF-Malaysia Cadang Sediakan Undang-undang Hutan Semulajadi

Haireez Azeem Azizi
2016.02.08
160208-my-tiger620 Harimau Sumatera yang berada di Zoo Negara Kuala Lumpur, 10 November 2002.
Photo: Benar

Lapan kerajaan negeri yang terlibat dalam rangkaian ekologi Pelan Induk Central Forest Spine (CFS) diminta menyediakan perlindungan undang-undang hutan semula jadi bagi memastikan pemuliharaan terhadap hidupan liar dan hutan dijaga, kata World Wide Fund For Nature (WWF) Malaysia.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF- Malaysia Dr. Dionysius Sharma berkata, pelan itu telah mengenalpasti 37 hubungan hutan di seluruh Semenanjung Malaysia dan menggariskan langkah memulihara serta fungsinya.

“Selain menyediakan perlindungan undang-undang hutan semula jadi, pelbagai langkah pemuliharaan di koridor yang dilihat sangat kritikal itu perlu dibuat seperti membina infrastruktur hijau antaranya jejambat hijau untuk membolehkan hidupan liar melintas atau lebuhraya tinggi,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Isnin.

Negeri yang terlibat dalam pelan itu ialah Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Johor.

Menurut laman web Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, pelan itu merangkumi kawasan hutan yang tergolong di dalam kelompok koridor hutan di kesemua negeri terlibat seperti yang diterjemahkan di dalam Rancangan Fizikal Negara.

Ia adalah merupakan tulang belakang bagi rangkaian persekitaran kawasan sensitif dan terdiri daripada empat kelompok hutan di kawasan banjaran-banjaran seperti Titiwangsa, Bintang, Nakawan, Timur, Taman Negara Pahang dan Endau-Rompin.

Dionysius berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kematian seekor harimau belang yang dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna di Kilometer 321.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kerteh, Kemaman pada Sabtu lepas.

Bedah siasat harimau seberat 100 kilogram mendapati haiwan itu bunting dan dua janin telah dikeluarkan dari perut semasa proses berkenaan dijalankan.

‘Alternatif terbaik’

“Jika koridor tertentu tidak lagi sesuai untuk lintasan hidupan liar, maka kerajaan perlu memperkenal alternatif terbaik dalam memulihara hidupan liar serta hutan di negara ini untuk masa depan,” tambahnya lagi.

Sambil memberi contoh, Dionysius berkata di koridor utama Belum-Temengor, pelbagai inisiatif pemuliharaan dijalankan kerajaan di Lebuhraya Timur-Barat itu seperti mewartakan kawasan berkenaan sebagai Hutan Simpanan Kekal dan pembinaan jejambat untuk lintasan hidupan liar.

“Tetapi koridor lain tidak begitu bernasib baik di mana beberapa daripadanya hilang sepenuhnya akibat pembangunan atau pembukaan ladang. Walaubagaimanapun, dalam beberapa kes masih belum terlambat untuk kita bertindak," katanya.

Beliau menambah, sebagai negara maju yang sedang membangun, penjagaan terhadap alam semula jadi terutamanya hutan harus dipertingkatkan melalui penyediaan infrastruktur yang lebih baik.

“Pembinaan lebuh raya, secara tidak langsung telah memecah-belahkan kompleks hutan utama di Malaysia dan berkemungkinan telah mengganggu corak tingkah laku dan corak migrasi mamalia besar,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Dionysius menegaskan, WWF-Malaysia mahu papan tanda amaran dan penetap tahap kelajuan di lokasi-lokasi strategik dipasang bagi membantu mengurangkan bilangan perlanggaran di antara kenderaan dan hidupan liar.

“WWF-Malaysia menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi had laju dan berhati-hati dengan persekitaran apabila memandu di sepanjang jalan yang diapit oleh hutan,” tambah beliau.

Katanya, sebanyak lima ekor harimau mati termasuk kejadian terbaru dalam tempoh tiga minggu lepas yang direkodkan oleh WWF-Malaysia, dan beliau turut khuatir lebih banyak kematian berlaku terutamanya membabitkan pemburuan haram yang tidak dapat dikesan.

“Kematian walaupun seekor adalah satu tamparan besar terhadap habitat harimau terutamanya dengan statistik terbaru Malaysia yang hanya mempunyai kira-kira 250 hingga 340 harimau di seluruh negara,” tambah beliau.

‘Pagar bocor’

Dalam pada itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu percaya harimau belang yang dilanggar itu berkemungkinan berpunca daripada pagar bocor di lebuh raya sehingga menyebabkannya memasuki laluan lebuh raya berkenaan.

Pengarahnya Mohd Hasdi Husin berkata, kejadian ini merupakan yang pertama dalam tempoh lima tahun ini.

“Berdasarkan kes lalu, kita dapati haiwan-haiwan seperti beruang dan tapir dari Hutan Simpan Rasau, Terengganu masuk ke LPT2 apabila terdapat pagar yang dipotong, jadi kemungkinan besar situasi sama terjadi kepada harimau tersebut,” kata Hasdi ketika ditemui BeritaBenar.

Harimau betina yang dipercayai berusia antara 10 hingga 15 tahun tersebut mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan mati di tempat kejadian.

“Statistik harimau Malaya pada masa sekarang amat membimbangkan dan kami akan menjalankan siasatan dengan lebih lanjut mengenai kes ini,” katanya.

Hasdi juga percaya bahawa  hanya tinggal kurang daripada 100 ekor sahaja harimau Malaya di Terengganu sehingga hari ini.

Harimau Malaya yang dikenali dengan nama saintifik Panthera Tigris Malayensis atau Panthera Tigris Jacksoni merupakan haiwan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Haiwan 2010.

Ia merupakan haiwan pemangsa dengan panjangnya boleh mencecah 3.3 meter dan berat 300 kilogram dan banyak terdapat di negeri Pahang, Perak, Kelantan dan Terengganu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.